Latar Sejarah: Kerajaan Islam Pertama di Nusantara
Terletak di utara Pulau Sumatera dan menghadap ke Selat Melaka, Aceh memiliki kedudukan strategik sejak berabad-abad lalu. Kedatangan pedagang India, Arab dan Eropah menjadikannya pintu masuk utama kebudayaan dan agama ke Nusantara.
Aceh mencatat sejarah sebagai tempat lahirnya kerajaan Islam pertama di Nusantara iaitu Kerajaan Perlak (840 M), diikuti oleh Samudera Pasai (1267–1521) yang terkenal sebagai pusat perdagangan dan penyebaran Islam. Pengembara Muslim terkenal Ibnu Battutah turut mencatatkan kemajuan Pasai pada abad ke-14, membuktikan hubungan luasnya dengan dunia luar.
Setelah kejatuhan Pasai akibat serangan Portugis, muncul Kesultanan Aceh Darussalam pada 1524 yang mencapai kegemilangan di bawah Sultan Iskandar Muda (1607–1636). Aceh bukan sekadar pusat Islam dan perdagangan, malah menjalin hubungan diplomatik dengan Empayar Uthmaniyyah, menjadikannya benteng penting menentang penjajahan Barat.
Namun, abad ke-19 memperlihatkan pergolakan besar apabila Belanda menyerang Aceh (1873–1904). Walaupun akhirnya dikuasai, semangat jihad rakyat Aceh tidak pernah padam. Mereka terus berjuang menentang penjajah dengan melakukan serangan gerila sehinggalah kedatangan penjajah Jepun.
Selepas Indonesia Merdeka: Janji yang Tidak Ditunaikan
Selepas Indonesia mencapai kemerdekaan pada 1949, rakyat Aceh yang turut membantu perjuangan menentang Belanda dijanjikan status istimewa dan pelaksanaan syariat Islam oleh Presiden Soekarno. Namun janji itu dimungkiri atas alasan negara Indonesia adalah berasaskan ideologi Pancasila, bukannya teokrasi.
Kekecewaan ini mencetuskan pemberontakan Darul Islam/Tentara Islam Indonesia (DI/TII) di Aceh pada 1953. Selepas rundingan panjang, kerajaan pusat akhirnya mengiktiraf Aceh sebagai Daerah Istimewa pada 26 Mei 1959, dengan autonomi terhad dalam urusan agama dan adat kebudayaan.
Namun, keresahan rakyat tidak reda, malah kemiskinan, ketidakadilan ekonomi dan penindasan budaya masih menghantui wilayah yang sebenarnya sangat kaya sumber alam itu.
Gerakan Aceh Merdeka (GAM): Suara Penentangan Berulang
Pada 4 Disember 1976, Hasan di Tiro menubuhkan Gerakan Aceh Merdeka (GAM), menuntut pemisahan penuh daripada Indonesia. Bagi GAM, penyatuan Aceh ke dalam Republik Indonesia dianggap tidak sah, kerana wilayah itu pernah merdeka dan memiliki perjanjian sendiri dengan kuasa asing, melalui perjanjian Inggeris dengan Kesultanan Aceh pada tahun 1819 .
Kemarahan rakyat memuncak apabila hasil kekayaan semula jadi seperti gas dan minyak Aceh tidak dikongsi dengan adil. Sejak era Presiden Suharto, hasil ekonomi dari wilayah itu dibolot oleh kerajaan pusat di Jakarta dan syarikat asing, sementara rakyat tempatan kekal miskin.
Menurut laporan antarabangsa, penemuan rizab gas besar di Aceh turut meningkatkan aktiviti ketenteraan, membawa kepada pencabulan hak asasi manusia secara sistematik. Ribuan penduduk dituduh menyokong GAM, diseksa, dirogol dan dibunuh oleh tentera Indonesia.
Buku “Aceh Bersimbah Darah” mendedahkan kewujudan kem penyeksaan seperti Rumah Geudong, lambang penderitaan rakyat ketika Daerah Operasi Militer (DOM) diisytiharkan antara 1989 hingga 1998.
Tsunami dan Permulaan Damai.
Konflik berdarah yang meragut antara 10,000 hingga 30,000 nyawa selama hampir empat dekad akhirnya reda selepas tragedi tsunami 26 Disember 2004. Bencana itu memusnahkan sebahagian besar wilayah Aceh dan menjadi pemangkin kepada rundingan damai.
Pada 15 Ogos 2005, kerajaan Indonesia dan GAM menandatangani Perjanjian Damai Helsinki, yang memberikan Aceh autonomi khas dalam kerangka Republik Indonesia. Melalui perjanjian itu, Aceh dibenarkan melaksanakan undang-undang syariah dan menguruskan hal ehwal sendiri.
GAM turut bersetuju menghentikan perjuangan bersenjata dan menukar arah kepada pergerakan politik, membuka lembaran baharu bagi pembangunan dan perdamaian di bumi Aceh.
Dua Dekad Kemudian: Damai Tapi Belum Sejahtera
Kini, dua dekad selepas perjanjian Helsinki, Aceh menikmati keamanan, namun cabaran ekonomi masih menghantui. Walaupun kaya dengan minyak, gas, emas dan hasil bumi lain, wilayah itu masih tergolong antara wilayah termiskin di Indonesia.
Bekas panglima GAM, Muzakir Manaf, yang kini menjadi Gabenor Aceh, menyatakan hanya 30% daripada kandungan Perjanjian Helsinki telah dilaksanakan. Namun, ramai pemerhati melihat Aceh kini jauh lebih stabil berbanding masa lalu.
Pakar dari Universiti Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Teuku Murdani Syam, menegaskan bahawa generasi muda Aceh hari ini sudah menikmati keamanan yang tidak pernah dirasai generasi sebelumnya.
Walau begitu, rasuah dan ketidaktelusan pentadbiran masih menjadi cabaran utama. Pemerintah pusat di Jakarta berjanji akan terus komited terhadap perjanjian damai, termasuk menyelesaikan pertikaian wilayah antara Aceh dan Sumatera Utara.
Harapan Baru untuk Generasi Muda
Masa depan Aceh kini bergantung kepada generasi muda yang tidak lagi dibayangi trauma konflik. Mereka menjadi penentu sama ada Aceh akan terus berdamai dan membangun, atau kembali menjadi mangsa politik dan kerakusan kuasa.
Ramai pemerhati antarabangsa datang ke Aceh untuk mempelajari model perdamaian Helsinki, yang dianggap salah satu contoh paling berjaya di dunia Islam moden. Namun, bagi rakyat Aceh sendiri, perjuangan sebenar kini bukan lagi menentang peluru, tetapi menentang korupsi, kemiskinan dan kelalaian terhadap janji damai.
Sumber:
BBC Indonesia: Aceh dan sejarah panjang penentangan terhadap penjajahan
UKM SARI Journal (1990): Sejarah Ketahanan Aceh terhadap Belanda
AcehProv.go.id: Pengkhianatan Pemerintah Indonesia terhadap Janji Autonomi
East-West Center (2004): Free Aceh Movement Report
Minority Rights Group (2003): Human Rights Violations in Aceh
Amnesty International (2015): Victims of Aceh Conflict
MoU Helsinki (2005): Perjanjian Damai Antara GAM dan Republik Indonesia
Channel News Asia (2024): Aceh 20 Tahun Selepas Helsinki Agreement
Astro Awani (2024): Laporan Khas 20 Tahun Perdamaian Aceh
Oleh: Norain Yusoff
Comments
Leave a Reply