Darfur di barat Sudan telah lama bergolak disebabkan pemberontakan yang berlaku pada awal 2000-an terhadap kerajaan pusat di Khartoum. Ia berpunca daripada faktor-faktor seperti ketidakseimbangan pembangunan, bencana alam, dan isu politik serantau. Konflik ini juga dipengaruhi oleh persaingan untuk menguasai sumber antara puak dan komuniti di wilayah tersebut. Ketika itu, kerajaan pimpinan Omar al-Bashir menggunakan militia Arab yang dikenali sebagai Janjaweed untuk menumpaskan pemberontakan.
Kini, selepas lebih setahun perang saudara yang meletus di Sudan, dunia kembali menyaksikan satu lagi bab paling gelap dalam sejarah manusia iaitu pembunuhan beramai-ramai di bandar El-Fasher, ibu kota Darfur Utara setelah jatuh ke tangan RSF pada Ahad 26 Oktober 2025. Kawalan ke atas bandar ini memberi Rapid Support Forces (RSF) kekuatan strategik serta kemenangan simbolik.
Dalam tempoh hanya beberapa hari, ribuan orang awam terbunuh, ratusan cedera, dan lebih 177,000 lagi terperangkap tanpa makanan, air, atau perlindungan.
Bandar Dikepung, Orang Awam Dibantai Dengan Kejam
Menurut laporan Al Jazeera dan Reuters, bandar El-Fasher ditawan oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) selepas 18 bulan dikepung. Pasukan ini bertempur dengan tentera kerajaan Sudan (SAF) sejak perang bermula pada April 2023.
Sebaik sahaja RSF memasuki bandar, laporan saksi menyebut serangan yang sangat brutal terhadap penduduk awam; lelaki, wanita, dan kanak-kanak ditembak, rumah dibakar, dan mereka yang cuba melarikan diri diserang di jalan raya dengan kenderaan dibakar.
Kesatuan Doktor Sudan (Sudan Doctors’ Union) dalam kenyataannya menyebut:
“RSF melakukan pembunuhan beramai-ramai bermotifkan etnik. Ribuan orang awam menjadi mangsa. Ada yang dipaksa menggali kubur mereka sendiri sebelum dibunuh atau ditanam hidup-hidup.”
Di antara tempat paling tragis ialah Hospital Saudi di El-Fasher, satu-satunya hospital yang masih beroperasi dengan keadaan dhaif. Menurut laporan Associated Press (AP), lebih 450 pesakit dan petugas kesihatan ditembak mati di hospital itu. Ramai yang dibakar hidup-hidup di dalam wad, manakala kemudahan perubatan dimusnahkan sepenuhnya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan bahawa sejak perang bermula, lebih 1,200 petugas kesihatan dan pesakit terbunuh, manakala 416 lagi cedera dalam lebih 180 serangan disahkan terhadap kemudahan kesihatan di seluruh Sudan.
Siapa RSF?
RSF secara rasmi ditubuhkan pada 2013 sebagai transformasi atau “penjenamaan semula”. Mereka berasal daripada puak Janjaweed, iaitu anggota militia Arab yang terkenal dengan kekejaman mereka semasa konflik Darfur pada awal 2000-an. Di bawah pimpinan Mohamed Hamdan Dagalo, atau Hemeti, RSF kini menjadi kumpulan bersenjata besar yang menentang tentera kerajaan Sudan pimpinan Abdel Fattah al-Burhan. Hemeti telah berjaya membina jaringan militan, perniagaan (emas, ternakan) dan hubungan luar negara.
Namun, apa yang menjadikan konflik ini lebih rumit ialah sokongan besar kewangan dan ketenteraan yang diterima RSF.
Laporan penyiasatan daripada The Washington Post dan BBC mendedahkan bahawa Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipercayai menyalurkan bekalan senjata, dron, dan dana berjuta dolar kepada RSF melalui rangkaian logistik di Chad dan Libya.
UAE secara rasmi menafikan terlibat dalam peperangan, tetapi sumber diplomatik dan imej satelit menunjukkan penghantaran kargo udara ke pangkalan milik RSF di Afrika Barat, dipercayai mengandungi senjata dan bahan bakar.
Seorang diplomat Afrika kepada Reuters menyebut:
“Tanpa bantuan kewangan luar, RSF tidak mungkin bertahan lama. Ini bukan lagi perang dalaman, tetapi perang proksi yang menghancurkan rakyat Sudan.”
Hubungan RSF dengan kuasa asing (contoh: UAE, Arab Saudi, pengawal sempadan migrasi ke Eropah) menjadikan konflik ini bukan sekadar di peringkat domestik tetapi juga sebahagian daripada pertarungan pengaruh serantau.
Pembersihan Etnik yang Berulang
Apa yang berlaku di El-Fasher kini mengingatkan dunia kepada genosid Darfur pada tahun 2003, di mana lebih 300,000 orang terbunuh dan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal.
