NEW YORK - Ekonomi global berdepan beberapa risiko termasuk inflasi yang berlarutan, peningkatan kos khidmat hutang serta potensi ketidakseimbangan dalam pembiayaan pelaburan kecerdasan buatan (AI), kata Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva.
Bagaimanapun, beliau berkata ekonomi dunia menunjukkan daya tahan yang lebih kukuh daripada jangkaan, dengan pertumbuhan global dijangka kekal sekitar tiga peratus.
Bercakap dalam dialog pada edisi khas Forum Ekonomi Qatar di New York City pada Ahad, Georgieva berkata tekanan inflasi masih belum menunjukkan penyelesaian segera dan keadaan itu boleh mendorong sesetengah bank pusat mengekalkan atau mengetatkan dasar monetari.
Menurutnya, usaha mencapai kestabilan harga turut meningkatkan kos pembiayaan serta menambah cabaran dalam pembayaran hutang.
Beliau berkata walaupun terdapat kesedaran mengenai keperluan melaksanakan penyatuan fiskal, tindakan yang diambil setakat ini masih belum mencukupi.
Dalam pada itu, Georgieva turut memberi perhatian kepada risiko berkaitan pembiayaan dan kitaran pelaburan AI, khususnya sekiranya jangkaan terhadap teknologi berkenaan tidak dapat direalisasikan.
Katanya, kekecewaan terhadap prestasi AI yang tidak memenuhi jangkaan tinggi berpotensi mencetuskan kejutan kepada sistem kewangan.
Risiko berkaitan pembiayaan AI itu, katanya, tertumpu terutama di Amerika Syarikat (AS), manakala negara-negara lain di Asia dan Eropah turut mempunyai peranan penting dalam rantaian bekalan industri AI.
Georgieva berkata unjuran ekonomi global baharu IMF yang dijadualkan diterbitkan pada Oktober akan mengambil kira tahap risiko dan ketidaktentuan yang masih tinggi.
"Pertumbuhan yang berlegar sekitar tiga peratus merupakan satu pencapaian besar, mengambil kira semua kejutan yang telah kita hadapi," katanya.
Beliau berkata tindakan pantas dan luar biasa yang diambil apabila diperlukan turut membantu ekonomi global menangani kejutan bekalan tenaga.
Pada masa sama, Georgieva mengakui dunia kini lebih berpecah dari segi ekonomi, namun hubungan saling bergantung dan kerjasama antara negara masih wujud.
"Kita perlu berhati-hati dan berwaspada. Risikonya tinggi dan ketidaktentuan ialah normal baharu," katanya.
Sumber Info : BERNAMA-XINHUA
https://www.bernama.com/bm/dunia/news.php?id=2609787
Sumber Gambar: BNR (EPA - BGNES)
Comments
Leave a Reply