KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI: BUDI Agri-Komoditi secara bersasar bagi membantu pekebun kecil, pengusaha serta golongan rentan yang menjadi antara tunjang utama ekonomi negara.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata kerajaan memahami cabaran yang dihadapi rakyat ketika berdepan peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat atas pertimbangan demi memastikan kebajikan pekebun kecil, pengusaha dan golongan rentan terus terbela.
“Kerajaan bersetuju meneruskan inisiatif BUDI MADANI: BUDI Agri-Komoditi secara bersasar demi membantu pekebun kecil, pengusaha serta golongan rentan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini yang turut mendengar pembentangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berhubung krisis rantaian bekalan global yang semakin memberi tekanan.
Dalam pada itu, Anwar turut memberi jaminan bahawa bekalan ubat-ubatan di negara ini masih berada pada tahap stabil.
Katanya, KKM akan terus memantau sebarang cabaran melibatkan rantaian bekalan stok dan harga ubat secara rapi bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan keadaan semasa.
“Apa jua cabaran mendatang, Kerajaan MADANI akan terus bekerja keras, bertindak dengan ihsan dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan negara,” katanya.
Sumber: Bernama
Kredit: Gambar dari Laman Facebook Anwar Ibrahim
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2561302
Comments
Leave a Reply