ISTANBUL: Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda Nepal meningkat kepada 472 orang, manakala lebih 1,000 lagi dilaporkan hilang.
Menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik The Kathmandu Post, angka korban itu termasuk tiga kematian di Wilayah Autonomi Xizang (Tibet) yang disahkan pihak berkuasa China.
Lembaga Pelancongan Nepal memaklumkan seramai 667 orang, termasuk warga asing, dilaporkan hilang di Nepal setakat lewat Khamis, manakala pihak berkuasa Beijing berkata lebih 550 orang, termasuk 260 warga asing, masih belum dapat dikesan di Tibet.
Banjir dan tanah runtuh melanda kawasan utara dan tengah Nepal pada awal pagi Rabu, terutama di sepanjang sungai Bhotekoshi dan Trishuli, menyebabkan penduduk serta serpihan dihanyutkan ke kawasan hilir.
Bencana itu turut memusnahkan rumah, jambatan, jalan raya dan infrastruktur lain, selain memutuskan hubungan penduduk serta pengembara dengan beberapa kawasan terjejas.
Pasukan mencari dan menyelamat terus digerakkan dengan penglibatan Tentera Nepal, Polis Nepal dan Pasukan Polis Bersenjata bagi menjalankan operasi mencari, menyelamat serta memindahkan mangsa.
Helikopter digunakan bagi mencapai kawasan terpencil dan membawa keluar mangsa yang terselamat, manakala pasukan darat meneruskan pencarian di tebing sungai serta kawasan penempatan di hilir.
Lembaga Pelancongan Nepal turut giat mengesahkan keberadaan pelancong dan pengembara yang berada atau melalui kawasan Rasuwa, Nuwakot dan Dhading ketika bencana berlaku.
Sementara itu, polis Nepal memaklumkan 1,545 orang telah diselamatkan, dengan ramai mengalami kecederaan, manakala lebih 1,400 orang dilaporkan hilang.
Jurucakap polis Abi Narayan Kafle berkata pihak berkuasa masih belum memperoleh gambaran jelas mengenai jumlah sebenar mangsa yang hilang dan ia mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum skala penuh bencana dapat dikenal pasti.
Polis turut memaklumkan puluhan mayat masih belum dikenal pasti berikutan arus deras, lumpur dan serpihan menyebabkan sebahagian mangsa mengalami kecederaan parah.
Sumber Info: BERNAMA-ANADOLU/BERNAMA-dpa
Sumber Gambar: AFP
https://www.bernama.com/bm/dunia/news.php?id=2600114
Comments
Leave a Reply