World

SAM gesa Indonesia dedah senarai syarikat punca kebakaran, jerebu rentas sempadan

KUALA LUMPUR - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Indonesia mendedahkan senarai syarikat yang bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan dan tanah di negara itu yang menyebabkan jerebu rentas sempadan, supaya tindakan sewajarnya termasuk boikot produk dapat diambil oleh orang ramai.

Presidennya, Meena Raman berkata pendedahan berkenaan penting bagi membolehkan masyarakat mengenal pasti syarikat yang didakwa terlibat, sekali gus memberi tekanan kepada pihak terbabit supaya bertanggungjawab terhadap kesan kebakaran yang berlaku.

Menurutnya, orang ramai juga boleh menyuarakan bantahan menerusi demonstrasi dan tindakan pengguna, termasuk memboikot produk syarikat berkenaan.

“Kami mahu senarai syarikat ini didedahkan supaya orang ramai boleh mengambil tindakan, misalnya memboikot produk mereka atau mengadakan protes di hadapan syarikat.

“Kita tidak boleh bertahan lagi kerana perkara ini bukan kejadian baharu. Setiap tahun ia berulang dan orang ramai diminta untuk berdiam diri,” katanya dalam temu bual khas bersama Astro AWANI.

Meena berkata keadaan itu semakin membimbangkan apabila jerebu memberi kesan terhadap kesihatan awam, khususnya kanak-kanak, selain menjejaskan kehidupan harian masyarakat.

Beliau turut mempersoalkan mengapa nama syarikat yang didakwa terlibat masih belum didedahkan, sambil menyifatkan keadaan itu boleh menimbulkan persepsi bahawa terdapat pihak tertentu yang melindungi kepentingan syarikat terbabit.

Bagaimanapun, katanya, persoalan mengenai perkara itu perlu dijelaskan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Mengulas aspek penguatkuasaan, Meena berkata Malaysia berdepan kekangan bidang kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat yang beroperasi di Indonesia.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Indonesia perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap syarikat yang didapati bertanggungjawab, selaras dengan undang-undang negara berkenaan.

“Kerajaan Malaysia juga perlu mempertingkatkan tekanan diplomatik supaya isu jerebu rentas sempadan dapat ditangani secara berkesan dan tidak terus berulang setiap tahun,” katanya.

Baru-baru ini, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur memaklumkan Indonesia mengenal pasti 198 suspek individu dalam siasatan kes kebakaran hutan dan tanah, selain memproses 97 laporan polis melibatkan syarikat sebagai sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan bagi menangani kebakaran yang turut menyebabkan jerebu di Malaysia.

KBRI Kuala Lumpur turut memaklumkan Polis Republik Indonesia mengendalikan 247 laporan polis berkaitan individu, manakala Kementerian Alam Sekitar Indonesia merekodkan 57 entiti perniagaan dengan kawasan konsesi yang terbakar di lapan wilayah.


Sumber Info: Astro Awani 
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/dedah-syarikat-punca-jerebu-pengguna-perlu-ada-hak-pilih-produk-sam 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply