Fact

BBC Media Action (BBCMA) dan Permainan Kuasa Media: Kerja Amal atau Propaganda?

Stuart Hall, seorang tokoh penting dalam kajian budaya moden menekankan bahawa media bukan hanya mencerminkan realiti, tetapi mencipta realiti melalui representasi ideologi, politik, gender, dan lain-lain.

Sebuah media bebas The Grayzone, mendedahkan bahawa BBC Media Action (BBCMA), iaitu sebuah cabang amal kepada British Broadcasting Corporation (BBC), memainkan peranan sebagai unit perang maklumat bagi Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan UK (FCDO), iaitu agensi induk Perkhidmatan Perisikan Rahsia UK (SIS/MI6). Nigeria, Ethiopia, Sierra Leone, Bangladesh, Nepal, Ukraine, Eropah Tmur dan Tengah, dan negara-negara yang miskin atau rapuh menjadi tumpuan bagi kepentingan mereka.

Bayangkan anda sedang mendengar program radio tempatan yang menarik di Nigeria atau menonton rancangan yang menarik bagi anak muda di Balkan. Secara luarannya, ia seperti  rancangan yang bermanfaat, tetapi sebaliknya majoriti kandungan berpaksikan kepentingan politik yang berpotensi membawa perubahan terhadap tingkah laku, norma sosial dan sistem di kalangan masyarakat. 

BBCMA yang bermula 25 tahun lalu, sudah menjangkau kepada lebih 100 juta orang di lebih 30 negara, dalam 50 bahasa. Platform media lokal, begitu juga dengan wartawan bebas, blogger dan ‘vlogger’ dianggap sebagai sasaran penting. Para mentor yang merupakan wartawan senior BBC datang ke negara-negara itu dengan tujuan untuk memberi sokongan editorial, produksi, pengurusan, malah terlibat dalam penghasilan kandungan.

Menurut dokumen bocor yang dilaporkan, The Grayzone, BBCMA menyusup ke media tempatan atas nama “pembangunan kapasiti,” tetapi mempunyai matlamat utama untuk mengubah tingkah laku politik masyarakat.

Program radio ‘Story Story’ di Nigeria menjadi contoh utama. Dengan 26 juta pendengar, kaji selidik dari BBCMA mendakwa 32% daripada audiens melakukan sesuatu dengan berbeza selepas mendengarnya, dan 40% daripada mereka mengaku mengundi secara berbeza kerana terpengaruh dengan apa yang disampaikan. Ini bukan sekadar hiburan, tetapi strategi kejuruteraan sosial.

Selain itu, seperti yang didedahkan oleh The Grayzone, pilihan raya Macedonia pada 2016 telah dicetuskan oleh “revolusi berwarna” tajaan MI6 bagi menggulingkan sebuah pentadbiran nasionalis popular. Ia digantikan dengan kerajaan pro-Barat yang menang dalam pilihan raya dengan majoriti tipis. Kita mungkin hanya boleh berspekulasi sama ada pengaruh di sebalik tabir BBCMA terhadap cara media tempatan telah mempengaruhi dalam keputusan pilihan raya.

Apa yang berlaku juga adalah tindakan Pejabat Luar Negeri Britain menggunakan BBCMA dan BBC untuk menguasai ruang maklumat dan mempengaruhi perspektif di seluruh Balkan melalui beberapa siri kempen tempatan. Dalam konteks ini, pelbagai maklumat disampaikan dengan maksud tersirat bagi menanam idea-idea pro-NATO untuk diterima oleh masyarakat. Ini strategi halus untuk memastikan naratif Barat terus mendominasi.

Pada Februari 2021, The Grayzone mendedahkan bagaimana BBCMA mengendalikan program sulit untuk melatih wartawan dan membentuk ‘influencer’ di Rusia serta Eropah Tengah dan Timur, sambil membantu menghasilkan program berita dan hiburan bagi saluran media tempatan yang menyebarkan mesej pro-NATO. Aktiviti-aktiviti ini dibiayai oleh Pejabat Luar Negeri Britain, untuk melemahkan pengaruh negara Rusia di dalam negara-negara tersebut.

Perkara ini digelar sebagai penggunaan ‘kuasa Lembut’ atau ‘soft power’ dalam Media Global dengan contoh popular:

AS - Voice of America (VOA).

China - CGTN dan Xinhua.

Russia - RT.

Perbezaannya, BBCMA beroperasi dengan sangat halus dengan menggunakan ‘topeng amal’. Ia menyusup ke negara-negara tertentu kononnya membawa semangat kewartawanan, tetapi dalam masa sama menanam naratif strategik yang mempunyai kepentingan pihak tertentu.

Persoalan besar timbul: adakah negara sasaran benar-benar tahu media mereka digunakan untuk tujuan politik asing? Apabila wartawan atau kandungan dibentuk oleh pengaruh luar, di manakah letaknya kebebasan media? Lebih berbahaya, kepercayaan rakyat terhadap mana-mana media boleh runtuh dan orang awam dibiarkan dalam keadaan keliru.

Dunia sudah lama memasuki era di mana semua kuasa besar menggunakan media sebagai senjata tersembunyi, maka nilai paling mahal yang hilang bukan sekadar kepercayaan terhadap media antarabangsa, tetapi juga keyakinan rakyat terhadap keabsahan demokrasi yang digunapakai.

Oleh: Norain Yusoff.

 

 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply