WASHINGTON: Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada Rabu menggariskan 14 perkara utama sebagai langkah awal ke arah menamatkan konflik antara kedua-dua negara selepas hampir empat bulan peperangan.
Pentadbiran Presiden Donald Trump menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai “berasaskan prestasi”, dengan sebarang manfaat kepada Iran hanya akan diberikan sekiranya Tehran memenuhi setiap komitmen yang telah dipersetujui.
1. Penamatan konflik di semua medan
Kedua-dua negara, termasuk sekutu masing-masing, bersetuju menghentikan semua operasi ketenteraan secara serta-merta dan berkekalan, termasuk di Lubnan.
Mereka turut berikrar untuk tidak melancarkan sebarang serangan atau ancaman baharu serta menghormati kedaulatan Lubnan.
2. Menghormati urusan dalaman negara
Washington dan Tehran bersetuju untuk menghormati kedaulatan serta integriti wilayah masing-masing, selain tidak campur tangan dalam urusan politik dan hal ehwal dalaman antara satu sama lain.
3. Perjanjian muktamad dalam tempoh 60 hari
Kedua-dua pihak menyasarkan untuk mencapai perjanjian damai muktamad dalam tempoh maksimum 60 hari, namun tempoh tersebut boleh dilanjutkan berdasarkan persetujuan bersama.
4. Penarikan sekatan laut
AS akan memulakan proses menarik balik sekatan laut dan halangan terhadap pelabuhan Iran, yang dijangka selesai dalam tempoh 30 hari selepas pelaksanaan MoU.
5. Pembukaan semula Selat Hormuz
Iran memberi jaminan bahawa laluan kapal komersial melalui Selat Hormuz akan dibuka semula tanpa sebarang caj selepas proses pembersihan periuk api dan halangan keselamatan selesai.
6. Dana pembangunan Iran
AS bersama rakan serantau akan merangka pelan pembangunan dan pembinaan semula Iran yang bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion.
Bagaimanapun, Washington menjelaskan bahawa dana tersebut tidak semestinya akan dibiayai secara langsung oleh kerajaan AS.
7. Penamatan sekatan ekonomi
AS bersetuju untuk menamatkan sekatan ekonomi terhadap Iran, termasuk sekatan yang berkaitan dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jadual pelaksanaannya akan ditentukan dalam rundingan susulan.
8. Komitmen tanpa senjata nuklear
Iran bersetuju untuk tidak memperoleh atau membangunkan senjata nuklear. Sebagai balasan, pelonggaran sekatan akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan tahap pematuhan negara itu terhadap komitmen yang ditetapkan.
9. Mengekalkan status semasa program nuklear
Program nuklear Iran akan dikekalkan pada tahap semasa sementara penyelesaian jangka panjang dirundingkan.
Dalam tempoh itu, AS turut berjanji tidak akan mengenakan sekatan baharu.
10. Pengecualian eksport minyak
Washington akan memberikan pengecualian tertentu bagi eksport minyak, produk petroleum dan urusan berkaitan bagi membantu proses pemulihan ekonomi Iran.
11. Pelepasan dana beku
AS akan membenarkan Iran mengakses semula dana yang sebelum ini dibekukan atau disekat, dengan pelepasan dilakukan secara berperingkat berdasarkan perkembangan pelaksanaan perjanjian.
12. Mekanisme pemantauan bersama
Kedua-dua negara akan menubuhkan mekanisme khas bagi memantau pelaksanaan MoU serta memastikan setiap komitmen dipatuhi.
13. Rundingan ke arah perjanjian damai menyeluruh
Selepas pelaksanaan MoU bermula, AS dan Iran akan meneruskan rundingan bagi mencapai perjanjian damai yang lebih menyeluruh, termasuk menentukan kaedah pelaksanaan bagi semua perkara yang dipersetujui.
14. Pengesahan oleh Majlis Keselamatan PBB
Perjanjian akhir yang dicapai kelak akan disahkan menerusi resolusi mengikat Majlis Keselamatan PBB bagi memastikan pelaksanaannya mempunyai jaminan dari segi undang-undang antarabangsa.
Sumber: Astro Awani
Sumber Gambar: Reuters
https://www.astroawani.com/berita-dunia/perjanjian-damai-ini-14-kandungan-mou-iran
Comments
Leave a Reply