Technology

Henti Guna GPS Amerika, Iran Pilih BeiDou dari China.

Selama berdekad-dekad, negara Barat terutamanya Amerika Syarikat telah memonopoli infrastruktur teknologi global. Daripada sistem operasi komputer, internet, telekomunikasi, teknologi kecerdasan buatan, hinggalah kepada rangkaian satelit, yang memberikan kelebihan besar kepada kerajaan AS dan sekutunya. Mereka bukan sahaja dapat mengawal arus teknologi dunia, tetapi dalam masa yang sama juga memantau, mengintip dan memanipulasi data seluruh dunia. Namun, era dominasi oleh pihak Barat boleh dipecahkan seperti yang mula dilakukan oleh negara Iran ketika ini.

Sistem Kedudukan Global (GPS) dibangunkan pada asalnya oleh Jabatan Pertahanan AS. Sistem navigasi berasaskan satelit mula-mula digunakan oleh tentera AS pada tahun 1973, dan selepas itu ia dapat digunakan oleh orang awam bermula pada tahun 1980-an.

Iran kini menjadi antara negara pertama yang secara terbuka memutuskan pergantungan terhadap sistem GPS buatan Amerika, dan mula beralih kepada sistem navigasi BeiDou milik China. Langkah ini bukan sekadar soal teknikal, tetapi menandakan perubahan strategik besar iaitu satu penolakan terhadap dominasi digital Barat yang selama ini dianggap tidak dapat digugat.

Menurut laporan akhbar Hamshahri, Iran sedang merangka pelan untuk berpindah secara berperingkat kepada sistem BeiDou, bermula dengan sektor penting seperti pengangkutan, pertanian, dan Internet Pelbagai Benda (Internet of Things/ IoT). Timbalan Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Iran, Ehsan Chit Saz, menjelaskan bahawa sistem BeiDou bukan sahaja memiliki ketepatan tinggi dan kelebihan liputan di Asia, tetapi yang paling penting, ia dikawal sepenuhnya oleh China, tanpa gangguan Amerika Syarikat.

Sistem Navigasi Satelit BeiDou kini menjadi salah satu daripada empat sistem navigasi global utama dunia (GNSS) yang diiktiraf PBB, bersama GPS (Amerika Syarikat), Galileo (Kesatuan Eropah), dan GLONASS (Rusia). Dengan ketepatan penentuan lokasi antara 2 hingga 3 meter, dan dalam keadaan terbaik kurang daripada 2 meter, BeiDou sebenarnya telah menandingi keupayaan GPS. Lebih 140 negara termasuk Rusia, Pakistan, Arab Saudi, Liga Arab, Belarus, dan 30 negara di Afrika mahu bekerjasama bagi penggunaan teknologi BeiDou untuk sektor pengangkutan, pertanian, perlombongan dan komunikasi.

Langkah Iran ini tidak datang secara tiba-tiba. Ia berpunca daripada siri serangan siber dan gangguan isyarat GPS yang berlaku semasa konflik Iran-Israel. Menurut laporan Al Jazeera, kapal-kapal di sekitar Teluk Parsi mengalami gangguan isyarat GPS yang berulang, dipercayai berpunca daripada tindakan sabotaj dan perang elektronik. Pembunuhan beberapa saintis nuklear dan pegawai kanan Iran juga menimbulkan kebimbangan bahawa sistem telekomunikasi negara telah diselinap masuk, malah telefon mudah alih digunakan untuk menjejak lokasi sasaran.

Situasi ini mendedahkan satu hakikat penting bahawa pergantungan kepada sistem teknologi Barat bukan lagi sekadar kelemahan, tetapi sebenarnya ancaman terhadap keselamatan negara.

Lebih membimbangkan, sejak berakhirnya konflik tersebut, sistem GPS di Iran kekal tidak stabil. Pihak berkuasa Iran sendiri mengakui bahawa langkah ‘jamming’ isyarat yang dilakukan atas dasar keselamatan dalaman tidak banyak membantu, malah menjejaskan berjuta-juta pengguna internet serta ribuan perniagaan. Semua tekanan dan ancaman tersebut mendorong Iran mencari alternatif luar daripada kawalan Amerika.

Selain itu, syarikat teknologi tempatan Iran sedang membangunkan perisian dwi-sistem, yang membolehkan peranti beralih antara GPS dan BeiDou secara automatik jika salah satu sistem terganggu. Menariknya, kebanyakan telefon pintar keluaran China sudahpun serasi sepenuhnya dengan BeiDou, menjadikan peralihan ini lebih lancar dan cepat.

Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, menegaskan bahawa pembangunan BeiDou bukan untuk mencabar sesiapa, tetapi untuk “membawa manfaat kepada seluruh manusia.” Menurut beliau, “BeiDou China juga ialah BeiDou dunia”, menekankan konsep keterbukaan dan kerjasama global berasaskan prinsip keuntungan bersama.

Namun bagi Iran, langkah ini membawa makna yang lebih dalam. Ia adalah simbol kebangkitan dunia multipolar, di mana kuasa teknologi tidak lagi berada di tangan negara-negara Barat. Dalam dunia di mana media sosial, sistem navigasi dan telekomunikasi boleh menjadi senjata pengintipan, negara-negara seperti Iran memilih untuk tidak lagi bergantung kepada teknologi yang boleh dimanipulasi dari luar.

Pada 17 Jun lalu, semasa konflik masih memuncak, kerajaan Iran menggesa rakyatnya memadam aplikasi WhatsApp yang dipercayai menyalurkan data pengguna kepada Israel. Walaupun dakwaan itu masih belum disahkan, langkah tersebut menunjukkan Iran sudah sangat sangsi terhadap teknologi Barat. Kebimbangan itu berasas kerana aplikasi milik syarikat Meta itu sudah lama dipersoalkan oleh pakar keselamatan siber. Laporan agensi-agensi berita antarabangsa menyatakan sistem AI milik tentera Israel mengumpul maklumat dari media sosial rakyat Palestin termasuk untuk mencari sasaran di Gaza.

Ironinya, tidak lama selepas serangan terhadap Iran, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat sendiri melarang penggunaan WhatsApp pada peranti rasmi kerajaan, seolah-olah mengakui bahawa ancaman terhadap keselamatan digital bukanlah hanya mitos.

Keputusan Iran untuk meninggalkan GPS dan aplikasi milik Barat bukan sekadar langkah teknologi, tetapi manifestasi kebangkitan geopolitik digital. Ia menunjukkan bahawa dalam dunia moden, kedaulatan sesebuah negara bukan hanya diukur dengan kekuatan tentera atau ekonomi, tetapi juga kebebasan daripada cengkaman digital pihak musuh.

Dunia sedang menyaksikan permulaan kepada era baharu, era kebangkitan blok teknologi Timur.

Oleh: Norain Yusoff.

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply