KUALA LUMPUR: Nilai ringgit mencatatkan penyusutan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat tahun ini berikutan tekanan luaran, khususnya jangkaan kadar faedah AS yang dijangka kekal tinggi.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, sehingga 22 Jun lalu, ringgit menyusut sebanyak 2.1 peratus berbanding dolar AS, manakala kadar pertukaran efektif nominal turut merekodkan penurunan sebanyak 1.6 peratus.
Beliau berkata, tekanan terhadap mata wang tempatan itu turut dipengaruhi oleh perkembangan dasar Rizab Persekutuan AS serta ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat.
“Namun, kedudukan ringgit masih disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini serta kadar inflasi yang kekal sederhana pada 1.6 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) mengenai faktor yang menyumbang kepada prestasi ringgit dan tahap kemampanan asas ekonomi negara dalam menyokong nilai mata wang itu.
Liew menjelaskan, meskipun ringgit mencatatkan sedikit kelemahan berbanding dolar AS, penyusutan berbanding mata wang utama serantau seperti yuan China, dolar Singapura dan baht Thailand juga adalah terhad.
Menurutnya, secara keseluruhan, prestasi ringgit masih berada pada tahap yang lebih stabil berbanding beberapa mata wang asing lain.
Sumber: Bernama
Comments
Leave a Reply