Hari ini, 10/10/2025, kita melihat ramai penduduk Gaza mula membuat perjalanan pulang berjalan kaki ke kawasan tempat tinggal mereka walaupun mengetahui rumah-rumah semua sudah musnah. Bagi mereka, dapat pulang adalah satu kegembiraan dan rahmat. Mereka juga mempunyai harapan untuk mengebumikan saudara-mara yang terkorban dengan cara bermaruah kerana ramai yang terbunuh masih tidak dapat dikeluarkan dari runtuhan. Rakyat Gaza juga perlu mula bersiap untuk menghadapi musim sejuk yang bakal tiba.
Israel sedang dalam fasa kejatuhan disebabkan keangkuhan dan kebodohan para pemimpin ekstremis mereka. Pada Oktober 2023, Parlimen British, Menara Eiffel dan Bangunan Empire State diterangi dengan warna putih dan biru sebagai tanda sokongan kepada Israel. Sekarang, Israel semakin terpencil di pentas dunia, dibenci, dan perpecahan semakin ketara di kalangan rakyat. 159 daripada 192 negara anggota PBB, dan empat daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan kini mengiktiraf Palestin, kecuali Amerika Syarikat. Ramai rakyat Israel menganggap pemimpin-pemimpin mereka adalah tidak berguna dan gagal membawa pulang semua tebusan dengan selamat. Tentera Israel sebenarnya sudah keletihan, tertekan, dan hanya menggunakan keganasan untuk membunuh rakyat awam di Palestin. Dengan gencatan senjata yang dicapai, persoalan besar timbul sama ada Netanyahu dapat mengekalkan kerajaan pakatan berhaluan kanannya dalam pilihanraya Oktober 2026.
Fasa Pertama Genjatan Senjata Bermula.
Genjatan senjata telah bermula pada jam 12:00 tengah hari waktu tempatan di Gaza.
Ketua pasukan rundingan Hamas, Khalil al-Hayya, mengesahkan bahawa perjanjian kali ini dibuat dengan jaminan daripada Amerika Syarikat dan para pengantara, bahawa pelaksanaan fasa pertama bermaksud “perang di Gaza telah tamat sepenuhnya.” Pertempuran dihentikan dalam tempoh 24 jam, manakala Hamas diberikan 72 jam untuk memulakan pembebasan tahanan Israel.
1. Bilangan Tebusan dan Tahanan
Masih terdapat 48 rakyat Israel di Gaza, dan dalam fasa pertama ini, Hamas akan membebaskan sekitar 20 tebusan yang masih hidup, dalam masa 72 jam setelah gencatan senjata bermula.
Israel pula akan membebaskan kira-kira 250 tahanan Palestin yang menjalani hukuman seumur hidup dan 1,700 orang yang ditahan dari Gaza.
2. Pengunduran Tentera IOF dan Kawalan Wilayah
Tentera Israel akan berundur ke "garisan yang dipersetujui" dalam Gaza dalam tempoh 24 jam selepas pelan diluluskan. Pengunduran ini adalah sebahagian daripada fasa pertama perjanjian. Israel menegaskan bahawa terdapat pasukan tentera yang akan terus beroperasi untuk menghapuskan sebarang ancaman segera dari Hamas. Israel masih mengekalkan kawalan ke atas 53% wilayah Gaza.
3. Kemasukan Bantuan Kemanusiaan
Salah satu elemen penting dalam fasa pertama ialah untuk membuka kembali laluan antara Mesir dan Gaza bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan. Sejumlah besar lori bantuan akan memasuki Gaza bermula dengan sekitar 400 lori sehari, dan kemudiannya akan meningkat.
4. Tempoh dan Struktur Fasa Pertama
Fasa pertama dianggap sebagai langkah awal dalam pelan ‘20 poin oleh Trump’. Ia akan menjadi asas untuk rundingan fasa-fasa berikutnya yang melibatkan isu-isu lebih kritikal seperti pemerintahan Gaza selepas perang dan pelucutan senjata oleh Hamas.
5. Jaminan Diplomatik dan Pengesahan Perang Telah Tamat
Khalil al-Hayya dari Hamas menyatakan bahawa kumpulannya telah menerima jaminan daripada Amerika Syarikat dan para perantara bahawa persetujuan fasa pertama bermaksud perang di Gaza “telah berakhir sepenuhnya.”
Israel pula telah meluluskan pelan tersebut dan kabinetnya secara rasmi mengesahkan perjanjian damai, membuka jalan untuk pelaksanaan.
6. Isu-Isu Yang Masih Belum Jelas
Struktur pemerintahan selepas konflik belum diputuskan termasuklah siapa yang akan mentadbir Gaza, bagaimana proses pemulihan serta bagaimana peranan Hamas akan diatur.
Tidak jelas bila pengunduran penuh tentera Israel akan berlaku, selaim kawasan yang akan dikekalkan sebagai "zon keselamatan", dan bagaimana keselamatan rakyat Gaza akan dijamin.
Mengapa Sekarang?
Beberapa faktor penting telah membolehkan genjatan senjatan dicapai.
Pertama, tekanan antarabangsa terhadap Israel semakin memuncak, bukan sahaja daripada dunia Arab, tetapi juga dari masyarakat global yang menyaksikan kemusnahan besar di Gaza dan kehilangan lebih 67,000 nyawa rakyat Palestin. Dunia telah membuka mata ke atas penjajahan di Palestin, siapa zionis sebenar, dan mahu terus meyokong pembebasan dan kemerdekaan Palestin selepas ini.
Kedua, tekanan terhadap Netanyahu yang semakin meningkat. Dia terpaksa berdepan penentangan hebat di dalam negara serta kejatuhan imej Israel di peringkat antarabangsa. Dalam keadaan ini, Netanyahu tidak mampu lagi mengabaikan sekutunya yang paling berpengaruh iaitu Amerika Syarikat.
Agensi media melaporkan Washington memberi tekanan kuat agar operasi ketenteraan dihentikan, dengan amaran bahawa penolakan terhadap pelan damai akan menjejaskan hubungan strategik Israel-AS.
Dalam masa yang sama, Netanyahu dikatakan yakin bahawa beliau masih boleh mengawal kemarahan anggota ekstrem kanan dalam kerajaan pemerintahannya, terutama jika pelan damai ini dilihat lebih menguntungkan Israel pada fasa awal.
Langkah Awal Menuju Perdamaian
Walaupun langkah ini menandakan detik bersejarah, ramai penganalisis melihatnya sebagai fasa paling mudah daripada keseluruhan proses.
Masih banyak perkara belum dipersetujui secara konkrit, termasuklah bentuk pentadbiran Gaza selepas perang, usaha pembinaan semula Gaza yang musnah, dan cadangan mengenai penubuhan pasukan “penstabilan” antarabangsa.
Kesemua isu ini akan dirundingkan dengan serius pada minggu-minggu akan datang.
Adakah Perang Akan Meletus Semula?
Kemungkinan itu tetap ada, dengan Israel sering melanggar genjatan senjata sebelum ini. Beberapa perkara boleh membawa kepada kembalinya konflik terutama helah licik pihak Israel. Namun ramai penganalisis menjangka perang tidak akan tercetus semula dalam masa terdekat.
Penganalisis berpendapat bahawa besar kemungkinan, gencatan senjata kali ini akan bertahan selama beberapa minggu atau bulan. Akan tetapi, tidak mustahil juga rundingan lanjut pada masa hadapan berdepan dengan kebuntuan. Perang mungkin akan disambung semula sekiranya salah satu pihak merasakan mereka boleh memperoleh kelebihan melalui tindakan ketenteraan.
Namun, suasana kali ini tidak dinafikan berbeza daripada gencatan senjata sebelumnya pada November 2023 dan Januari 2025. Banyak pihak yang mula menekan Israel termasuk dari barat. Ini memberi sedikit harapan baharu kepada rakyat Palestin yang telah lama menderita di bawah sekatan dan pengeboman berterusan.
Peranan Kuasa Serantau dan Tekanan Global
Kuasa serantau seperti Mesir, Qatar, dan Turki memainkan peranan penting dalam memastikan gencatan ini kekal.
Para pemimpin antarabangsa juga perlu berani untuk terus memberi tekanan kepada rejim Israel. Netanyahu sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana melakukan genosid ke atas penduduk Gaza.
Momentum perjuangan kemerdekaan untuk negara Palestin perlu diperhebatkan melalui sokongan politik dan suara padu rakyat global.
Antara Janji dan Realiti
Gencatan senjata ini membawa sinar bagi rakyat Palestin yang hidup dalam kesengsaraan selama 2 tahun. Ia bukan soal politik semata-mata, tetapi hak untuk hidup bebas di tanah sendiri.
Sebenarnya, selagi penjajahan Israel tidak berakhir di Gaza, Tebing Barat, dan kawasan milik Palestin dikembalikan, “perdamaian” hanyalah perkataan di atas kertas yang dipergunakan oleh kuasa-kuasa dunia untuk mencapai tujuan mereka sendiri.
Walau sekecil mana pun, rakyat Palestin berhak merasakan kegembiraan dengan pengakhiran sebuah perang, sebuah genosid yang paling kejam di abad. Gencatan senjata sahaja tidak mencukupi. Akses tanpa sekatan bagi organisasi kemanusiaan, bekalan air bersih, pemulihan sistem kesihatan dan pembaikan infrastruktur kritikal agar Gaza dapat dipulihkan sepenuhnya.
Teruskan tumpuan kita ke atas Palestin selagi penjajahan oleh rejim zionis tidak berakhir.
Sumber: Al Jazeera, Reuters, The Guardian, Middle East Eye, Anadolu Agency.
Oleh: Norain Yusoff
Comments
Leave a Reply