Technology

F-35 Sebagai Simbol Kuasa dan Hipokrasi Barat di Timur Tengah

Israel telah menjadi satu-satunya negara di Timur Tengah yang mengendalikan F-35 dengan varian khususnya dikenali sebagai F-35I Adir (“Adir” bermaksud “Yang Perkasa”), sejak mendapat keizinan daripada AS. Operasi udara oleh Israel mula menggunakan F-35 sejak tahun 2016.

Sejak itu, kehadiran F-35I telah mengubah secara ketara peta kuasa udara di rantau tersebut, baik dari segi teknologi, strategi, mahupun diplomasi pertahanan.

Fakta Yang Perlu Diketahui

Berikut beberapa fakta yang mungkin kurang dihebahkan tetapi penting untuk memahami konteks sebenar:

·         Israel bukan sekadar pengguna; ia diberi keizinan khas untuk menyesuaikan sistem elektroniknya sendiri, termasuk sistem peperangan elektronik serta integrasi senjata buatan tempatan seperti Elbit Systems dan Rafael Advanced Defense Systems dalam pesawat F-35I.

·         Pesawat F-35I Israel beroperasi dalam “mod” yang disebut sebagai “Beast Mode”, iaitu menggunakan senjata yang disangkut di luar sayap (underwing pylons) yang biasanya akan mengurangkan sifat siluman (stealth), tetapi Israel menggunakannya dalam operasi udara biasa. Ini adalah antara yang pertama di dunia.

·         Di pangkalan udara Nevatim Airbase, Israel mempunyai tiga skuadron F-35I yang aktif; 116, 117 dan 140 Skuadron. Ia merancang untuk membesarkan jumlahnya ke sekitar 75 unit menjelang 2030.

·         Dari segi prestasi, angka menunjukkan bahawa F-35I telah mengumpul lebih 15,000 jam penerbangan operasional atau dalam perang, meletakkannya sebagai varian yang paling banyak terlibat dalam keadaan nyata (combat-proven) di antara semua operator F-35.

Mengapa Ini Penting Untuk Israel dan Kesan Serantau?

Pengendalian F-35I oleh Israel memberi kelebihan strategik yang sukar ditandingi di kawasan Timur Tengah dan mempunyai implikasi berikut:

·         Kelebihan Ketenteraan Qualitative (QME): AS sejak lama menggariskan bahawa mana-mana penjualan senjata ke negara-negara Arab, dunia harus mematuhi peraturan bahawa Israel dapat mengekalkan keunggulan kualitatif ketenteraan berbanding negara sekeliling.

·         Deterrence & Kebolehan Serangan Jauh: Dengan mod stealth, integrasi senjata dan pengubahsuaian melibatkan teknologi tempatan, F-35I membolehkan Israel menguji kebolehan serangan jauh dan “perlindungan udara” yang tinggi. Ini meningkatkan kedudukan Israel sebagai kuasa udara utama di rantau Timur Tengah.

·         Keserasian Teknologi & Eksport AS: Maklum balas yang diperoleh dari Israel membantu mempertingkatkan keseluruhan program F-35 dan memberi nilai tambah kepada industri pertahanan AS.

Cabaran dan Isu Kritikal

Walaupun kelebihan diraih, terdapat pelbagai isu yang muncul:

·         Tegangan Geopolitik: Tawaran atau cadangan bahawa negara-negara lain di Timur Tengah (contohnya Saudi Arabia) boleh mendapatkan F-35 meningkatkan kebimbangan bahawa keseimbangan kuasa akan tergugat kerana Israel sudah mengekalkan F-35 sebagai monopoli di rantau ini hingga kini.

·         Isu Hak Asasi & Komponen Eksport: Beberapa negara, contohnya Netherlands, telah mempertimbangkan larangan eksport komponen F-35 ke Israel atas alasan pelanggaran undang-undang manusia dalam konflik.

·         Klaim: Terdapat dakwaan oleh pihak Iran bahawa terdapat F-35I yang ditembak jatuh, walau bagaimanapun, tiada bukti bebas yang mengesahkan dakwaan itu. Ini menunjukkan bahawa risiko tetap tinggi dalam konflik sebenar.

F-35 dan Genosid di Gaza

Beberapa badan hak asasi seperti Amnesty International dan Human Rights Watch mendakwa bahawa terdapat serangan udara oleh Israel di Gaza, menggunakan pesawat tempur F-35 sehingga telah menyebabkan kematian besar-besaran dalam kalangan orang awam. Ia juga  memusnahkan infrastruktur penting seperti rumah, hospital, sekolah serta kemudahan air. Mereka menegaskan tindakan itu mungkin memenuhi elemen jenayah perang atau genosid, khususnya apabila disertai sekatan yang menyebabkan kebuluran di wilayah tersebut.

Pesawat F-35, buatan syarikat Amerika Syarikat Lockheed Martin, merupakan jet pejuang paling canggih dunia dan menjadi tulang belakang kekuatan udara Israel. Namun, penggunaannya dalam serangan ke atas Gaza menimbulkan perdebatan moral dan undang-undang kerana sebahagian komponennya dihasilkan oleh negara-negara sekutu seperti Britain, Itali, dan Jepun. Di UK, beberapa NGO telah membawa kerajaan ke mahkamah kerana didakwa membenarkan eksport komponen F-35 yang digunakan dalam operasi Israel di Gaza.

Walaupun Israel menafikan dakwaan genosid dan menegaskan tindakannya sebagai “hak mempertahankan diri”, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengarahkan Tel Aviv supaya mengambil langkah mencegah sebarang tindakan yang boleh membawa kepada genosid. Dalam konteks ini, pesawat F-35 menjadi simbol kepada keterikatan industri pertahanan global dengan konflik kemanusiaan yang berterusan di Gaza.

Kesimpulannya, kecanggihan pesawat F-35 ini mungkin dibanggakan sebagai kemuncak inovasi teknologi pertahanan, namun di Gaza, kehadirannya di udara menjadi gema kematian. Ketika kuasa besar terus memperdagangkan senjata atas nama keselamatan, mangsa sebenar peperangan adalah kanak-kanak, wanita, dan orang awam. Tiada teknologi secanggih mana pun mampu menjustifikasi hilangnya nilai kemanusiaan. Sejarah akan mengingati F-35 bukan hanya sebagai jet pejuang tercanggih di dunia, tetapi juga sebagai cerminan bagaimana dunia moden memilih untuk menggunakan kekuasaannya untuk tujuan kemusnahan sebuah wilayah yang langsung tiada pasukan ketenteraan untuk membalas kekuatan serangan udara seperti ini.

Sumber Rujukan:

“Saudi Arabia’s request to buy F-35 jets clears key Pentagon hurdle, sources say”, The Times of Israel.

“Saudi Arabia eyes 48 F-35s as US reviews defense deal”, The Jerusalem Post / Reuters.

“Israel’s F-35I ‘Adir’: A Strategic Game-Changer in Middle East Air Power”, Defense.info.

“What is the F-35 fighter jet Israel uses …”, Declassified UK.

“Israel’s F-35s First To Use ‘Beast Mode’ In Combat”, TheWarZone (TWZ).

“F-35 highlights Israel as a unique force multiplier for America”, JNS.

“Netherlands Supreme Court advised to uphold Israel F-35 components export ban”, Middle East Monitor.

“No definite proof for Iran's claims it shot down Israeli F-35”, France24.

Oleh: Norain Yusoff

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply