PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) – Malaysia dan Bangladesh akan memperkukuh kerjasama melalui mekanisme ASEAN dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang terhadap krisis pelarian Rohingya, termasuk melibatkan pihak berkuasa Myanmar bagi menangani isu berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara komited untuk bekerjasama melalui saluran diplomatik di peringkat kementerian luar serta platform ASEAN bagi membantu mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang terus memberi kesan kepada masyarakat Rohingya.
“Kedua-dua negara berkongsi komitmen yang kukuh dalam usaha menangani nasib pelarian Rohingya yang kini berlindung di Bangladesh dan Malaysia,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, di sini hari ini.
Sementara itu, Tarique menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan kemanusiaan yang dihadapi masyarakat Rohingya yang berlindung di Bangladesh, selain merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan berterusan dalam memastikan proses penghantaran pulang mereka ke Myanmar dapat dilaksanakan secara selamat, bermaruah dan mampan.
Beliau berkata, Bangladesh berharap kerjasama serantau dapat diperkukuhkan lagi bagi menangani isu Rohingya serta pelbagai cabaran bersama yang lain.
Terdahulu, Anwar dan Tarique mengadakan perbincangan dua hala bagi menilai perkembangan hubungan Malaysia-Bangladesh serta meneroka peluang memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor strategik termasuk perdagangan dan pelaburan, pengurusan sumber manusia, semikonduktor, tenaga, pertanian dan pendidikan.
Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Mereka kemudian menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Kebudayaan serta dua pertukaran nota (EoN) berkaitan penyelidikan antikeganasan dan usaha menggalakkan serta memudah cara pelaburan antara kedua-dua negara.
Tarique yang tiba di Malaysia malam tadi bagi lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Anwar, menjadikan kunjungan tersebut sebagai lawatan rasmi dua halanya yang pertama ke luar negara sejak memegang jawatan pada Februari 2026.
Pada tahun 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion (AS$2.84 bilion). Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Bangladesh bernilai RM10.08 bilion (AS$2.35 bilion), yang sebahagian besarnya terdiri daripada produk petroleum.
Import dari Bangladesh pula berjumlah RM2.10 bilion (AS$500 juta), melibatkan produk tekstil, pakaian dan kasut.
Bangladesh merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia di peringkat global serta rakan dagang kedua terbesar negara di rantau Asia Selatan selepas India, termasuk sebagai destinasi eksport dan sumber import utama Malaysia di rantau tersebut.
Sumber: Bernama
Sumber Gambar: Harian Metro
Comments
Leave a Reply