Zionis Israel telah menculik ratusan aktivis dari 41 kapal misi Global Sumud Flotilla, namun sebuah kapal layar ketika ini masih terus mara menuju ke Gaza.
Sehingga awal pagi Jumaat, kapal layar Marinette yang berdaftar di Poland, yang mempunyai enam orang kru termasuk dari Turki, Oman, dan Australia, merupakan satu-satunya kapal GSF yang masih meneruskan perjalanan untuk memecahkan tembok kezaliman dan keganasan Israel di Palestin. Suapan video langsung kapal itu, yang aktif sekitar jam 04:00 GMT, menunjukkan kru sedang mengemudi kapal ketika matahari terbit di perairan antarabangsa Laut Mediterranean.
Penjejak geo (geo tracker) menunjukkan kapal tersebut berada kira-kira 43 batu nautika (sekitar 80 km) dari perairan wilayah Gaza.
Kementerian Luar Negeri Israel sebelum ini telah memberi amaran kepada Marinette bahawa “usaha untuk memasuki zon pertempuran aktif dan memecahkan sekatan akan dihalang”. Israel sebelum ini menuduh para sukarelawan cuba “melanggar sekatan laut yang sah”, iaitu dakwaan yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
Tentera zionis Israel telah memintas setiap kapal dan menahan kru sebelum membawa mereka ke pelabuhan penjajah di Ashdod. Wira dan wirawati Sumud dari Malaysia, serta beberapa tokoh terkenal, termasuk aktivis Greta Thunberg, bekas Datuk Bandar Barcelona Ada Colau, dan Ahli Parlimen Eropah Rima Hassan antara yang kini ditahan.
Sebagai misi bantuan laut terbesar untuk menghantar bekalan ke wilayah Gaza yang sedang menghadapi kebuluran, armada ini telah berjaya menarik perhatian dunia. Zionis Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza sejak hampir 18 tahun lalu, dan sejak Mac lepas, lintasan sempadan ditutup sepenuhnya.
Rampasan kapal-kapal tersebut turut menerima kecaman global dan mencetuskan protes di seluruh dunia. Ini bukan misi yang gagal tetapi kejayaan yang sangat besar untuk menggerakkan suara dan tindakan satu dunia untuk membela Gaza.
Stephen Cotton, setiausaha agung International Transport Workers’ Federation (ITF), yang mewakili lebih 16.5 juta pekerja pengangkutan di seluruh dunia, memberitahu Al Jazeera bahawa “menyerang atau merampas kapal kemanusiaan tanpa keganasan di perairan antarabangsa” adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.
“Negara tidak boleh memilih bila mahu menghormati undang-undang antarabangsa. Lautan tidak boleh dijadikan pentas peperangan,” katanya.
Kemas kini: Menerusi siaran langsung sistem penjejak (tracker) Sumud Nusantara, kru kapal Marinette dihampiri tentera zionis sekitar jam 3.30 petang waktu Malaysia, 3 Oktober 2025, sebelum terputus hubungan.
Oleh: Norain Yusoff
Comments
Leave a Reply