SEREMBAN - Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada 27 Nov ini walaupun ketika ini tiada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), kata Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.
Beliau berkata Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pada asalnya dijadual bermula 16 Okt ditangguhkan bagi memberi masa yang mencukupi untuk kerajaan negeri menyediakan belanjawan berkenaan.
“Cadangannya, perasmian Persidangan DUN pada 26 Nov, diikuti pembentangan belanjawan pada 27 Nov dan bersambung pada minggu berikutnya untuk sesi perbahasan sehingga Khamis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Ismail berkata sesi konsultasi belanjawan akan diadakan dalam masa terdekat dengan membabitkan kesemua 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan bagi mendapatkan pandangan mereka dalam proses penyediaan belanjawan.
Menurutnya, ketiadaan Exco ketika ini tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri kerana urusan berkaitan portfolio masing-masing masih diteruskan oleh jabatan kerajaan.
Terdahulu dalam ucapannya, Ismail memberi jaminan akan terus memimpin pentadbiran negeri dengan penuh keteguhan bagi memastikan kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan.
“Saya sedar dalam perjalanan sesebuah negeri, kita akan berdepan pelbagai cabaran. Apa yang penting ialah bagaimana kita menghadapinya dengan ketenangan, kematangan dan keberanian untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut memohon sokongan serta doa daripada seluruh rakyat agar tempoh mencabar berkenaan dapat dilalui dengan penuh kebijaksanaan dan kesatuan.
Sumber Info: Bernama
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2617219
Comments
Leave a Reply