Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden China Xi Jinping, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, adalah antara pemimpin dunia yang dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Malaysia pada 26-28 Oktober 2025, dengan membawa tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ atau ‘Inclusivity and Sustainability’. Harus difahami bahawa bukanlah Malaysia yang menjemput Presiden AS datang secara terus, akan tetapi pihak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Oleh itu, Donald Trump tidak datang ke Malaysia dalam konteks dua hala, tetapi AS akan turut sama sebagai rakan dialog utama ASEAN, iaitu hubungan yang sudah bermula daripada tahun 1977.
Donald Trump mempunyai dasar pro-Israel serta sekutu kuat rejim zionis Netanyahu. Malaysia perlu terus menunjukkan solidariti besar-besaran untuk Palestin ketika Trump berada di Kuala Lumpur, kerana lensa media seluruh dunia sentiasa mengekori di mana Trump berada.
Watak dan Perangai Trump.
Rakyat Malaysia perlu mengetahui serba sedikit watak presiden AS ini untuk memahami egonya. Secara ringkasnya seperti yang kita lihat selama ini, Trump suka dipuji tetapi pantang ditegur, mahukan penghormatan tetapi tidak menghormati orang lain. Mary L. Trump, seorang doktor psikologi dan anak saudara kepada Donald Trump, dalam bukunya bertajuk “Too Much and Never Enough, How My Family Created the World's Most Dangerous Man”, menggambarkan bapa saudaranya sebagai individu dengan ego yang rapuh dan sangat takut jika orang lain melihat kelemahannya. Sejak kecil, Trump dibesarkan dalam suasana keluarga yang tegas dan mengalami pengabaian emosi. Bapa Trump, Fred Trump Sr., menanam nilai bahawa kelembutan ialah tanda kegagalan, manakala kekerasan dan dominasi dianggap kejayaan. Akibatnya, Trump mempunyai watak yang kelihatan yakin dan gagah, untuk menutup kekurangannya serta takut dipandang rendah. Trump mempunyai bapa yang kaya dan berpengaruh, oleh itu dia tidak perlu menanggung akibat jika melakukan apa pun kesilapan menyebabkan Trump tidak mampu belajar daripada kegagalan.
Apabila dikritik, Donald Trump akan menyerang, menghina dan menafikan semua kesalahannya. Dia akan menipu untuk mengelak dari kalah semasa berhujah. Menurut data daripada The Fact Checker, hanya dalam masa 827 hari penggal pertamanya sebagai presiden AS, dia telah membuat lebih 10,000 dakwaan palsu dan mengelirukan, iaitu purata sebanyak 12 dakwaan sehari.
Dunia baginya hanyalah tempat pertarungan untuk menang, bukan ruang untuk saling membantu atau berempati. Selain itu, bekas penasihat bagi Donald Trump sendiri pernah menyifatkannya sebagai “bodoh tetapi licik” dan seorang yang menilai sesuatu berdasarkan sejauh mana perkara itu menguntungkan dirinya.
Kaedah diplomasi yang digunakan seakan-akan menonjolkan Trump seorang yang dihormati, malah diselit dengan pujian di mana-mana meja rundingan adalah bukan sesuatu yang pelik. Semasa kedatangan Donald Trump, Arab Saudi pernah menempatkan trak bergerak McDonald's di luar Istana Diraja kerana dia gemar akan makanan segera. Riyadh dan Washington kemudian menandatangani perjanjian pertahanan bernilai USD142 bilion, yang digambarkan oleh Rumah Putih sebagai yang terbesar dalam sejarah.
Ini kerana Donald Trump hanya mendengar mereka yang mampu membuatnya berasa penting dan seperti dia memenangi sesuatu. Dia sangat benci mendengar jika ada orang cuba mengajarnya dengan memberi fakta-fakta atau sejarah. Donald Trump hanya menghormati mereka yang mempunyai kekuatan, keyakinan, dan keupayaan berfikir. Maka, bagi pemimpin yang berhadapan dengannya, ia bukanlah lagi soal logik atau moral, tetapi bagaimana sesuatu hujah dapat dijadikan kemenangan simbolik baginya. Donald Trump sering memuji dirinya sendiri sebagai seorang “peacemaker” sejak memegang jawatan Presiden AS buat kali kedua, malah sering menyebut bahawa dia layak memenangi anugerah Nobel Keamanan. Kerajaan Pakistan, Benjamin Netanyahu, dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, semuanya telah mencalonkan Donald Trump untuk Hadiah Keamanan Nobel 2025. Donald Trump gagal memenangi Hadiah Nobel tersebut.
Jika Donald Trump boleh diyakinkan bahawa dia adalah pembela kemanusiaan termasuk rakyat Palestin, dia akan menjadikan dirinya seperti wira dunia yang disanjung, maka beliau akan terdorong untuk mempertimbangkannya. Tetapi, jika isu itu disampaikan dengan nada menuduh atau menekan, dia akan menolaknya mentah-mentah, semata-mata untuk mempertahankan imej dan egonya. Donald Trump boleh menolak fakta, tetapi dia tidak boleh menolak suara rakyat Malaysia yang bermaruah.
Dalam isu Palestin, Malaysia harus kekal menjadi suara hati dunia Islam dan dunia kemanusiaan secara tegas tanpa angkuh, jujur tanpa tunduk. Apa yang rata-rata rakyat Malaysia boleh lakukan ialah menguatkan lagi suara dan solidariti untuk Palestin untuk menarik perhatian media seluruh dunia. Memahami personaliti sebenar Donald Trump amat penting, terutama ketika dia sedang memainkan peranan penting dalam politik global atau hubungan antarabangsa termasuklah menentukan masa depan Gaza. Donald Trump tidak mempunyai sifat kemanusiaan dan tiada prinsip moral. Malaysia perlu berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan retorik “perdamaian” atau “keamanan” yang dibawanya, kerana di sebalik imej populis dan karisma itu tersembunyi seorang individu yang memanipulasi empati demi kepentingan diri dan sekutunya.
Mengapa Trump Mahu Datang Ke ASEAN Kali Ini?
Negara-negara ahli ASEAN termasuk Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam bersama-sama membentuk pasaran serantau yang kukuh dengan hampir 678 juta orang penduduk. Disebabkan ketidakpastian geopolitik global, kebergantung kepada ASEAN sebagai pusat pengeluaran dalam pelbagai jenis industri dan untuk mempelbagaikan rantaian bekalan semakin penting. Ini adalah trend yang telah meningkat sejak pandemik Covid-19.
Semasa penggal pertamanya sebagai Presiden AS (2016-2020), Trump dikritik kerana mengabaikan rantau ASEAN tidak seperti para pemimpin AS sebelumnya, disebabkan pendekatan "America First". Trump hanya menghadiri satu sidang kemuncak Asean, iaitu ketika Filipina mempengerusikannya pada tahun 2017. Selepas itu Trump tidak lagi menghadiri tiga sidang kemuncak ASEAN yang seterusnya. Pada 2018, Trump menghantar Naib Presiden, Mike Pence dan kemudian pada 2019, Trump hanya mengwakilkan Penasihat Keselamatan Negara, Robert O'Brien, sesuatu yang dianggap sebagai penghinaan diplomatik oleh negara serantau. O'Brien mengecam China dengan menyatakan bahawa Beijing "telah menggunakan ugutan untuk cuba menghalang negara-negara ASEAN daripada mengeksploitasi sumber luar pesisir mereka, menyekat akses kepada rizab minyak dan gas bernilai USD 2.5 trilion. Ia melanggar keadilan, peraturan dan undang-undang antarabangsa”. Menurutnya lagi AS dapat membantu rakan-rakan ASEAN untuk menegakkan kedaulatan mereka. Selepas itu, walaupun tewas kepada Joe Biden pada November 2020, Trump menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik pada bulan itu yang dihoskan oleh Malaysia, secara dalam talian di tengah-tengah pandemik Covid-19.
https://www.channelnewsasia.com/asia/trump-skips-asean-summit-third-year-row-683776
Semasa penggal pertamanya, Trump menolak banyak komitmen multilateral. Fokusnya adalah untuk mengutamakan kepentingan domestik Amerika, bukan diplomasi antarabangsa. Bagi Trump, persidangan tahunan ASEAN ketika itu dianggap sekadar forum serantau, tidak sepenting blok seperti G7, NATO atau pertemuan APEC.Sebelum pandemik COVID-19, ekonomi Amerika amat kukuh, namun Asia Tenggara kini menjadi medan persaingan antara kuasa besar iaitu China dan AS.
ASEAN bukan lagi pemain kecil kerana kita adalah pusat rantaian bekalan global termasuklah semikonduktor, tenaga hijau, logistik, dan hab halal terkemuka dunia. Kali ini, Donald Trump tidak mampu mengabaikan ASEAN jika mahu menandingi pengaruh ekonomi China. Selain itu, Malaysia memiliki pengaruh moral dan kehebatan dalam urusan diplomatik, termasuk dalam isu Palestin dan dunia Islam. Menurut agensi media Politico, Donald Trump telah meletakkan syarat kehadirannya pada mesyuarat ASEAN pada 26-28 Oktober ini jika kerajaan Malaysia bersetuju untuk membenarkannya mempengerusikan majlis menandatangani perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand. Donald Trump sebelum ini telah mengangkat dirinya sebagai “President of PEACE”, kerana berjaya mendamaikan dua negara ASEAN ini.
https://truthsocial.com/@realDonaldTrump/posts/114931438809653171
Ini adalah peluang baik baginya untuk menonjolkan diri sebagai “peacemaker”. Donald Trump berulang kali mendakwa dia telah menamatkan "tujuh perang yang tidak berkesudahan/ seven un-ended wars", dan berjaya merangka pelan perjanjian damai terbaru antara Hamas dan Israel. Tetapi menurut analisis Associated Press, peranan sebenar Donald Trump dalam konflik-konflik tersebut tidak menyokong dakwaannya sebagai pendamai.
Malaysia Pengerusi ASEAN 2025: Platform Neutral Tetapi Berprinsip.
Malaysia adalah negara neutral bermaksud kita akan terus mengekalkan kebebasan dalam merangka dasar luar negara, tanpa berpihak kepada mana-mana negara termasuklah Amerika Syarikat, China atau Rusia. Sama ada kita suka atau tidak, AS masih kekal sebagai negara paling berkuasa di dunia. Malaysia hanyalah sebuah negara kecil dan perlu memanfaatkan peranannya sebagai pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN kali ini. Kini adalah masanya untuk berinteraksi secara terus bagi kepentingan ekonomi dan strategik ASEAN.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia perlu kekal strategik dalam rundingan, mengekalkan pendirian yang teguh dalam mempertahankan kebenaran dan keadilan sambil meneruskan diplomasi dengan bijak. Asia Tenggara turut menerima kesan dari polisi pentadbiran Trump. Negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia, sedang menghadapi impak dari tarif tinggi dari AS ke atas produk seperti automotif, semikonduktor dan farmaseutikal. Oleh itu, terdapat keperluan untuk satu dialog serantau dengan Presiden Trump, agar kesan ekonomi terhadap negara-negara ASEAN boleh dibincangkan secara langsung. Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang berusaha untuk mendapatkan perjanjian perdagangan yang diharapkan dapat menurunkan tarif AS semasa sebanyak 19% ke atas import Malaysia.
https://theedgemalaysia.com/node/766197
68% barangan eksport Malaysia menerima impak dari Tarif Trump. Menurut penganalisis, tarif tersebut akan menjejaskan eksport elektronik dan perabot serta mengurangkan pertumbuhan ekonomi tahunan sehingga 1% dalam tempoh setahun akan datang. Dalam masa yang sama, Kuala Lumpur akan berhati-hati untuk tidak menyinggung Beijing yang merupakan rakan dagang terbesar negara dan sumber utama pelaburan asing.
Perbincangan dengan Trump bukan sahaja tentang ekonomi, tetapi menunjukkan pengiktirafan terhadap kepentingan ASEAN dalam arena antarabangsa. Ia boleh digunakan sebagai peluang untuk ASEAN menunjukkan bahawa rantau ini mempunyai suara yang lantang dan boleh menjadi rakan dialog, bukan hanya menerima dan menuruti sebarang keputusan dari luar.
Dengan persaingan sengit antara kuasa besar seperti China dan AS, perubahan pantas dalam polisi perdagangan, dan isu keselamatan serantau; ASEAN mahu memastikan ia tidak boleh diketepikan sesuka hati. ASEAN dan Malaysia perlu terus menarik pelaburan asing, memperkukuh rantaian bekalan (supply chains), dan kerjasama dalam teknologi, tenaga, digital, dan infrastruktur dengan negara-negara maju untuk kepentingan rakyat.
Malaysia telah menyatakan bahawa isu Palestin akan dibawa ke meja sidang ASEAN. Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata Malaysia mahu Trump “mendengar sendiri suara Asia Tenggara terhadap kezaliman di Palestin”. Malaysia sebagai pengerusi ASEAN telah menyatakan bahawa isu Palestin, genosid di Gaza, dan hak asasi manusia akan dijadikan antara aspek yang akan dibawa ke meja rundingan dengan Trump. Perhimpunan atau suara lantang rakyat ketika lawatan ini juga berfungsi sebagai pendidikan awam. Ia mengajar generasi muda bahawa diplomasi bukan hanya tugas pemimpin, tetapi juga tanggungjawab rakyat dalam membentuk tekanan moral antarabangsa. Kita tidak akan tunduk kepada hegemoni atau dasar berat sebelah dunia. Selain itu, perjuangan menegakkan kebenaran tidak semestinya dimenangi dengan suara paling lantang, tetapi dengan strategi yang paling bijak.
Kesimpulannya, Donald Trump datang bukan kerana dia sukakan ASEAN, tetapi kerana AS sudah tidak mampu lagi mengabaikan pengaruh rantau ini kepada dunia. Dan ketika itu terdapat peluang bagi rakyat Malaysia untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Palestin masih berdiri teguh, dan kita takkan berdiam diri dan berani menyuarakan solidariti untuk Palestin di hadapan presiden AS.
Oleh: Norain Yusoff
Comments
Leave a Reply