Dari New York hingga Los Angeles, hampir 7 juta rakyat Amerika Syarikat turun ke jalanan pada hari Sabtu, 18 Oktober 2025, dalam siri protes besar-besaran “No Kings”, sebagai tanda penentangan terhadap Presiden Donald Trump dan dasar keras pentadbirannya.
Protes yang berlangsung di semua 50 negeri Amerika ini mencerminkan kemarahan rakyat terhadap penutupan kerajaan (government shutdown) yang kini memasuki minggu ketiga, serta tindakan ketenteraan Trump terhadap bandar-bandar yang dipimpin oleh parti Demokrat.
Penganjur “No Kings” menggambarkan perhimpunan kali ini sebagai “antara demonstrasi terbesar dalam sejarah Amerika yang berlangsung dalam satu hari”, berbanding siri protes sebelum ini pada bulan Jun.
Lebih 2,700 acara dianjurkan di seluruh negara, termasuk beberapa di luar Amerika seperti di London, Paris, Rom dan Lisbon. Antara kumpulan utama di sebalik penganjuran ini ialah American Civil Liberties Union (ACLU), American Federation of Teachers, Human Rights Campaign, Indivisible, dan MoveOn.
“Di seluruh bandar besar dan kecil, di kawasan luar bandar mahupun pinggir bandar, jutaan orang berhimpun secara aman untuk menghantar mesej yang jelas: kuasa sebenar berada di tangan rakyat,” kata Katie Bethell, Pengarah Eksekutif MoveOn.
Apakah maksud 'No Kings'?
Tema "No Kings" dianjurkan oleh Gerakan 50501. Nama 50501 membawa maksud 50 negeri, 50 protes, satu gerakan. Para penunjuk perasaan menyeru agar Trump “diturunkan takhta” kerana mereka membandingkan tindakannya dengan seorang raja, bukannya presiden yang dipilih secara demokratik. https://www.fox9.com/news/no-kings-protests-live-watch-coverage
Gelombang Dari New York ke Los Angeles
Jutaan penunjuk perasaan membawa pelbagai mesej menolak pemerintahan yang mereka anggap semakin ‘autoritarian’ oleh Presiden Trump.
Di New York, pihak berkuasa melaporkan lebih 100,000 orang berhimpun, menjadikannya antara protes terbesar hari itu. Di Washington, DC, di mana kerajaan persekutuan masih lumpuh akibat kebuntuan politik, sekitar 8,000 hingga 10,000 orang berkumpul berhampiran Bangunan Capitol.
Ribuan melaungkan slogan “Beginilah rupa demokrasi sebenar!”, sambil mengibarkan sepanduk dan bendera, termasuk bendera yang menampilkan logo tengkorak dari anime popular “One Piece”, yang kini menjadi simbol protes anti-kerajaan di seluruh dunia, dari Peru hingga Madagascar.
Di Los Angeles, suasana menjadi tumpuan apabila penunjuk perasaan menerbangkan belon gergasi menggambarkan Trump memakai lampin bayi, simbol ejekan terhadap imej “raja” yang cuba dibina oleh beliau sendiri.
Trump Balas Dengan Imej Dirinya Sebagai Raja
Sebagai tindak balas terhadap protes besar-besaran itu, Trump memuat naik beberapa video yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) di platform miliknya, Truth Social, menampilkan dirinya berpakaian diraja dan duduk di atas takhta.
Senator Bernie Sanders, tokoh progresif turut berucap di luar Capitol dengan menegaskan bahawa AS kini sedang mempunyai seorang presiden yang mahukan semakin banyak kuasa di tangannya bersama-sama para para oligarki sekutunya.
“Kita mempunyai seorang presiden yang mahukan lebih banyak kuasa di tangannya sendiri dan di tangan para oligarki sekutunya.” — The Guardian
“Kita telah menolak hak ketuhanan raja pada tahun 1770-an. Kita juga tidak akan menerima hak ketuhanan para oligarki pada hari ini.” — Economic Times
Sementara itu, ahli-ahli parti Republik (GOP) mengecam gerakan ini sebagai “perhimpunan benci-Amerika”, menuduh ia sekadar helah politik Demokrat bagi menekan kerajaan ketika penutupan berterusan.
Jurucakap Rumah Putih, Abigail Jackson, pula mempertahankan tindakan pentadbiran Trump:
“Pentadbiran Trump memberi tumpuan untuk menghentikan penularan keganasan sayap kiri yang menular di komuniti Amerika. Penunjuk perasaan boleh berarak secara sah, tetapi sebarang keganasan tidak akan diterima.”
Menular Hingga Ke Akar Amerika
Menurut laporan Harvard Kennedy School, siri protes tahun 2025 ini telah meliputi kawasan paling luas dalam sejarah Amerika moden, termasuklah kawasan majoriti pengundi Trump sendiri. Walaupun perhimpunan di kawasan tersebut berskala kecil, kehadiran mereka menandakan kemarahan rakyat sudah menembusi garis politik.
Dalam wawancara dengan Fox Business pula, Trump menegaskan bahawa beliau “bukan seorang raja.”
Namun ironinya, kenyataan itu datang daripada individu sama yang sebelum ini pernah berkata bahawa beliau akan menjadi “diktator” pada hari pertama sekiranya dipilih semula.
“Saya tidak suka diktator. Saya bukan diktator. Saya seorang yang mempunyai akal yang waras dan bijak,”.
Dari Jalanan ke Sejarah
Protes “No Kings” kini menjadi lambang penentangan terhadap pemusatan kuasa dan penyalahgunaan demokrasi di Amerika. Dengan jutaan rakyat turun ke jalanan, mesej mereka jelas iaitu tiada raja dalam republik, dan kuasa sebenar tetap milik rakyat.
Oleh: Norain Yusoff
Comments
Leave a Reply