Economy

Logam Nadir Bumi Jadi Senjata Baharu Dalam Perang Ekonomi AS-China

Hubungan ekonomi antara Amerika Syarikat dan China kembali tegang. Pada 10 Oktober 2025, Presiden AS, Donald Trump, sekali lagi mengejutkan pasaran dunia apabila mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif 100% terhadap semua barangan eksport dari China ke Amerika Syarikat, langkah paling agresif sejak perang perdagangan 2018. Ramai penganalisis melihat tindakan Trump yang terbaru sebagai permulaan perang perdagangan terbesar dalam dekad ini.

Langkah Drastik Yang Memakan Diri Sendiri

Trump mahu menggandakan cukai ke atas barangan China serta mengehadkan eksport perisian dan teknologi penting buatan Amerika. Langkah itu bertujuan untuk “melindungi kepentingan negara”, selepas China mengehadkan eksport logam nadir bumi (rare earths) yang merupakan bahan penting dalam pembuatan cip komputer, telefon pintar, kenderaan elektrik dan senjata ketenteraan moden.

Ia mengundang kesan negatif kepada pasaran saham AS yang telah menjunam teruk dengan indeks S&P 500 jatuh 2.7%, kejatuhan paling buruk sejak April lalu. Dalam masa sama, indeks dolar AS merosot 0.7%, manakala harga emas melonjak lebih 1.5%.

Pergerakan ini memberi isyarat jelas bahawa pelabur global mula hilang keyakinan terhadap kestabilan ekonomi AS, dan berpindah kepada aset lebih selamat seperti emas. Biasanya, apabila pasaran saham mula jatuh, pelabur akan berpaut pada matawang dolar sebagai pelampung. Tetapi kali ini, pelampung itu sendiri mula bocor.

China: “Kami Tidak Akan Tunduk”

Dalam satu kenyataan pada 12 Oktober 2025, Kementerian Perdagangan China menegaskan bahawa negaranya tidak akan tunduk kepada ugutan Amerika Syarikat, dan menuduh Washington mengamalkan “dwi-standard” dalam dasar perdagangan.

“Tindakan-tindakan ini telah menjejaskan kepentingan China dengan serius dan merosakkan suasana bagi rundingan ekonomi serta perdagangan dua hala.

Beijing menjelaskan bahawa China sebelum ini melakukan sekatan eksport logam nadir bumi bukan sebagai agenda provokatif. Ianya adalah satu respons balas terhadap langkah-langkah Amerika yang telah menyenarai hitam beberapa syarikat China serta mengenakan caj pelabuhan tambahan terhadap kapal yang dikaitkan dengan China.

Bagi Beijing, langkah dibuat Trump adalah “contoh tipikal hipokrasi Amerika”. China dituduh melakukan manipulasi perdagangan, sedangkan Washington sendiri yang sering mengubah peraturan untuk kepentingannya.

Logam Nadir Bumi: Senjata China Dalam Perang Teknologi

Untuk memahami punca sebenar ketegangan terbaru ini, kita perlu melihat pada penggunaan logam nadir bumi, atau rare earths iaitu sejenis sumber mineral yang menjadi nadi penggerak kepada dunia moden. Tanpa unsur ini, telefon pintar tidak boleh berfungsi, kereta elektrik tidak boleh bergerak, dan sistem ketenteraan tergendala. Contohnya, elemen seperti ‘neodymium’ dan ‘dysprosium’ adalah penting untuk pembuatan kapal selam.

China kini menguasai lebih 90% pengeluaran global elemen-elemen tersebut, termasuk proses penapisan dan pembuatan magnet nadir bumi. Ini memberi kelebihan kepada Beijing untuk menguasai rantaian bekalan teknologi dunia.

Apabila AS cuba menyekat eksport cip kepada China, Beijing membalas dengan menghalang bekalan bahan mentah yang diperlukan untuk membina cip-cip semikonduktor. Seperti kata Michael Froman, bekas Wakil Perdagangan AS:

“Amerika boleh potong bekalan cip kepada China hari ini, tetapi China boleh menyukarkan seluruh dunia untuk membangunkan cip dan teknologi masa depan.” Amerika menguasai bekalan produk yang telah siap, tetapi China memegang bekalan kepada bahan mentahnya. Dalam persaingan ekonomi yang panjang, tidak mustahil China akan menang. China sedang memajukan keupayaan semikonduktornya. Implikasi ekonomi, geopolitik dan keselamatan akan mendalam dan meluas.

Pasaran Dunia Panik

Langkah Trump juga telah menimbulkan panik dalam pasaran global. Para penganalisis memberi amaran bahawa perang perdagangan penuh antara AS dan China boleh menggoncang pasaran saham antarabangsa dan mencetuskan kemelesetan global.

Pihak bank pelaburan antarabangsa melihat tanda-tanda kegusaran dalam keyakinan pelabur. Dolar AS tidak lagi dianggap selamat, dan  emas menjadi pilihan.

Taiwan: Tenang Dalam Ribut

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Ekonomi Taiwan menyatakan bahawa sekatan eksport baharu China terhadap logam nadir bumi tidak akan memberi kesan besar kepada industri semikonduktor mereka.

“Unsur nadir bumi yang termasuk dalam sekatan baharu itu berbeza daripada yang digunakan dalam proses pembuatan cip di Taiwan. Tiada kesan ketara terhadap pengeluaran buat masa ini,”.

Syarikat gergasi cip TSMC yang beroperasi di Taiwan juga menjelaskan bahawa kebanyakan bekalan logam nadir bumi diperoleh dari Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun, bukan dari China

Antara Ugutan dan Realiti Politik: Fenomena “TACO”

Di Wall Street, tindakan Trump kini digelar fenomena “TACO”: Trump Always Chickens Out, merujuk kepada corak di mana dia sering mengumumkan ugutan ekonomi yang besar tetapi akan melonggarkannya kemudian setelah rundingan. Trump akan menambah beberapa perkara lain yang dijadikan syarat tambahan semasa rundingan. Sebagai contoh, Malaysia bersetuju untuk membeli 30 lagi pesawat Boeing dari Amerika Syarikat yang bernilai AS9.5 bilion. Langkah ini susulan rundingan yang membawa kepada pengurangan tarif AS ke atas Malaysia sebanyak 19% berbanding 25%.

Namun, pasaran kini skeptikal adakah tarif 100% ini benar-benar akan dilaksanakan, atau sekadar senjata rundingan dalam permainan geopolitik yang lebih besar?

Perang Ekonomi Yang Semakin Panas

Tarif 100% yang diumumkan oleh Trump bukan sekadar cukai perdagangan. Ia adalah senjata politik dan ekonomi yang digunakan untuk menunjukkan kekuatan Amerika dalam menghadapi kebangkitan China. Namun, seperti bumerang yang dilempar terlalu kuat, ia berisiko berpatah balik dan mencederakan orang yang membalingnya sendiri. Tindakan Amerika yang dianggap mahu “mengajar” China akan memakan diri sendiri. Amerika mahu dunia tunduk pada dolar, tapi dunia kini mula sedar bahawa kuasa sebenar bukan pada wang, tapi pada siapa yang mempunyai bahan mentah untuk membangunkan teknologi masa depan.

China pula menunjukkan bahawa ia tidak pernah gentar. Dengan mengawal sumber strategik dunia dan memperkukuh kerjasama dengan banyak negara lain, Beijing dapat mengatur jalan baru dalam ekonomi global tanpa perlu melayan ego Amerika.

Dalam peperangan tanpa menggunakan peluru ini, negara manakah yang menjadi pengeluar teknologi, atau negara yang mengawal sumbernya akan menjadi penentu siapa yang layak menulis bab seterusnya dalam arus perdagangan dunia.

Kesimpulannya, Trump tekan China dengan tarif, China pula membalas dengan menyekat eksport logam nadir bumi. Dalam perang ini, pemenang adalah siapa yang boleh bertahan paling lama. Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat dan Agensi Tenaga Antarabangsa, China telah mendominasi perlombongan iaitu kira-kira 60–70% nadir bumi yang dilombong, dan pemprosesan iaitu kira-kira 85–90% daripada jumlah nadir bumi yang dilombong. Dominasi ini jelas memberikan kelebihan sangat besar kepada China.

Sumber: Al Jazeera, Sinar Harian, Reuters, Bloomberg, Financial Times, CSIS, dan AP News.

Oleh: Norain Yusoff.

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply