Geopolitic

Trump Tandatangan Perjanjian Nadir Bumi USD8.5 Bilion dengan Australia.

Pada 20 Oktober 2025, di White House, Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Anthony Albanese menandatangani satu perjanjian strategik bernilai USD8.5 billion (±RM40 bilion) bagi kerjasama dalam sektor bahan mineral kritikal dan nadir bumi antara Amerika Syarikat dan Australia.

Albanese menyifatkan hari itu sebagai “hari yang sangat penting” untuk membawa hubungan Amerika Syarikat–Australia “ke tahap yang lebih tinggi”. Beliau menyatakan:

“Ini ialah saluran pelaburan bernilai USD8.5 bilion yang sudah bersedia untuk dilaksanakan. Kita baru sahaja bermula.”

Trump pula sangat optimis dengann menyatakan:

“Dalam tempoh kira-kira setahun dari sekarang, kita akan mempunyai begitu banyak bahan mineral kritikal dan unsur nadir bumi sehingga kamu sendiri tidak tahu apa yang mahu dilakukan dengannya.”

Kandungan Utama Perjanjian.

Kedua-dua negara akan melabur secara bersama dalam projek perlombongan dan pemprosesan bahan mineral kritikal dalam tempoh jangka pendek. Antaranya:

Australia dan AS akan masing-masing menyumbang sekurang-kurangnya USD1 bilion kepada projek projek dalam tempoh 6 bulan akan datang.

Projek yang disenaraikan termasuk loji pemprosesan “gallium” oleh Alcoa di Barat Australia dan projek oxida nadir bumi oleh Arafura Rare Earths di Wilayah Utara Australia.

Perjanjian ini turut menetapkan mekanisme seperti “price floors” (aras harga bawah) bagi memastikan kestabilan pasaran dan mengelak manipulasi harga oleh pesaing utama global.

Mengapa ia berlaku sekarang?

Beberapa faktor penyebab perjanjian ini timbul:

China telah memperketat kawalan eksport ke atas bahan nadir bumi dan magnet yang berasaskan unsur nadir bumi, menjadikan negara seperti Australia dan Amerika Syarikat berasa terdesak untuk mencari sumber alternatif.

Bahan mineral kritikal dan nadir bumi (rare earths) menjadi asas dalam teknologi moden termasuk untuk pembuatan bateri kenderaan elektrik, magnet berprestasi tinggi, radar ketenteraan dan sistem pertahanan. Dengan itu, negara-negara kuasa besar memandangnya sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan dan ekonomi mereka.

Australia, yang kaya dengan sumber mineral dan mempunyai infrastruktur perlombongan yang matang, kini dilihat sebagai rakan strategik penting bagi AS untuk mengurangkan kebergantungan kepada China.

Implikasi untuk Australia & AS

Untuk Australia: Perjanjian ini dilihat sebagai kemenangan strategik kerana ia memperkukuh kedudukan Canberra dalam rantaian bekalan global bahan mineral kritikal, membuka peluang pelaburan dan pekerjaan serta menyuntik aktiviti ekonomi sektor perlombongan & pemprosesan. Sebagai contoh, saham syarikat bahan penting Australia melonjak selepas pengumuman ini.

Untuk Amerika Syarikat: Ia menandakan satu langkah penting dalam usaha memecahkan dominasi China dalam sektor nadir bumi dan bahan kritikal. Dengan kerjasama ini, AS berharap dapat menjamin bekalan dalam negara dan memperkukuh rantaian bekalannya.

Dari segi geopolitik: Perjanjian ini mempunyai dimensi strategik yang lebih besar kerana ia bukan sekadar perjanjian ekonomi, tetapi sebahagian daripada usaha AS dan sekutunya untuk mengukuhkan keselamatan dan pengaruh di rantau Indo-Pasifik.

Cabaran

Walaupun demikian, beberapa penganalisis memberi amaran bahawa jalan ke hadapan tidak mudah. Ini kerana beberapa faktor seperti memproses bahan nadir bumi hingga ke tahap hiliran (downstream) masih memerlukan masa dan pelaburan besar. Australia walaupun kaya dengan sumber alam, masih mempunyai kekurangan dalam aspek teknologi pemprosesan. China memegang hampir sepenuhnya monopoli ke atas kapasiti pemprosesan, mengawal kira-kira 85-90% pasaran global, yang bermakna negara lain sangat bergantung kepada China untuk peringkat akhir penapisan hasil mineral bumi. Selain itu,  China boleh memberi tindak balas terhadap langkah yang diambil oleh AS, sama ada melalui kawalan eksport, tarif atau langkah lain dalam usaha mempertahankan kedudukan dominannya. Perjanjian ini walaupun besar nilainya, masih memerlukan pelaksanaan yang efektif, termasuklah kelulusan alam sekitar, infrastruktur, dan kerangka polisi yang menyokong operasi sepanjang rantaian nilai.

Malaysia dan rantau ASEAN

Sektor bahan mineral dan nadir bumi akan menjadi semakin penting dan membuka peluang bagi negara yang mempunyai sumber dan potensi pemprosesan untuk menarik pelaburan dan kerjasama antarabangsa. Strategi negara-negara besar dalam memastikan keutuhan bekalan bahan kritikal kepada pihak mereka boleh memberi kesan kepada harga global dan keputusan pelaburan sektor perlombongan dan teknologi di rantau ini.

Politik perdagangan dan keselamatan semakin saling berkait, kita melihat inovasi teknologi, perlombongan dan pertahanan kini menjadi unsur dalam hubungan antarabangsa, bukannya hanya soal komoditi biasa.

Kesimpulannya, perjanjian AS-Australia yang terbaru ini merangkumi lebih daripada sekadar angka, ia mencerminkan peta geopolitik baharu di mana teknologi, bahan mentah dan sekuriti negara saling berkait. Dengan pelaburan yang besar, kerjasama strategik dan demi mengurangkan kebergantungan kepada China, negara AS dan Australia membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala mereka. Namun kejayaan sebenar akan dinilai bukan hanya di atas kertas, tetapi atas sejauh mana projek‐projek berkenaan dapat dimulakan, dikembangkan dan memberi hasil nyata dalam industri, ekonomi serta geopolitik. Dan pastinya ia memerlukan masa dan dipengaruhi oleh faktor-faktor lain secara domestik dan dari luar.

Sumber: AlJazeera, Time, AP News, The Guardian

Oleh: Norain Yusoff

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply