WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau tidak teragak-agak untuk melancarkan semula tindakan ketenteraan terhadap Iran sekiranya negara itu gagal mematuhi sebarang perjanjian nuklear yang dicapai dengan Washington, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam wawancara bersama The New York Times pada Ahad, Trump berkata rundingan nuklear antara AS dan Iran dijangka diteruskan di Switzerland, dan kegagalan mencapai persetujuan boleh mencetuskan tindakan ketenteraan baharu oleh Washington.
Beliau turut mendakwa sebarang perjanjian yang dimeterai akan memastikan Selat Hormuz kekal terbuka kepada perdagangan antarabangsa tanpa sebarang sekatan.
Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengumumkan bahawa AS dan Iran telah mencapai perjanjian damai susulan rundingan intensif antara kedua-dua pihak.
Menurut Sharif, perjanjian tersebut merangkumi penamatan segera dan kekal operasi ketenteraan di semua lokasi yang terlibat, termasuk di Lubnan.
Trump kemudian mengesahkan perkembangan itu dan menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai telah dimuktamadkan.
Dalam wawancara yang sama, Trump berkata perjanjian tersebut dicapai walaupun berdepan bantahan daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Beliau menyifatkan Netanyahu sebagai seorang pemimpin yang sukar, namun menegaskan Israel seharusnya menghargai usaha diplomatik yang dilakukan oleh AS.
Trump turut mendakwa bahawa perjanjian berkenaan penting bagi menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear, yang menurutnya boleh mengancam keselamatan Israel.
Sumber: Bernama - Anadolu
Sumber Gambar: Bloomberg
Comments
Leave a Reply