Dalam satu detik bersejarah bagi negara matahari terbit itu, Sanae Takaichi telah dipilih oleh Parlimen Jepun sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun pada Selasa, 21 Oktober 2025.
Takaichi, yang juga pemimpin kepada parti pemerintah Liberal Democratic Party (LDP), memperoleh 237 undi dalam Dewan Rendah yang mempunyai 465 kerusi.
Beliau secara rasmi akan menjadi Perdana Menteri ke-104 Jepun dan akan menggantikan bekas pemimpin, Shigeru Ishiba, yang meletakkan jawatan selepas kekalahan pilihan raya dan ketidakmampuan untuk membawa koalisi stabil.
Dalam ucapan sulungnya sebagai pemimpin negara, Takaichi menegaskan komitmennya untuk “membina ekonomi Jepun yang kukuh dan melindungi kepentingan nasional melalui diplomasi dan keselamatan.”
Beliau turut menyifatkan hubungan strategik antara Jepun dan Amerika Syarikat sebagai “batu asas” bagi dasar luar Jepun.
Cabaran Besar di Hadapan
Walaupun pencapaian Takaichi dipandang sebagai lonjakan penting dalam landskap politik Jepun yang didominasi lelaki, pemerhati memberi amaran bahawa pelantikannya mungkin lebih bersimbolik daripada revolusi dalam hak wanita atau perubahan sosial.
Salah satu sebab utamanya adalah pentadbiran beliau yang bergabung dengan koalisi baru bersama Japan Innovation Party (JIP), selepas pemisahan mengejutkan dengan bekas rakan sekutu LDP, Parti Komeito yang menandakan pergeseran ke kanan dalam dasar kerajaan.
Koalisi baharu ini, walaupun membolehkan Takaichi memenangi undian, ia masih kekurangan majoriti mutlak dalam kedua-dua dewan Parlimen, menjadikan pemerintahan kali ini dilihat rapuh dan berpotensi untuk menghadapi tekanan awal.
Tambahan pula, walaupun sebelum ini beliau berjanji akan menambah perwakilan wanita dalam Kabinet, hanya dua orang wanita dilantik daripada 19 menteri, iaitu Satsuki Katayama sebagai Menteri Kewangan dan Kimi Onoda sebagai Menteri Keselamatan Ekonomi.
Kombinasi ini mencetus persoalan sama ada pelantikan Takaichi benar-benar akan mengangkat agenda kesetaraan gender atau sekadar simbol semata-mata.
Agenda Utama: Ekonomi, Pertahanan dan Diplomasi
Takaichi mewarisi tanggungjawab besar, selain itu, perlu memulihkan sokongan rakyat terhadap LDP selepas beberapa kekalahan pilihan raya yang mencalar imej parti.
Antaranya ialah:
Mengatasi inflasi dan kos sara hidup yang meningkat di Jepun yang merupakan satu isu yang menjadi keluhan besar rakyat.
Mengukuhkan perbelanjaan pertahanan dan mengetatkan polisi luar serta imigresen, selaras dengan kecenderungan Takaichi yang dilihat sebagai “hawk” dalam isu keselamatan.
Meneruskan kerangka hubungan dengan AS serta memainkan peranan aktif di rantau Indo-Pasifik dalam usaha menyeimbangkan pengaruh China.
Takaichi, yang mempunyai sejarah rapat dengan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe dan turut mengagumi bekas pemimpin Britain, Margaret Thatcher, dilihat akan meneruskan gaya politik yang lebih tegas dan konservatif.
Impak Sosial dan Antarabangsa
Dari sudut antarabangsa, pelantikan Takaichi turut mengundang pelbagai reaksi. Pemerintah Korea Selatan dan Presiden Ursula von der Leyen daripada Kesatuan Eropah mengucapkan tahniah sambil menekankan kepentingan hubungan dua hala yang mantap.
Namun, Beijing menekankan bahawa Jepun perlu menghormati komitmen politiknya terhadap isu seperti sejarah perang dan Taiwan.
Dari perspektif gender, walaupun momentum “wanita pertama” wujud, banyak pemimpin masyarakat dan pemerhati menegaskan bahawa tanpa dasar konkrit dan perubahan struktural, kebebasan ala barat mungkin belum tiba masanya. Sebagai contoh, Takaichi menyokong kesinambungan sistem yang hanya membenarkan warisan lelaki serta menentang perkahwinan sejenis dan pengekalan nama keluarga asal oleh pasangan yang berkahwin.
Kesimpulannya, pelantikan Sanae Takaichi sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun adalah satu momen bersejarah, memecahkan siling kaca politik di Jepun. Tetapi di belakang imej itu tersimpan cabaran besar: koalisi kerajaan yang masih tidak kukuh, beban ekonomi yang berat, dan persoalan sama ada dasar sosial akan benar-benar berubah atau kekal pada “politik simbolik”.
Bagi Jepun, jalan ke hadapan kini bergantung kepada sejauh mana Takaichi mampu menyeimbangkan agenda luar dan domestik, selain membina ekonomi yang stabil, memperkukuh hubungan antarabangsa, dan sekaligus menunjukkan bahawa kepimpinan wanita boleh membawa erti perubahan sebenar. Jika beliau gagal, sejarah mungkin hanya mengenang “wanita pertama” tanpa kesan mendalam kepada lanskap Jepun.
Sumber: AlJazeera, AP News, The Guardian, Business Standard.
Oleh: Norain Yusoff.
Comments
Leave a Reply