Technology

Loji Nuklear di Malaysia Selepas 2030?

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia sedang mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga jangka panjang negara, namun keputusan muktamad sama ada untuk meneruskan penjanaan kuasa nuklear hanya akan dibuat selepas tahun 2030. Ia hanya boleh dilaksanakan apabila mendapat penerimaan daripada orang ramai.

Kerajaan belum membuat komitmen untuk membina loji tenaga nuklear, namun telah menubuhkan sebuah organisasi khusus tenaga nuklear bagi mengkaji semua rangka kerja yang diperlukan, termasuk aspek perjanjian antarabangsa, peraturan dalam negara serta keperluan modal insan.

Malaysia kini sudah menjalinkan kerjasama dengan rakan antarabangsa, termasuk Perancis, Rusia, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan China, bagi mengkaji pilihan teknologi serta pematuhan peraturan.

Dengan adanya bakat tempatan yang sedang bekerja di fasiliti nuklear di luar negara, mereka boleh dibawa pulang untuk menyokong pelaksanaan. Institusi tempatan, seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten), turut melatih pelajar dalam bidang berkaitan nuklear bagi mempersiapkan negara untuk kemungkinan penggunaan pada masa hadapan.

Negara juga perlu bersedia menghadapi peningkatan mendadak dalam permintaan tenaga dengan pembinaan pusat data, elektrifikasi dan kluster pembuatan berteknologi tinggi.

Bergantung pada jenis reaktor dan loji, loji nuklear secara purata menghasilkan 1gw tenaga.

Malaysia kini giat dalam usaha untuk menjadi hab pusat data. Namun, kita tahu bahawa pusat data menggunakan tenaga yang sangat besar. Menurut kerajaan, menjelang tahun 2030, permintaan elektrik daripada pusat data sahaja dijangka meningkat sebanyak 7.7GW.

Selain itu, Malaysia menetapkan sasaran berani untuk mencapai pelepasan sifar bersih karbon menjelang tahun 2050.

Pengurusan jangka panjang sisa radioaktif masih menjadi isu besar kerana ianya boleh kekal berbahaya sehingga ribuan malah jutaan tahun. Uranium, yang mempunyai separuh hayat sekitar 4½ bilion tahun dan sangat radioaktif, hanya boleh dilupuskan dengan cara menyimpannya jauh di bawah tanah di repositori geologi, menurut Persatuan Nuklear Dunia (WNA).

Selain itu, tragedi seperti kemalangan nuklear di Fukushima telah membuatkan banyak negara menilai semula peranan tenaga nuklear. Malaysia juga tidak terkecuali, apabila pada tahun 2018 pentadbiran negara mengambil pendirian untuk tidak menggunakan tenaga nuklear.

Filipina menempatkan satu-satunya loji tenaga nuklear di Asia Tenggara, iaitu Loji Tenaga Nuklear Bataan (BNPP), yang berbentuk kubah konkrit besar yang siap dibina pada pertengahan 1980an. Namun, ia tidak pernah beroperasi disebabkan isu keselamatan, politik dan kontroversi berkaitan kontrak.

Lembaga Pembangunan Kuasa Bangladesh pula secara rasmi memulakan pembinaan reaktor pertamanya pada tahun 2022, dan reaktor 1,200mw siap pada Oktober 2024, dengan satu lagi reaktor 1,200mw sedang dalam pembinaan. Kos anggaran untuk pembinaan kedua-dua reaktor tersebut ialah AS13 bilion, menurut laporan kewangan 2022. Walau bagaimanapun, loji kuasa nuklear mempunyai kos operasi dan bahan api yang agak rendah berbanding stesen janakuasa bahan api fosil. Loji arang batu dan gas mempunyai kos operasi yang tinggi disebabkan oleh pergerakan turun naik harganya dipengaruhi oleh faktor geopolitik dan ekonomi.

Malaysia masih berhati-hati, tetapi tekanan permintaan tenaga dan kesan perubahan iklim mungkin menjadikan nuklear pilihan pada masa depan. Keputusan akhir akan sangat bergantung pada aspek keselamatan, kos, teknologi dan penerimaan oleh rakyat.

Oleh: Norain Yusoff.

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply