Geopolitic

Bukti Genosid Dipadam, Penderitaan Palestin Cuba Dilenyapkan

Negara-negara Barat menganggap dunia boleh terus melangkah ke depan setelah berlakunya gencatan senjata. Jaminan “keamanan” oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, seolah-olah membolehkan semua penderitaan dan kekejaman luar akal fikiran yang berlaku di Gaza boleh dilupakan begitu sahaja.

Pada awal Oktober, Canselor Jerman, Friedrich Merz, menyatakan bahawa beliau tidak melihat sebarang sebab untuk rakyat Jerman terus mengadakan protes terhadap Israel selepas tercapainya gencatan senjata. Beberapa ahli politik kanan Jerman kembali menyeru beliau supaya eksport senjata ke Israel disambung semula, walaupun masih terdapat angka korban di Gaza dan penjajahan haram Israel di wilayah Palestin termasuk Tebing Barat masih berterusan.

Sementara itu, duta baharu Israel ke Kesatuan Eropah (EU), Avi Nir-Feldklein, mencadangkan untuk Amerika Syarikat membenarkan EU terlibat dalam projek pembinaan semula Gaza. Potensi sekatan perdagangan sedang dipertimbangkan oleh blok tersebut terhadap Israel tetapi belum mendapat cukup undian dari 27 buah negara. Selain itu EU bercadang untuk melakukan sekatan terhadap menteri-menteri ekstremis dalam kabinet kerajaan Benjamin Netanyahu iaitu Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich. 10 pemimpin Hamas turut dimasukkan dalam senarai. https://www.aljazeera.com/news/2025/9/17/eu-proposes-suspension-of-trade-concessions-with-israel-over-gaza-war .

Keamanan sebenar hanya wujud apabila kedaulatan Palestin diiktiraf. Rakyat Palestin tidak mempunyai kuasa ke atas sempadan, ruang udara, pergerakan, dan sumber semula jadi. Ucapan Trump di Knesset pada 13 Oktober 2025 adalah penuh dengan nada keangkuhan dengan memuji rejim zionis Israel telah menang dan Netanyahu melakukan “a great job”. Penderitaan rakyat Palestin atau angka korban awam akibat serangan Israel langsung tidak disebut. Pembunuhan beramai-ramai Israel yang disokong AS di Semenanjung Gaza, yang secara rasmi telah membunuh lebih daripada 67,000 rakyat Palestin dalam tempoh dua tahun lalu. Sesetengah penganalisis menyatakan bahawa jumlah kematian sebenar mungkin sekitar 680,000 orang.

https://www.economist.com/middle-east-and-africa/2025/09/29/donald-trump-reaches-for-eternal-peace-in-gaza

Trump turut mempromosikan mengenai Abraham Accords iaitu perjanjian normalisasi hubungan antara Israel dan beberapa negara Arab. Trump turut menyatakan bahawa beliau lebih suka menyebutnya sebagai “Avraham” kerana bunyinya “lebih sedap dan lembut”. Bagi Trump, perjanjian itu sangat menguntungkan dari segi perniagaan, dan empat negara (Bahrain, UAE, Morocco dan Sudan) yang telah menandatangani perjanjian tersebut telah memperoleh banyak keuntungan.

Namun, dalam konteks hari ini, usaha Trump untuk menarik mana-mana negara Arab lain untuk menandatangani Abraham Accords adalah untuk menghalalkan genosid dan mempercepatkan perampasan tanah rakyat Palestin. Rakyat Gaza akan dipaksa untuk hidup di bawah pemerintahan kolonial baharu, yang diberi nama “Lembaga Keamanan” (Board of Peace). Board of Peace ini akan dipengerusikan sendiri oleh Presiden Amerika Syarikat dan dibantu oleh banyak negara barat lain yang sebelum ini menjadi penyokong tindakan ketenteraan oleh Israel ke atas Gaza. Trump yang tidak berhenti mengangkat dirinya sebagai pembawa ‘keamanan’ dan menyatakan ia mengambil masa 3,000 tahun untuk sampai ke tahap ini merujuk kepada genjatan senjata antara Hamas-Israel. https://www.cnbc.com/2025/10/14/trump-says-israel-hamas-war-is-over-but-the-road-to-peace-is-fragile.html

Trump mahukan rakyat Palestin memilih jalan damai tanpa ada lagi ‘keganasan’ walaupun hakikatnya pengganas dan penjajah sebenar yang melancarkan genosid selama 2 tahun adalah Israel. Semenanjung Gaza hancur dan hampir semua bangunan di wilayah tersebut musnah atau rosak teruk. Persatuan Sarjana Genosid Antarabangsa (IAGS) telah meluluskan satu resolusi rasmi yang menyatakan bahawa tindakan rejim zionis Israel di Gaza memenuhi definisi undang-undang bagi jenayah genosid seperti yang termaktub dalam Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948. Pembunuhan orang awam termasuk kanak-kanak, sekatan makanan untuk mengakibatkan kebuluran, sekatan bantuan kemanusiaan dan perubatan, pemindahan paksa penduduk dan kemudian mengebom kawasan yang dikatakan selamat, serta keganasan seksual dan reproduktif; semuanya adalah jenayah genosid. Rejim Israel di bawah pentadbiran Netanyahu sedang menghadapi kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang difailkan oleh Afrika Selatan pada Disember 2023 atas tuduhan genosid. https://www.astroawani.com/berita-dunia/iags-sahkan-tindakan-kejam-israel-di-gaza-menepati-definisi-genosid-536735 . Selain itu terdapat satu lagi kes di ICJ, di mana Nicaragua telah menuduh Jerman bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai kerana sokongan persenjataannya terhadap Israel.

https://www.gicj.org/topics/countries/palestine/

Sementara itu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap untuk Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant pada akhir tahun 2024. Mereka telah dituduh melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, walaupun tiada seorang pun didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai. ICC juga mengeluarkan waran untuk tiga pemimpin kanan Hamas tetapi waran ini ditarik balik apabila mereka meninggal dunia. Pertubuhan hak asasi manusia juga telah menyertai kes di ICC. Sebagai contoh, menjelang akhir September 2025, Reporters Without Borders telah memfailkan lima aduan terhadap Israel dengan ICC, kerana tentera Israel sengaja menyasarkan wartawan Palestin.

https://rsf.org/en/rsf-files-fifth-complaint-icc-about-israeli-war-crimes-against-journalists-gaza

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, juga telah dituduh bersubahat dalam jenayah genosid melalui satu aduan yang dikemukakan kepada ICC berhubung sokongan negara itu melalui pembekalan senjata untuk terus mengebom Gaza. https://www.lemonde.fr/en/international/article/2025/10/07/meloni-says-accused-of-complicity-in-genocide-at-world-court_6746197_4.html

Serangan Israel turut menyasarkan kediaman para wartawan, menyebabkan ahli keluarga mereka turut menjadi mangsa korban. Wartawan Palestin Wael al-Dahdouh kehilangan separuh daripada keluarganya, termasuk isteri, dua orang anaknya, dan cucu dalam serangan udara Israel. Beberapa minggu kemudian, anak sulungnya Hamza, yang juga seorang wartawan, dibunuh oleh Israel.

Menurut Susan Akram dari Fakulti Undang-undang Universiti Boston, gencatan senjata seharusnya tidak memberi sebarang perbezaan terhadap pendakwaan atau kebertanggungjawaban atas jenayah yang telah dilakukan oleh mana-mana pihak. Banyak bukti yang telah pun dikumpulkan. Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki, turut mempunyai pangkalan data sendiri yang berkemungkinan akan digunakan oleh pihak mahkamah. Selain itu, terdapat kes melibatkan permohonan untuk menangkap askar dan komander Israel yang dikenalpasti melakukan jenayah di Gaza. Tiada satu pun daripada kes seperti ini akan terjejas oleh gencatan senjata. https://www.dw.com/en/ceasefire-gaza-impact-on-icj-icc-cases-against-israel-v2/a-74370945

Pada 13 Oktober 2025, DropSite News melaporkan bahawa Meta telah memadam akaun rasmi milik wartawan Gaza, Saleh al-Jafarawi, yang mempunyai lebih daripada 4.5 juta pengikut. Sementara versi arkib halaman wartawan itu di Wayback Machine juga telah hilang. Ini sehari selepas beliau dibunuh dengan cara yang kejam di Gaza City. https://www.dropsitenews.com/p/drop-site-daily-israel-violates-gaza-ceasefire-humanitarian-aid?utm_source=publication-search . Israel mahu memadam seberapa banyak bukti jenayah mereka di internet. Penjajahan digital atau ‘digital settler colonialism’ bermaksud kerjasama syarikat teknologi gergasi seperti Meta dalam membantu kekejaman Israel. Ideologi Zionisme diperluaskan dalam dunia nyata melalui penghapusan digital Palestin atau ‘E-racing Palestine’ di platform-platfotm media sosial.

Kesimpulannya, Israel kini berusaha memadam jejak jenayah genosidnya di Gaza, bukan sahaja di dunia nyata tetapi juga di ruang digital. Usaha ini dibantu dengan konsisten oleh sekutunya AS, dan presiden Donald Trump menganggap keamanan sudah dicapai. Ini sekaligus menidakkan penderitaan rakyat Palestin selama berpuluh-puluh tahun. Tindakan seperti memadam akaun wartawan Palestin dan menapis kandungan tentang kekejaman Israel menunjukkan kebenaran cuba disembunyikan. Dengan bantuan syarikat teknologi besar seperti Meta, penjajahan digital menjadi senjata baharu Zionisme. Menghapuskan bukti bermakna menghapuskan sejarah, dan inilah yang sedang cuba dilakukan oleh Israel.

Oleh: Norain Yusoff.

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply