Geopolitic

Pertikaian Blok ND6 dan ND7 Atau Ambalat

Di Manakah Letaknya Blok ND6 dan ND7, atau bagi Indonesia lebih dikenali sebagai Blok Ambalat?

Secara geografi, Blok ND6 dan ND7 ini terletak di bahagian selatan Laut Sulawesi, di mana ia berhampiran dengan sempadan maritim antara Malaysia, di Sabah, dan Indonesia di Kalimantan Utara. Di sebelah utara, kawasan ini bersempadan dengan perairan yang tidak jauh dari Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, iaitu dua buah pulau yang pernah menjadi rebutan antara Malaysia dan Indonesia, sebelum ia diberikan kepada Malaysia oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada tahun 2002.

Di sebelah selatan, ia menghampiri pesisir pantai Kalimantan Utara, iaitu wilayah Indonesia. Sementara di sebelah barat, kawasan ini berhampiran kepada Laut Sulu, manakala di sebelah timur, ia terbuka kepada bentangan Laut Sulawesi yang lebih luas. Maka, kedudukan Blok ND6 dan ND7 atau Ambalat, terus menjadi titik tumpuan diplomasi dan kadang kala menyebabkan tercetusnya aktiviti ketenteraan. 

Apa yang menjadikan kawasan ini begitu penting dan dipertikaikan, bukan sahaja disebabkan lokasi strategiknya, tetapi juga kerana kekayaan sumber yang terkandung di dalamnya. Penentuan sempadan maritim sesebuah negara adalah isu yang sangat sensitif kerana ia melibatkan soal kedaulatan, serta hak untuk menguasai dan mengeksploitasi sumber semula jadi seperti minyak dan gas. 

Ini telah ditetapkan dengan jelas dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS 1982), yang memberikan hak kepada setiap negara pesisir, untuk menuntut Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sejauh 200 batu nautika dari pantai mereka. Namun, apabila kawasan ini berada dalam zon pertindihan antara dua negara, maka wujudlah konflik — kerana masing-masing mempunyai alasan untuk menuntut hak yang sah, dari sudut undang-undang dan sejarah.

Hubungan antara negara yang melibatkan sempadan seperti ini juga berkait rapat dengan politik, ekonomi, keselamatan dan maruah negara. Maka, tidak hairan jika isu ini telah berlarutan selama lebih empat dekad, tanpa penyelesaian muktamad. Jika Pulau Sipadan terkenal di mata dunia kerana keindahan semula jadinya yang menarik pelancong, Blok ND6 dan ND7 pula menjadi rebutan, kerana potensi ekonominya yang besar. 

Kawasan ini dipercayai menyimpan simpanan minyak mentah yang cukup untuk kegunaan selama 30 tahun akan datang, dengan anggaran sekitar 40,000 tong minyak boleh dikeluarkan setiap hari. Bukan itu sahaja — menurut beberapa anggaran industri, potensi keseluruhan kawasan ini dianggarkan mengandungi sehingga 764 juta tong minyak dan 1.4 trilion kaki padu gas, di mana menjadikan nilainya mencecah antara USD3 hingga USD5 bilion.

Nilai ini menjadikan kawasan ini bukan sahaja penting bagi tenaga negara, tetapi juga sebagai satu aset yang sangat strategik untuk masa depan.

 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply