Pentadbiran Donald Trump dilaporkan sedang merangka satu pelan damai komprehensif melibatkan 28 perkara untuk menamatkan perang Rusia-Ukraine. Dokumen berprofil tinggi ini, yang digambarkan sebagai “peta jalan diplomatik yang paling berani sejak perang bermula”, disusun secara rahsia bersama pegawai kanan Rusia. Ianya adalah satu langkah yang mencetuskan pelbagai reaksi dari Kyiv, Moscow, dan Eropah.
Laporan awal mengenai pelan ini didedahkan oleh portal Axios, sebelum turut dipetik oleh Reuters, Business Standard, dan beberapa media antarabangsa lain.
Pelan Damai Berprofil Tinggi: Apa Yang Cuba Dilakukan AS?
Menurut laporan, pelan 28 perkara itu bertujuan:
· Menghentikan konflik bersenjata secara segera
· Menetapkan sempadan baharu di wilayah yang dituntut kedua-dua pihak
· Menjamin keselamatan Ukraine dan Eropah
· Membentuk semula hubungan antara AS, Rusia dan Ukraine
Dokumen ini dirangka berdasarkan perbincangan awal antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin ketika mereka bertemu di Alaska pada Ogos 2025. Rundingan susulan pula dikendalikan oleh utusan khas Trump, Steve Witkoff, bersama pegawai Rusia Kirill Dmitriev, tokoh berpengaruh dalam diplomasi Moscow.
Menurut Dmitriev, pelan ini adalah “rangka luas jangka panjang” yang tidak hanya fokus kepada Ukraine semata-mata, tetapi pada kestabilan seluruh Eropah.
Isi Utama Pelan 28 Perkara
Beberapa cadangan pusat pelan damai ini termasuk:
1. Rusia diberikan kawalan penuh ke atas Luhansk dan Donetsk (dikenali sebagai Donbas)
Walaupun Ukraine masih menguasai sebahagian kecil wilayah ini (sekitar 14.5%), pelan tersebut mencadangkan:
· Rusia mendapatkan kawalan de facto sepenuhnya
· Kawasan yang ditinggalkan Ukraine dijadikan zon nyahmilitarisasi, tanpa penempatan tentera Rusia
2. Garis kawalan dibekukan di Kherson dan Zaporizhzhia
Di selatan Ukraine:
· Garis sempadan semasa akan dikekalkan
· Rusia mungkin memulangkan kembali sedikit wilayah di Selatan Ukraine dan ianya bergantung kepada hasil rundingan
3. Crimea dan Donbas diiktiraf sebagai wilayah sah Rusia oleh AS
· Namun Ukraine tidak diwajibkan mengiktirafnya.
4. Had ke atas tentera Ukraine
Menurut kenyataan beberapa pegawai Ukraine, pelan Trump turut mencadangkan:
· Mengehadkan saiz tentera Ukraine
· Mengehadkan penggunaan senjata jarak jauh
· Sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan Amerika Syarikat terhadap Ukraine dan Eropah
5. Cadangan tambahan (tidak disahkan sepenuhnya)
Beberapa laporan antarabangsa dan perbincangan media sosial menyebut:
· Pengiktirafan bahasa Rusia sebagai salah satu bahasa rasmi di beberapa wilayah
· Kedudukan istimewa kepada Gereja Ortodoks Rusia di Ukraine
Walau bagaimanapun, perkara ini belum disahkan secara rasmi.
Mengapa AS Menganggap Pelan Ini Realistik?
Menurut pegawai AS yang dipetik Axios, White House berpendapat:
“Ukraine mungkin kehilangan wilayah-wilayah tersebut juga jika perang berlanjutan, dan oleh itu lebih baik mencapai perjanjian ini sekarang.”
Ini adalah hujah yang kontroversial, namun ia mencerminkan perubahan pendekatan Washington yang kini lebih menekankan rundingan berbanding sokongan ketenteraan tanpa syarat seperti tahun-tahun awal perang.
AS juga dilaporkan telah mengadakan perbincangan awal dengan beberapa pemimpin Eropah untuk menjelaskan draf pelan ini. Ini juga satu petanda bahawa Washington mahu sokongan antarabangsa sebelum pelan ini diumumkan secara rasmi.
Bagaimana Reaksi Pihak Berkepentingan?
Rusia:
Kremlin secara rasmi menafikan laporan bahawa pelan ini mempunyai hasil perkembangan terbaharu, tetapi sumber dalam pentadbiran Rusia mengakui mereka “berharap” dan “optimis” dengan usaha Trump. Pada masa sama, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov menegaskan bahawa syarat asal Rusia masih kekal iaitu:
· Ukraine sama sekali tidak boleh menyertai NATO. Ukraine mesti mengiktiraf wilayah-wilayah yang dirampas Rusia
· Kyiv perlu menghentikan semua operasi ketenteraan
Ukraine:
Perang telah memasuki tahun ketiga dan kos pemulihan Ukraine dianggarkan melebihi USD 500 bilion. Pemimpin Ukraine kini bersikap lebih berhati-hati. Mereka juga hanya menerima “isyarat” mengenai pelan tersebut tetapi tidak diberi akses penuh kepada dokumen 28 perkara itu.
