Singapura memainkan peranan penting sebagai pintu masuk strategik bagi China untuk mengukuhkan pengaruhnya di peringkat global. Singapura pula menganggap China sebagai rakan dagang yang penting, dalam masa yang sama masih mengekalkan hubungan ketenteraan yang rapat dengan AS. China dan Singapura meraikan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik mereka pada 3 Oktober 2025, dan ingin terus komited untuk menguatkan lagi kerjasama dari segi ekonomi, perdagangan, pelaburan, dan perkongsian strategik untuk masa depan. Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam memuji “perkongsian rapat dan menyeluruh” yang dinikmati hari ini, adalah hasil usaha pemimpin perintis kedua-dua negara, Perdana Menteri Lee Kuan Yew dan bapa kemodenan China Deng Xiaoping pada 1970-an. Media ‘China Briefing’ menyatakan bahawa Singapura telah menjadi sumber pelaburan baharu terbesar di China selama 11 tahun berturut-turut sejak 2013. Pada April 2022, Singapura mengatasi Jepun untuk menjadi sumber pelaburan asing kumulatif terbesar di China. Menjelang akhir tahun 2023, pelaburan sebenar terkumpul Singapura di China pula mencapai USD41.23 bilion.
Hubungan China-Singapura Yang Rapat Sejak 1970an
https://www.nlb.gov.sg/main/article-detail?cmsuuid=4181dd20-df08-4ff5-8d93-620350b639fd
Sebelum Singapura menjalin hubungan diplomatik dengan China, hubungan ekonomi dan politik kedua-dua negara sudah rapat walaupun secara tidak rasmi. Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew mula melawat negara China pada Mei 1976, dan kemudian lawatan pemimpin revolusioner China, Deng Xiaoping ke Singapura pada November 1978. Mereka telah menandatangani perjanjian perdagangan pada 29 Disember 1979 dan menubuhkan pejabat wakil perdagangan negara masing-masing pada tahun 1981 untuk mengukuhkan hubungan ekonomi. Selepas Indonesia dan China mengumumkan keputusan mereka untuk menyambung semula hubungan pada 8 Ogos 1990, Singapura dan China memulakan rundingan untuk meningkatkan hubungan mereka ke tahap yang lebih formal. Hubungan diplomatik China dan Singapura terjalin secara rasmi pada 3 Oktober 1990. Ketika itu, China memerlukan rakan dan pelaburan asing, dan Singapura memainkan peranan penting dalam menjalin persahabatan dengan Beijing serta menarik pelaburan dari luar negara. Negara-negara Barat pula telah mengasingkan Beijing akibat insiden Tiananmen pada tahun 1989. Model tadbir urus unik Singapura sebagai sebuah “bandar global/ global city” dengan kerajaan yang efisien telah memberi pengaruh besar terhadap China. Singapura mula menjalin kerjasama rapat dengan pelbagai wilayah dan bandar di China, dan 3 contoh yang besar adalah seperti Taman Perindustrian China-Singapura Suzhou, Bandar Eko China-Singapura Tianjin, dan Bandar Ilmu Pengetahuan China-Singapura Guangzhou.
Selepas itu, kerjasama ekonomi dan perdagangan dibuat dengan 7 wilayah dan bandar di China, termasuk Shandong, Sichuan, Zhejiang, Liaoning, Tianjin, Jiangsu, dan Guangdong. Pada April 2019, Singapura menubuhkan mekanisme kerjasama yang komprehensif dengan Shanghai, dan pada Oktober 2019, mekanisme kerjasama bandar pintar dengan Shenzhen. Kerjasama antara kerajaan ini telah memberi kesan yang signifikan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial China, dengan banyak bandar di China meniru serta mempelajari model pembangunan Singapura. Kebanyakan ahli akademik China yang meneliti dasar luar Singapura menyatakan negara Singapura beroperasi berdasarkan kepentingan nasional dan keputusannya sendiri, bukan kerana terdapat persamaan bahasa atau budaya dengan China. Dalam hubungannya dengan China, Singapura secara konsisten mengutamakan keselamatan negara, geopolitik, kepentingan nasional sebagai asas dalam membina hubungan dengan Beijing. Aspek geopolitik sangat mempengaruhi dasar negara Singapura terhadap China. Sebagai sebuah negara kecil yang berjiran dengan Indonesia dan Malaysia, jaringan struktur yang kompleks di rantau Asia-Pasifik banyak membantu. Selain itu, kedudukan strategik Singapura di laluan penting Selat Melaka yang kritikal bagi aspek ketenteraan dan ekonomi, menjadikannya lebih peka terhadap ancaman. Lokasi ini kerap digunakan untuk latihan ketenteraan dan tumpuan kehadiran tentera laut dari kuasa besar seperti AS dan China. Singapura terus memainkan peranan sebagai pengimbang antara kuasa-kuasa besar dan berpegang teguh pada pendiriannya untuk tidak dilihat sebagai negara naungan atau “vassal state” kepada China.
Perdagangan Dua Hala China-Singapura Semakin Meningkat
Singapura adalah rakan dagang kelima terbesar China dalam kalangan negara ASEAN. Singapura juga menjadi pintu masuk utama bagi syarikat-syarikat China yang ingin berkembang ke Asia Tenggara. China dan Singapura kedua-duanya adalah negara anggota dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). Ini adalah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara 15 negara dan merupakan FTA terbesar di dunia. Sejak Perjanjian RCEP berkuat kuasa pada tahun 2022, perdagangan dua hala tahun ke tahun antara China dan Singapura telah meningkat sebanyak 4.4% menjelang suku keempat tahun 2023.
Pada tahun 2023, eksport utama Singapura ke China termasuklah peralatan elektrik dan elektronik (USD24.06 bilion), reaktor nuklear dan mesin mekanikal (USD11.89 bilion), mutiara, batu berharga, logam, syiling (USD4.86 bilion), plastik (USD4.08 bilion), dan peralatan optik, fotografi, perubatan dan pembedahan (USD3.91 bilion).
Produk eksport utama China ke Singapura pula ialah seperti peralatan mesin eletrik (USD15.31 bilion), bahan api mineral (USD10.26 bilion), reaktor nuklear dan pelbagai mesin (USD9.47 bilion), kapal dan bot (USD7.68 bilion), dan plastik (USD3.29 bilion).
Selain itu, banyak syarikat dari kedua-dua negara sedang mengembangkan kerjasama dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, ekonomi hijau, kecerdasan buatan, dan projek di bawah Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI). Singapura adalah merupakan salah satu pusat kewangan antarabangsa yang sedang mengalami pertumbuhan pesat dalam digital ekonomi, manakala China adalah sebuah negara pengeluar terbesar dunia dalam sektor teknologi digital. Oleh itu kekuatan masing-masing dapat digunakan untuk menjana keuntungan. Dalam sektor ekonomi hijau, kedua-dua negara sedang meneroka bersama piawaian kewangan hijau dan pembangunan teknologi tenaga bersih. Singapura juga adalah antara salah satu negara yang awal menyokong dan mengambil bahagian dalam BRI sejak pelancarannya pada 2013. Wilayah Chongqing di China, yang menjadi penghubung antara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta ‘Yangtze River Economic Belt’, telah lama bekerjasama dengan Singapura dalam bidang kewangan. Tujuannya ialah untuk membina laluan perdagangan yang lebih cepat dan langsung dari China Barat ke Asia Tenggara, berasaskan empat bidang utama: kewangan, penerbangan, pengangkutan dan logistik, serta teknologi maklumat dan komunikasi.
https://www.china-briefing.com/news/yangtze-river-delta-integration-plan/
Pelaburan China-Singapura
a) Pelaburan Singapura di China
Sejak 2013, Singapura telah menjadi sumber pelaburan asing baharu terbesar China selama 11 tahun berturut-turut. Pada April 2022, Singapura mengatasi Jepun untuk menjadi sumber pelaburan asing kumulatif terbesar China. Menjelang akhir tahun 2023, jumlah pelaburan yang terkumpul Singapura di China mencecah USD41.23 bilion. Pelaburan Singapura di China tertumpu terutamanya dalam sektor pembuatan, perkhidmatan kewangan, dan hartanah. Dalam bidang pembuatan, syarikat Singapura seperti Flextronics dan Sembcorp Industries telah menubuhkan pangkalan pengeluaran di China, memanfaatkan kelebihan kos buruh negara itu dan saiz pasaran yang besar. Dalam sektor perkhidmatan kewangan, institusi kewangan Singapura seperti DBS Bank dan OCBC Bank telah menubuhkan cawangan di China, memudahkan urusan syarikat-syarikat Singapura di China, selain menyediakan perkhidmatan kewangan bertaraf antarabangsa kepada syarikat tempatan China. Pelaburan hartanah dari Singapura juga amat memberangsangkan. Gergasi hartanah Singapura seperti CapitaLand dan Mapletree Investments telah membangunkan kompleks komersial besar, projek perumahan di pelbagai bandar China, dan meningkatkan aktiviti komersial tempatan. Selain itu, pelaburan Singapura yang semakin besar di China menunjukkan hubungan serantau yang erat. Sebagai contoh, syarikat-syarikat Singapura membuat pelaburan yang besar di wilayah Delta Sungai Yangtze dan Delta Sungai Mutiara (Pearl River Delta Metropolitan Region), yang bukan sahaja pesat dari segi ekonomi tetapi juga mempunyai infrastruktur dan persekitaran yang sangat baik, menjadikannya ideal untuk operasi dan pembangunan syarikat-syarikat asing.
Antara syarikat Singapura yang sedang berkembang di China ialah Durapower Holdings, pengeluar bateri litium-ion, yang telah memulakan pembinaan sebuah kilang besar di Suzhou. Langkah ini mencerminkan komitmen Durapower untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produknya di China dan rantau Asia. Selain itu, Premium Care SG, sebuah syarikat perkhidmatan perubatan premium, serta Kim Guan Guan Coffee, pembekal kopi tradisional, turut merebut peluang dalam sektor penjagaan kesihatan dan pasaran pengguna China yang sedang pesat berkembang. Dengan kehadiran kukuh Singapura dan kepakarannya dalam pelbagai industri utama, ia membawa keuntungan yang berterusan kepada China.
b) Pelaburan China di Singapura.
Dengan reputasi sebagai negara yang stabil dari segi politik, mempunyai tadbir urus yang telus serta persekitaran mesra perniagaan, Singapura menawarkan ekosistem yang kondusif bagi syarikat yang ingin menapak di rantau Asia-Pasifik. Kedudukan Singapura sebagai pusat kewangan global dan hab teknologi turut memperkukuh tarikannya kepada syarikat-syarikat China. Kehadiran gergasi teknologi China seperti Alibaba, Tencent, dan ByteDance, bersama-sama banyak firma teknologi lain, membuktikan peranan penting Singapura sebagai pintu masuk ke pasaran antarabangsa. Selain infrastruktur kewangan yang mantap, lokasi strategik Singapura, tenaga kerja pelbagai budaya, serta rangkaian hubungan antarabangsa yang kukuh menjadikannya hab ideal bagi syarikat China yang ingin mengembangkan operasi serantau dan menembusi pasaran dinamik Asia Tenggara. Dengan usaha berterusan Singapura mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk inovasi dan kolaborasi, syarikat-syarikat China dengan mudah dapat menjayakan aspirasi global mereka. Singapura dijadikan batu loncatan bagi syarikat-syarikat China untuk memperkukuhkan hubungan dengan ekonomi utama dunia, ketika AS yang merupakan ekonomi terbesar dunia meningkatkan sekatan perdagangan. Restoran dan kafe dari China sudah membanjiri Singapura dalam tempoh setahun lalu, menggunakan negara itu sebagai tapak ujian untuk pengembangan global. Ini kerana di China sendiri, permintaan pengguna semakin lemah, persaingan harga yang melampau dan margin keuntungan yang sangat sempit. Perniagaan francais terkenal seperti Luckin Coffee dan Mixue kini memanfaatkan daya tarikan bandar maju serba moden Singapura yang berorientasikan pengguna antarabangsa. Menurut data firma perunding Momentum Works, terdapat kira-kira 85 jenama makanan dan minuman dari China beroperasi di sekitar 405 cawangan di Singapura setakat Ogos 2025, meningkat lebih dua kali ganda daripada 32 jenama yang mengendalikan 184 cawangan pada Jun 2024 https://www.reuters.com/world/china/chinese-food-beverage-firms-flock-singapore-first-step-expansion-drive-2025-10-12/ .
Pemilik perniagaan di China menyatakan bahawa mereka yakin dengan prospek mereka di Singapura kerana dapat memanfaatkan model perniagaan dan pengurusan rantaian bekalan yang cekap. Ini juga dapat membantu mereka kekal bertahan di negara asal mereka, di mana mengikut rekod kira-kira 3 juta restoran gulung tikar tahun lalu di China. Menurut Jonathan Ng, pengarah hal ehwal awam ‘Chagee’ untuk rantau Asia-Pasifik, perniagaan francais itu boleh menyediakan minuman dalam masa 8 saat sahaja dengan bantuan mesin yang dibina oleh pereka dalaman di Singapura. Ini membolehkan kos yang lebih efisien dan dapat mengurangkan pertumbuhan pesaing dari Barat, seperti Starbucks. Singapura adalah seperti jambatan antara budaya Timur dan Barat, menjadikan negara itu pintu masuk yang ideal untuk mengembangkan perniagaan, dengan penduduknya yang berjumlah 6.11 juta yang majoritinya berbangsa Cina. Jika sesebuah jenama berjaya bertapak di Singapura, pengaruhnya kemudian boleh sampai ke Malaysia dan Vietnam, malah Indonesia.
Kesimpulannya, dalam era ketegangan perdagangan global yang semakin meningkat, khususnya antara China dan Amerika Syarikat, Singapura menjadi jambatan penting yang membantu China mengekalkan akses dan pengaruhnya dalam ekonomi antarabangsa. Singapura menjadi rakan penting bagi syarikat China yang ingin mengembangkan operasi mereka ke luar negara terutama Asia Tenggara.
Oleh: Norain Yusoff
Comments
Leave a Reply