Economy

Selangor Tarik Minat Pelaburan Asing Lebih RM3 Bilion Menerusi SIBS 2026

KUALA LUMPUR - Selangor berjaya menarik minat pelaburan berpotensi melebihi RM3 bilion daripada empat pelabur asing menerusi surat hasrat (LOI) yang diselaraskan oleh UOB Malaysia kepada Invest Selangor.

LOI berkenaan disampaikan pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 hari ini, melibatkan Shenghui Biotechnology (Malaysia) Sdn Bhd, Galaxy Data Centre, XTC New Energy dan Wuxi Weifu Environmental Catalysts Co. Ltd.

Majlis penyampaian itu diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, serta dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam ucapannya, Amirudin menegaskan Selangor bukan destinasi bagi pelabur yang mencari kos tanah atau tenaga kerja murah, sebaliknya menawarkan peluang kerjasama jangka panjang dan akses kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan aspirasi negeri untuk menarik pelaburan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan pertumbuhan industri berteknologi tinggi.

Menurutnya, daya tahan ekonomi tidak dapat dibina secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama serantau bagi mewujudkan kemakmuran bersama tanpa persaingan yang merugikan mana-mana pihak.

Beliau turut menyifatkan Asia Tenggara sebagai rantau yang mempunyai potensi pertumbuhan besar, didorong populasi muda dan dinamik melebihi 680 juta orang serta kedudukannya yang semakin penting dalam ekonomi global.

Amirudin berkata Selangor turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor, khususnya dalam segmen bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC), automasi reka bentuk elektronik (EDA) dan pembangunan harta intelek.

Katanya, Malaysia Semiconductor IC Design Park di Puchong merupakan antara inisiatif yang mencerminkan komitmen negeri dalam memperkembangkan industri berkenaan.

Inisiatif itu merangkumi pembangunan inkubator, penyediaan infrastruktur pengkomputeran berprestasi tinggi dan peningkatan kemahiran jurutera tempatan bagi membolehkan mereka menghasilkan reka bentuk cip bertaraf dunia.

Beliau berkata Selangor berhasrat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan generasi semikonduktor seterusnya yang menyokong perkembangan kecerdasan buatan (AI) global.

SIBS 2026 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 14 hingga 17 Okt, menghimpunkan pelabur, pemimpin industri, wakil kerajaan dan komuniti perniagaan dari Malaysia, negara ASEAN serta pasaran antarabangsa.

Dianjurkan oleh Invest Selangor Bhd dengan Kerajaan Negeri Selangor sebagai tuan rumah, sidang kemuncak bertemakan “Selangor, the Gateway to ASEAN” itu menampilkan 526 reruai dengan penyertaan dari pelbagai negara, termasuk Singapura, Indonesia, Jepun, China, Amerika Syarikat, Jerman dan Vietnam.

Acara empat hari itu menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung serta nilai transaksi berpotensi sebanyak RM8 bilion.

Program berkenaan turut melibatkan 110 delegasi menerusi Program Delegasi Jemputan, manakala 188 penceramah dijadual menyertai perbincangan dalam sembilan program persidangan khusus.


Sumber Info: Bernama - Astro Awani 
https://www.astroawani.com/berita-bisnes/selangor-tarik-pelaburan-berpotensi-lebih-rm3-bilion-daripada-empat-pelabur-asing 

Sumber Gambar: Berita Harian

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply