Geopolitic

Mengapa Malaysia Tegas Menyokong Palestin? Sejarah, Dasar Luar dan Solidariti Rakyat Malaysia

Malaysia antara negara paling lantang di dunia dalam isu Palestin. Sikap ini bukan muncul secara tiba-tiba, tetapi hasil perkembangan sejarah, nilai kemanusiaan, prinsip anti-kolonialisme dan pendirian tegas kerajaan Malaysia sejak sebelum merdeka.

Sejarah Awal: Hubungan Malaysia–Palestin Bermula Sejak 1930-an

Sokongan masyarakat Melayu terhadap Palestin bermula jauh sebelum penubuhan Malaysia. Pada era 1930-an, orang Melayu sudah menyedari penindasan yang berlaku akibat projek kolonial Zionis selepas Deklarasi Balfour 1917.

Tokoh Melayu Awal yang Menyokong Palestin

Dr. Burhanuddin al-Helmi, antara tokoh paling awal menyatakan solidariti terhadap Palestin. Pada 1936, beliau mengunjungi Palestin dan menyertai demonstrasi sehingga dipenjarakan oleh pihak British setelah kembali ke Tanah Melayu.

Pada 1937, beliau menerbitkan majalah Taman Bahagia dan menulis tentang isu Palestin, namun ia diharamkan British satu jam selepas diterbitkan kerana mengetahui penulisan seperti itu akan membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap penjajahan British yang sedang berlaku di Tanah Melayu.

Selain itu, buku Perang Suci di Palestin oleh A.H. Edrus pada 1948 menjadi medium penting penyebaran maklumat tentang penindasan Palestin, sehingga mendapat pujian Mufti Baitul Maqdis.

NGO dan Gerakan Melayu Awal Menyokong Palestin

Persatuan Melayu Singapura juga menyokong perjuangan rakyat Palestin semasa Perang Arab-Israel 1948.

Persatuan Melayu Singapura mengusulkan bantahan rasmi terhadap penaklukan Palestin ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO pada 25 hingga 26 Januari 1948.

Selain itu, perjuangan membela rakyat Palestin turut disokong oleh Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ketika berlangsungnya Persidangan Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) pada bulan Mac 1948 di Maahad al-Ihya’ al-Syarif, Gunung Semanggol, Perak.

Bantuan kewangan turut diberikan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin. Pada awal tahun 1949, sejumlah 14,000 dolar telah berjaya dikumpulkan oleh Singapore Muslim Palestine Relief Committe kepada pelarian rakyat Palestin

Kesedaran awal ini membentuk asas sokongan moral dan politik Malaysia terhadap Palestin.

Dasar Luar Malaysia: Menolak Israel Sejak Hari Pertama Merdeka

Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kerajaan segera menetapkan pendirian tidak menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Pada 1957, David Ben-Gurion mengucapkan tahniah kepada Tunku Abdul Rahman dan menawarkan pembukaan pejabat Israel di Kuala Lumpur, namun ditolak.

Delegasi Malaysia ke PBB menegaskan Malaysia tidak akan menjalin hubungan rasmi dengan Israel.

Komitmen Awal Dalam Isu Palestin

Pada 1965, Yang di-Pertuan Agong menegaskan sokongan kepada Palestin semasa menyambut Presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser.

Pada Sidang Kemuncak Negara-Negara Islam 1969, Tunku Abdul Rahman menyatakan Malaysia sebagai sebahagian ummah wajib mempertahankan Palestin.

Tun Hussein Onn pula, berkhidmat di Palestin ketika Perang Dunia Kedua, membina dasar luar yang lebih tegas terhadap Israel dan menyokong Palestin secara konsisten.

Pengiktirafan Malaysia terhadap PLO dan Peranan ABIM

Sokongan Malaysia bukan hanya dari sudut diplomatik, tetapi juga melalui pergerakan masyarakat sivil.

Malaysia adalah negara Asia Tenggara yang pertama mengiktiraf PLO. Pada awal 1980-an, Malaysia memberikan status diplomatik penuh kepada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan membenarkan pejabat perwakilan dibuka di Kuala Lumpur. Ini menjadikan Malaysia antara negara Islam paling awal mengambil langkah berani tersebut.

Pada tahun 1970an, berlakunya kebangkitan aktiviti dakwah rentas sempadan, di mana muslim di Malaysia mula terlibat dalam organisasi dakwah seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Tabligh dan Al-Arqam. Pada 1979, wakil PLO Khalid Al-Syakh hadir ke Kuala Lumpur untuk memberi taklimat kepada kepimpinan ABIM. ABIM lantang bersuara dalam bantahan terhadap Israel termasuk isu penaklukan Baitul Maqdis pada 1980. Pada 1983, Yasser Arafat menganugerahkan Anwar Ibrahim iaitu bekas Presiden ABIM dengan gelaran “Anak Palestin” atas perjuangannya mempertahankan Palestin di peringkat antarabangsa.

Pada tahun 1984, Arafat membuat lawatan rasmi ke Malaysia dan berucap di Stadium Negara, disambut ribuan penyokong membuktikan simbol hubungan erat Malaysia–Palestin.

Sokongan kepada Negara Palestin Selepas Pengisytiharan 1988

Pada 15 November 1988, Majlis Kebangsaan Palestin mengisytiharkan penubuhan negara Palestin di Algiers, Algeria. Pengisytiharan ini kemudiannya disahkan oleh Majlis Agung PBB pada 15 Disember 1988. Malaysia segera mengiktiraf kemerdekaan itu dan meneruskan sokongan politik di platform antarabangsa.

Tun Dr. Mahathir Mohamad kemudian menjadi antara pemimpin global paling lantang mengkritik Israel, termasuk menolak Perjanjian Oslo kerana dianggap gagal membawa keadilan sebenar kepada Palestin.

Hubungan Malaysia dengan Hamas dan Bantuan ke Gaza

Malaysia turut berhubung dengan semua pihak utama politik Palestin, termasuk Hamas.

Datuk Seri Najib Razak adalah Perdana Menteri Malaysia pertama yang menjejakkan kaki ke Palestin, dengan mengadakan lawatan kemanusiaan selama sehari pada Januari 2013. Najib menjadi pemimpin bukan Arab pertama melawat Gaza secara rasmi. Beliau menyatakan sokongan kepada kedua-dua Hamas dan Fatah untuk membina kerajaan perpaduan. Najib menerima Ijazah Kehormat dari Universiti Al-Aqsa dan turut mengumumkan biasiswa pendidikan untuk rakyat Palestin.

Pada Januari 2020, Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh, juga telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di Putrajaya. Tun Dr. Mahathir menegaskan komitmen kukuh Malaysia terhadap rakyat Palestin dan menyatakan perlunya strategi menyeluruh bagi memperkukuh perjuangan mereka.

Malaysia semakin lantang bersuara dalam isu Palestin, terutama selepas tercetusnya konflik dan genosid di Gaza. Rakyat Malaysia dan kerajaan sering menyalurkan bantuan kemanusiaan melalui saluran sah, dan tidak sama sekali untuk tujuan buruk atau keganasan.

Malaysia Menepis Tuduhan Berkait Keganasan

Malaysia menegaskan negara ini bukan pusat operasi Hamas. Ketua Polis Negara telah menekankan bahawa sokongan Malaysia adalah atas nilai agama dan kemanusiaan, bukan ketenteraan.

Bantuan Kemanusiaan Malaysia Terus Mengalir ke Palestin

NGO Malaysia seperti MyCARE, Cinta Gaza Malaysia, MAPIM dan banyak lagi memainkan peranan besar dalam menyediakan:

·         bantuan makanan dan perubatan

·         pembiayaan pendidikan

·         pembinaan sekolah, masjid, hospital dan dapur amal

·         infrastruktur asas untuk penduduk Gaza yang terjejas akibat sekatan Israel

Peranan rakyat Malaysia sangat konsisten, menjadikan Palestin isu kemanusiaan paling diangkat di negara ini.

Kesimpulannya, Palestin adalah sebahagian daripada identiti moral Malaysia. Sokongan Malaysia terhadap Palestin bukan sekadar berkaitan agama, tetapi juga mengenai: keadilan antarabangsa, penentangan terhadap penjajahan moden, hak asasi manusia, dan solidariti kemanusiaan.

Sejak sebelum merdeka hingga hari ini, Malaysia menerusi kerajaan, NGO dan rakyatnya terus mempertahankan hak rakyat Palestin untuk hidup merdeka dan bermaruah.

Oleh: Norain Yusoff

 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply