SEREMBAN: Negeri Sembilan kini berdepan antara krisis politik dan institusi adat paling serius dalam sejarah moden negeri itu susulan pertikaian membabitkan Undang Yang Empat, kerajaan negeri dan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Kemelut tersebut bermula pada 17 April lalu apabila Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) di Istana Besar Seri Menanti menerima pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong selepas didakwa melanggar adat dan hukum syarak.
Dua hari kemudian, situasi bertambah tegang apabila Undang Yang Empat mengisytiharkan pelucutan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 dan memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Bagaimanapun, pengisytiharan itu ditolak kerajaan negeri apabila Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkannya tidak sah kerana ia dibacakan oleh Mubarak yang didakwa telah dilucutkan jawatan sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
Krisis tersebut kemudiannya berkembang menjadi kemelut politik apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dilaporkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH), sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kestabilan pentadbiran negeri.
Perikatan Nasional (PN) turut menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN bagi membentuk jajaran politik baharu di Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan terbaharu, Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan injunksi interim bagi menghalang Sidang Khas DKU diadakan sehingga kes berkaitan pentadbiran badan itu diputuskan mahkamah.
Pada masa sama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dilaporkan dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), yang dijangka menjadi medan penting menentukan hala tuju politik negeri itu.
Penganalisis politik melihat krisis tersebut bukan sahaja melibatkan perebutan kuasa politik, malah menyentuh sensitiviti institusi adat dan perlembagaan Negeri Sembilan yang unik berteraskan Adat Perpatih dan peranan Undang Yang Empat dalam sistem pemerintahan negeri.
Comments
Leave a Reply