KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kegagalan memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM230.9 juta yang melibatkan syarikat penyedia perkhidmatan elektronik, My EG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Berhad.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata siasatan itu dijalankan susulan laporan polis yang diterima pada 7 Okt lepas berkaitan transaksi kewangan hasil kerajaan membabitkan kedua-dua syarikat di bawah Kumpulan MyEG.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, setakat ini, seramai enam saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan, manakala beberapa individu lain dijangka dipanggil dalam masa terdekat.
Katanya, dokumen berkaitan juga telah diterima dan sedang diteliti oleh pihak polis, sementara siasatan diteruskan.
Rusdi menegaskan PDRM komited memastikan proses siasatan dilaksanakan secara bebas, telus dan profesional mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam perlakuan jenayah.
Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes berkenaan bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan yang sedang berjalan.
Sumber Info: Astro Awani & Bernama
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/isu-myeg-zetrix-ai-jsjk-buka-kertas-siasatan
Comments
Leave a Reply