MELAKA - Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan dibubarkan berkuat kuasa esok, 23 September, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan perkara itu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Beliau berkata, sebelum ini beliau telah menghadap Tun Mohd Ali bagi memaklumkan kedudukan semasa DUN Melaka serta memohon perkenan untuk pembubaran berkenaan.
“Sukacita saya maklumkan Tun Mohd Ali perkenan bagi DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok, 23 September 2026,” katanya pada sidang media di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, pembubaran itu dibuat berdasarkan Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.
Susulan pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menjalankan proses berkaitan PRN, termasuk menetapkan tarikh writ pilihan raya, penamaan calon dan hari pengundian mengikut peruntukan undang-undang.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi, manakala mandat kerajaan negeri semasa dijadual berakhir pada 31 Disember ini.
Sumber Info: Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-politik/terkini-dun-melaka-bubar-berkuat-kuasa-esok-ketua-menteri
Comments
Leave a Reply