MOSCOW: Bekas Datuk Bandar Manchester, Andy Burnham, yang dijangka mengambil alih jawatan Perdana Menteri United Kingdom (UK), berikrar akan mempertimbangkan sekatan tambahan terhadap Israel susulan peluasan penempatan haram di wilayah Palestin serta dakwaan pelanggaran gencatan senjata di Gaza, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Burnham pada Khamis mengumumkan pencalonannya sebagai ketua Parti Buruh, dan memaklumkan bahawa beliau setakat ini merupakan satu-satunya calon bagi jawatan itu.
Sekiranya tiada pencabar lain, beliau dijangka menggantikan Keir Starmer sebagai pemimpin parti dan seterusnya menjadi perdana menteri seawal 20 Julai.
Dalam kenyataan menerusi video yang dimuat naik di platform X, Burnham mendakwa Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata serta menyebabkan kematian orang awam Palestin.
Beliau turut mendakwa keganasan oleh pendatang haram Israel di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur semakin meningkat, di samping peluasan penempatan haram yang mengakibatkan komuniti Palestin kehilangan tempat tinggal.
"Atas sebab itu, kita perlu mengambil tindakan yang lebih tegas, termasuk mempertimbangkan sekatan tambahan," katanya.
Burnham turut mendakwa tentera Israel terus memperluaskan kehadiran ketenteraan di Semenanjung Gaza, sambil menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menjejaskan usaha ke arah penyelesaian dua negara.
Beliau juga menggesa supaya individu yang bertanggungjawab terhadap jenayah perang sepanjang konflik di Gaza dibawa ke muka pengadilan.
"Saya akan melakukan segala yang termampu untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa bagi menghentikan penderitaan, memastikan kerajaan Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan mengekalkan harapan terhadap penyelesaian dua negara," katanya.
Sebelum ini, UK telah mengenakan sekatan terhadap Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, dan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, selain beberapa pendatang haram Israel yang radikal serta pertubuhan yang dikaitkan dengan mereka.
Sumber Berita: Bernama-Sputnik/Ria Novosti
https://www.bernama.com/en/world/news.php?id=2579226
Comments
Leave a Reply