Sejarah seakan berulang tetapi kali ini berlaku dalam senyap tanpa mendapat perhatian besar daripada masyarakat antarabangsa disebabkan oleh beberapa faktor yang saling berkait. Antaranya ialah sekatan komunikasi dan maklumat, akses kemanusiaan yang terhad, ketidakpedulian geopolitik, serta aktiviti keganasan yang berlaku secara pantas dan sistematik.
Laporan dari lapangan yang dikumpul oleh BBC Africa Eye menunjukkan corak pembunuhan berasaskan etnik: kawasan yang majoriti dihuni suku bukan Arab, seperti Zaghawa dan Fur yang menjadi sasaran utama pembunuhan.
Rumah mereka dibakar, wanita diculik dan dirogol, sementara lelaki dibunuh di hadapan keluarga.
“Ini bukan lagi pertempuran antara dua tentera,” kata seorang aktivis dari Darfur kepada Al Jazeera,
“Ini adalah perang untuk menghapuskan satu kaum daripada peta Sudan.”
Krisis Kemanusiaan Terburuk di Dunia
Data Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) menunjukkan lebih 15 juta rakyat Sudan kini menjadi pelarian, menjadikannya krisis pelarian terbesar di dunia hari ini.
Lebih 28,000 orang melarikan diri hanya dalam masa 48 jam, kebanyakannya ke bandar Tawila dan kawasan gurun yang tidak selamat.
Kem pelarian di Chad dan Sudan Selatan kini penuh sesak dan kekurangan bekalan makanan, manakala agensi bantuan seperti UNHCR dan World Food Programme (WFP) memberi amaran bahawa jutaan orang berisiko mati kelaparan.
Dunia Yang Mendiamkan Diri
Walaupun laporan jenayah perang semakin jelas, reaksi dunia masih perlahan dan terhad.
Majlis Keselamatan PBB gagal mencapai resolusi bersama, kerana ada negara yang masih mempunyai hubungan ekonomi dan ketenteraan dengan pihak bertelagah.
Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah mengenakan sekatan terhadap pemimpin RSF, tetapi tiada tekanan ketenteraan atau diplomatik yang benar-benar menghentikan kekejaman ini.
Sementara itu, negara-negara Arab termasuk UAE dan Mesir terus bermain di belakang tabir, kononnya sebagai “perantara damai”.
Apa yang Dunia Boleh Lakukan?
Sudan kini berdiri di ambang genosid baharu. Dunia tidak boleh berdiam diri seperti dua dekad lalu.
Organisasi antarabangsa perlu:
Mendesak gencatan senjata segera di bawah pengawasan PBB.
Menyalurkan bantuan kemanusiaan tanpa sekatan, terutama ke El-Fasher dan kawasan Darfur.
Menyiasat dan mendakwa jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Menghentikan aliran senjata ke RSF, termasuk siasatan penuh terhadap peranan UAE dan negara lain.
Selagi dunia terus berdiam diri, El-Fasher akan kekal menjadi kubur besar untuk mereka yang tidak berdosa.
Rakyat antarabangsa boleh terus berkongsikan berita, membuat bising di media sosial, dan turun di jalanan untuk menentang kekejaman yang berlaku di Sudan. Usaha perlu dilakukan untuk menekan pihak-pihak yang mempunyai kuasa bertindak dan negara-negara yang mendanai keganasan ini dihukum. Rakyat di Sudan perlu mendapat perlindungan secepat mungkin sebelum semuanya terlambat.
Kesimpulannya, unsur etnik terus memainkan peranan besar dalam konflik ini khususnya persaingan antara kumpulan Arab dan bukan Arab untuk menguasai tanah, sumber air, dan identiti wilayah. Kini, pergolakan di Darfur bukan lagi sekadar pemberontakan kecil, tetapi telah berubah menjadi perang saudara besar antara tentera kerajaan Sudan dan RSF bersama sekutu mereka, dengan Darfur menjadi medan pertempuran utama.
#PrayForSudan #StopTheGenocide #SaveDarfur #ElFasher
Sumber:
Al Jazeera (2025) – "RSF Seizes El-Fasher as Thousands Killed in Darfur’s Bloodiest Week"
Reuters (2025) – "Sudan’s Darfur Faces Genocide Warnings as Fighting Escalates"
BBC News (2025) – "Sudan Conflict: Civilians Trapped as RSF Captures El-Fasher"
The Guardian (2025) – "UAE Accused of Arming Sudan’s RSF as Darfur Burns Again"
The Washington Post (2025) – "Inside El-Fasher’s Fall: RSF’s Campaign of Ethnic Cleansing"
Sudan Doctors’ Union (2025)
United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA) – Situation Reports on Sudan, October 2025
Oleh: Norain Yusoff
Comments
Leave a Reply