· Seorang pegawai Ukraine berkata pelan itu kelihatan seperti: “Konsesi besar yang memberikan keuntungan geopolitik kepada Rusia.”
· Ukraine juga bimbang pelan tersebut akan mengehadkan keupayaan pertahanan mereka dalam jangka panjang.
Eropah:
Negara-negara Eropah pula masih mempertimbangkan implikasi pelan tersebut. Jika AS mengiktiraf tuntutan wilayah Rusia, ia bakal memberi kesan besar kepada dasar luar EU, NATO dan keseluruhan struktur keselamatan Eropah. Peta geopolitik Eropah akan berubah selepas ini.
Implikasi Geopolitik Jika Pelan Ini Dilaksanakan
Pelan damai Trump berpotensi membawa perubahan drastik kepada Eropah dan dunia:
1. Perubahan sempadan rasmi di Eropah buat kali pertama sejak 2014
· Ini boleh menjadi preseden/ model ikutan yang berisiko bagi konflik wilayah di negara lain.
2. Ukraine bergantung penuh kepada jaminan keselamatan AS
· Jika jaminan ini gagal, Ukraine mungkin berada dalam risiko besar.
3. Rusia memperoleh kemenangan strategik tanpa perlu menamatkan sepenuhnya operasi ketenteraannya
4. NATO mungkin akan mempunyai pandangan yang berpecah, terutama jika AS dan EU tidak sependapat.
5. Sekatan AS terhadap Rusia mungkin dibincangkan semula
Fakta Menarik
· Pertemuan Trump–Putin di Alaska pada Ogos 2025 dilaporkan berlangsung hampir empat jam, lebih lama daripada yang diumumkan secara rasmi.
· Pelan damai 28 perkara ini diinspirasikan daripada model gencatan senjata Gaza yang pernah diusahakan Trump.
· Sejak perang Ukraine-Rusia bermula pada 2022, lebih 500 cadangan damai telah dibentangkan oleh ahli akademik, pemikir dasar dan kerajaan, tetapi hampir semuanya gagal kerana tuntutan Rusia yang secara konsisten meningkat. Sebelum ini terdapat Trilateral Contact Group yang dibentuk antara Ukraine, Rusia dan OSCE untuk menyelesaikan konflik Donbas secara diplomatik.
· Kremlin pernah dilaporkan mempunyai dokumen dalaman yang mencadangkan Rusia melanjutkan perang sehingga 2026 untuk melemahkan sokongan Barat terhadap Ukraine.
Apa Yang Boleh Berlaku Selepas Ini?
1. AS mungkin mengadakan rundingan pusingan baharu dengan Eropah untuk mendapatkan sokongan.
2. Ukraine dijangka membuat pendirian rasmi apabila draf penuh 28 perkara itu didedahkan kepada mereka.
3. Rusia boleh menggunakan pelan ini sebagai taktik diplomasi untuk menekan Ukraine dan Barat.
4. Perbincangan mengenai sidang kemuncak Trump–Putin seterusnya turut disebut, dengan Budapest menjadi antara lokasi cadangan.
5. Terdapat laporan bahawa satu dokumen dalaman Kremlin menasihatkan Moscow untuk melambatkan sebarang penyelesaian damai sehingga 2026, dan sebaliknya memanfaatkan proses rundingan sebagai alat untuk menekan Barat, termasuk mempertingkat ketegangan antara AS, Eropah, dan China.
Kesimpulannya, pelan damai 28 perkara oleh pentadbiran Trump kali ini dianggap satu percubaan paling serius untuk menamatkan perang Rusia-Ukraine sejak 2022. Namun ia juga merupakan cadangan yang sarat dengan risiko, kontroversi, dan berpotensi mengubah sempadan geopolitik Eropah. Sama ada pelan ini akan diterima atau ditolak, ia kini menjadi fokus utama diplomasi global dan mungkin menjadi titik perubahan terbesar dalam konflik yang telah berlarutan hampir empat tahun. Ini adalah perkembangan menarik kerana pelan 28 perkara ini dikatakan diinspirasi oleh model perjanjian gencatan senjata Trump di Gaza yang nyata bersifat berat sebelah. Wilayah tergadai demi kelegaan diplomatik dan ini jelas satu krisis politik dan moral.
Sumber Rujukan:
https://www.axios.com/2025/11/19/ukraine-peace-plan-trump-russia-witkoff?
Oleh: Norain Yusoff
Comments
Leave a Reply