PUTRAJAYA: Lebih 50 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa, Nepal, pada Rabu, menurut Kementerian Luar (KLN).
KLN berkata jumlah berkenaan berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber berkaitan.
Menurut kementerian itu, gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik di kawasan terjejas dipercayai menjadi antara faktor yang menyukarkan usaha menghubungi rakyat Malaysia terbabit.
“Pada peringkat ini, kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Banjir akibat limpahan Sungai Bhote Koshi menyebabkan kerosakan teruk terhadap infrastruktur, termasuk jalan raya, jambatan, lebuh raya dan rangkaian komunikasi.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan pihak berkuasa tempatan, namun akses ke kawasan terjejas masih terhad.
Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital utama di Kathmandu bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia terbabit.
KLN turut menempatkan seorang pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh, bagi membantu Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dalam usaha berkenaan.
Sementara itu, Bilik Operasi KLN di Putrajaya diaktifkan mulai 12 tengah hari Khamis bagi menyelaras maklumat serta menyediakan saluran komunikasi langsung kepada rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga mereka.
Orang ramai atau ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Operasi KLN di talian 03-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my. Butiran rakyat Malaysia terbabit juga boleh dihantar kepada mwkathmandu@kln.gov.my, dengan salinan kepada dutyofficer@kln.gov.my.
Rakyat Malaysia yang berada di Nepal, khususnya di kawasan terjejas, dinasihatkan supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Mereka turut digesa mendaftar serta mengemas kini maklumat perjalanan melalui portal e-Konsular.
Sumber Info: Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/banjir-nepal-55-rakyat-malaysia-masih-belum-dapat-dihubungi-wisma-putra
Comments
Leave a Reply