Hamas memberi maklum balas positif terhadap pelan 20 perkara yang dibentangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menamatkan hampir 2 tahun genosid di Gaza. Hamas mengesahkan menerima beberapa bahagian cadangan itu, tetapi menegaskan ada perkara penting yang masih perlu dirundingkan.
Trump, dalam kenyataan awal Sabtu, menggesa zionis Israel supaya “segera hentikan pengeboman Gaza”, sambil menyebut bahawa Hamas sudah “bersedia untuk perdamaian berkekalan”. Trump telah memberikan tempoh sehingga Ahad untuk Hamas memberi respon terhadap cadangannya. Trump menulis dalam media sosialnya Truth Social, jika tiada persetujuan dicapai menjelang Ahad, maka “neraka yang tidak pernah dilihat sebelum ini” akan dilancarkan ke atas Hamas.
Media Israel melaporkan Benjamin Netanyahu, terkejut dengan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kerana respons Hamas dilihat menuju ke arah positif. Menurut laporan, Netanyahu mahu menyelaraskan tindak balas bersama dengan Amerika Syarikat agar respons Hamas itu tidak dilihat terlalu positif.
Ketua pembangkang Israel pula menyatakan pihak parti pembangkang boleh bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan sekiranya ada anggota koalisi sayap kanan Netanyahu yang enggan terlibat dalam undian menyokong perjanjian ini.
Keluarga tahanan Israel menggesa supaya serangan di Gaza dihentikan. Masih terdapat 20 tahanan di Gaza yang masih hidup.
Rejim Israel kini berdepan pergolakan politik dalaman, dan dalam tempoh kurang 24 jam, dijangka akan berlaku protes besar-besaran di jalanan yang mendesak agar pelan dari Trump ini diteruskan.
Di lapangan, wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud, menggambarkan suasana luar biasa tenang sekitar tengah malam, tepat ketika Trump dijadualkan berucap di Washington. Buat pertama kali sejak sekian lama, bunyi dron Israel yang biasanya menguasai langit Gaza tidak kedengaran pada pagi itu. Namun, walaupun serangan rejim zionis Israel berkurangan, sebuah serangan dron di al-Mawasi, selatan Gaza, tetap berlaku dan mengorbankan dua kanak-kanak. Beberapa yang lain cedera, menurut sumber perubatan di Kompleks Nasser.
Hamas Mahu Palestin Tadbir Gaza.
Hamas memberi respons bahawa mereka bersedia menyerahkan pentadbiran Gaza kepada badan Palestin bebas (teknokrat) yang berasaskan konsensus nasional serta sokongan Arab dan Islam. Hamas menolak cadangan Trump untuk meletakkan Gaza di bawah pentadbiran antarabangsa yang dinamakan “Board of Peace” – lembaga yang mahu diawasi Trump bersama bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, tokoh yang sering digelar sebagai “penjenayah perang” kerana peranannya dalam pencerobohan Iraq pada 2003.
Pegawai kanan Hamas, Mousa Abu Marzouk, menyatakan secara terang-terangan bahawa Hamas menolak "Board of Peace", dan "kami tidak akan pernah menerima sesiapa sahaja yang bukan rakyat Palestin untuk mengawal rakyat Palestin,".
Pelan Trump juga tidak menyediakan jalan untuk penyatuan semula dengan wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel.
Pelan dikemukakan Trump adalah jelas berat sebelah, namun respons terbuka Hamas menunjukkan kesediaan untuk berkompromi demi nyawa rakyat Gaza. Rundingan masih perlu untuk membincangkan isu besar seperti masa depan Gaza dan hak rakyat Palestin berdasarkan kesepakatan nasional dan undang-undang antarabangsa, bukan keputusan yang dibuat oleh satu pihak sahaja.
Oleh: Norain Yusoff.
Comments
Leave a Reply