Selepas 5 tahun ketegangan diplomatik dan sekatan perjalanan udara, India dan China kini menunjukkan kesediaan untuk memperbaiki hubungan, satu perkembangan yang mencerminkan perubahan hala tuju politik serantau.
Penerbangan terus antara beberapa bandar utama di China dan India akan diteruskan semula menjelang hujung Oktober ini, satu langkah yang dilihat sebagai tanda hubungan dua kuasa Asia itu mula pulih.
Penerbangan antara China dan India telah dihentikan sejak pandemik COVID-19 pada tahun 2020, iaitu ketika hubungan diplomatik mereka merudum akibat ketegangan berpanjangan di sempadan Himalaya. Kini, kedua-duanya cuba menormalkan semula hubungan, di tengah-tengah ketidaktentuan global yang dipacu oleh dasar perdagangan keras Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menurut kenyataan Kedutaan India di Beijing di platform media sosial WeChat, penerbangan antara bandar yang ditetapkan akan disambung semula, tertakluk kepada keputusan syarikat penerbangan komersial. Langkah ini, menurut kedutaan, adalah sebahagian daripada “pendekatan India ke arah pemulihan berperingkat hubungan India-China”.
Syarikat penerbangan terbesar India, IndiGo, turut mengumumkan akan memulakan semula laluan dari Kolkata ke Guangzhou mulai 26 Oktober 2025, bertepatan dengan permulaan jadual musim sejuk.
Perjanjian dua hala mengehadkan setiap negara kepada 6 destinasi dan 42 penerbangan seminggu. China menggunakan sepenuhnya kuota ini melalui empat syarikat utama: Air China (Beijing–Mumbai/Delhi), China Southern (Delhi–Guangzhou sebanyak dua kali sehari), China Eastern (Delhi–Shanghai setiap hari), dan Shandong Airlines (Kunming–Delhi sebanyak 4 kali seminggu).
Keputusan ini dibuat tidak lama selepas lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi, ke China buat pertama kali dalam tujuh tahun untuk menghadiri sidang kemuncak Shanghai Cooperation Organisation (SCO) pada bulan September. Dalam pertemuan itu, Presiden Modi dan Presiden Xi Jinping bersetuju bahawa India dan China harus menjadi rakan pembangunan, bukan pesaing, sambil berbincang mengenai cara memperkukuh hubungan perdagangan di tengah-tengah ketidaktentuan tarif global yang dicetuskan oleh dasar Trump.
Trump baru-baru ini menaikkan kadar tarif ke atas import dari India kepada 50%, sebagai tindak balas atas pembelian berterusan minyak Rusia oleh New Delhi. Trump turut mendesak Kesatuan Eropah (EU) mengenakan tarif 100% terhadap China dan India sebagai sebahagian daripada usahanya menekan Moscow berikutan serangan ke atas Ukraine yang masih berterusan oleh Rusia.
Hubungan China-India sebelum ini menjadi panas selepas insiden berdarah pada tahun 2020 di sempadan Himalaya, yang mengorbankan 20 tentera India dan 4 tentera China. Ia merupakan pertembungan paling buruk dalam beberapa dekad sehingga membekukan hubungan diplomatik peringkat tinggi antara kedua-dua negara.
Kini, penyambungan semula penerbangan terus antara dua negara berjiran ini bukan sekadar simbol perhubungan dipulihkan di atas udara, tetapi juga tanda awal kepada kemungkinan pemulihan politik dan ekonomi di antara dua gergasi Asia yang selama ini bersaing sengit.
Langkah ini juga mencerminkan usaha kedua-dua negara menormalkan hubungan di tengah tekanan tarif Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump, serta usaha Modi dan Xi Jinping untuk mengukuhkan kerjasama serantau untuk kepentingan bersama.
Lord Palmerston, seorang Perdana Menteri Britain pada abad ke-19 pernah mengungkapkan;
“Kita tidak mempunyai kawan yang kekal selamanya, dan kita juga tidak mempunyai musuh yang kekal. Yang kekal hanyalah kepentingan kita, dan menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankannya.”
Ucapan Palmerston ini menggambarkan realisme dalam diplomasi dan politik antarabangsa, bahawa sesebuah negara tidak terikat secara kekal kepada mana-mana sekutu atau musuh, sebaliknya ia akan berubah-ubah mengikut kepentingan nasional pada sesuatu masa.
Dari sudut lain, dalam konteks India-China sebagai negara berjiran, agak sukar untuk mengadakan “normalisasi penuh” tanpa penyelesaian isu sempadan. Seandainya insiden sempadan berulang sehingga melibatkan nyawa, hubungan boleh terganggu semula.
Oleh itu, India akan cuba menyeimbangkan hubungannya dengan kuasa-kuasa lain termasuk AS, EU, dan Rusia, sambil menjaga ruang pragmatik dengan China. Ini akan menghasilkan pendekatan “multiple engagement” bukan pro-China atau pro-AS sahaja.
Oleh: Norain Yusoff.
Comments
Leave a Reply