KUALA LUMPUR - Indonesia mengenal pasti 198 individu yang disyaki terlibat dalam kes kebakaran hutan dan tanah, selain memproses 97 laporan polis membabitkan syarikat dalam usaha mempergiat penguatkuasaan bagi menangani kebakaran yang turut menyebabkan jerebu rentas sempadan di Malaysia.
Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan Polis Republik Indonesia setakat ini mengendalikan 247 laporan polis membabitkan individu.
Pada masa sama, Kementerian Alam Sekitar Indonesia merekodkan 57 entiti perniagaan dengan kawasan konsesi yang terbakar di lapan wilayah, melibatkan keseluruhan 33,514.01 hektar.
Daripada jumlah itu, 16 entiti perniagaan di Sumatera membabitkan kawasan seluas 3,813.85 hektar, manakala 41 entiti di Kalimantan melibatkan 29,700.16 hektar.
Menurut kenyataan itu, Kementerian Kehutanan Indonesia turut mengambil tindakan pentadbiran terhadap 26 pihak, termasuk membatalkan lima permit perniagaan, menggantung 13 permit serta mengeluarkan lapan amaran bertulis atau arahan pemulihan.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 46 subjek undang-undang sedang melalui proses pengendalian kes jenayah, dengan 17 daripadanya berada pada peringkat siasatan awal dan 27 lagi pada peringkat penyiasatan.
Daripada jumlah berkenaan, lima melibatkan syarikat manakala 22 lagi terdiri daripada individu.
KBRI berkata kerajaan Indonesia terus mempergiat operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah bagi meminimumkan kesan jerebu rentas sempadan.
Usaha itu membabitkan penggemblengan anggota tentera dan polis, pasukan pemadam kebakaran hutan Manggala Agni, agensi pengurusan bencana serta sukarelawan masyarakat.
Selain operasi pemadaman, Indonesia turut melaksanakan modifikasi cuaca, operasi water bombing, pembasahan semula tanah gambut serta penyediaan tanah tanpa pembakaran sebagai langkah pencegahan dan kawalan kebakaran.
KBRI berkata Indonesia mengalu-alukan usaha untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dan negara sahabat dalam menangani kebakaran hutan dan tanah serta isu jerebu rentas sempadan.
Perwakilan Indonesia di Malaysia turut akan terus membantu melancarkan komunikasi dan pertukaran maklumat berkaitan usaha menangani kebakaran berkenaan.
Sumber Info: Bernama - Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-dunia/indonesia-kenal-pasti-198-suspek-pergiat-penguatkuasaan-tangani-kebakaran-hutan
Comments
Leave a Reply