Economy

Gangguan Penerbangan Global: CAAM Nasihat Penumpang Bersedia

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia turut dikenali sebagai Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) menasihati orang ramai agar sentiasa menyemak status perjalanan sepanjang musim cuti persekolahan susulan situasi global semasa yang berpotensi menjejaskan operasi syarikat penerbangan dan jadual penerbangan di beberapa rantau.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, CAAM memaklumkan penumpang disaran untuk terus peka terhadap perkembangan terkini serta mengikuti sebarang maklumat yang diumumkan oleh syarikat penerbangan masing-masing sebelum memulakan perjalanan.

Menurut CAAM, penumpang digalakkan menyemak status penerbangan secara berkala dan hadir lebih awal ke lapangan terbang bagi menghadapi kemungkinan perubahan operasi serta kesesakan.

Selain itu, orang ramai turut dinasihatkan memastikan maklumat perhubungan yang diberikan semasa membuat tempahan sentiasa dikemas kini dan boleh dihubungi, di samping menyimpan semua dokumen perjalanan dan tempahan sebagai rujukan.

CAAM turut mengingatkan pengguna mengenai hak mereka di bawah Malaysian Aviation Consumer Protection Code(MACPC) sekiranya berlaku kelewatan penerbangan, pembatalan, larangan menaiki pesawat, perubahan jadual atau masalah berkaitan bagasi.

Bagi penerbangan yang mengalami kelewatan lima jam atau lebih, pengguna boleh memilih sama ada untuk meneruskan perjalanan dengan bantuan sewajarnya daripada syarikat penerbangan termasuk penginapan dan pengangkutan jika diperlukan, atau mendapatkan bayaran balik penuh.

Untuk kes pembatalan penerbangan, larangan menaiki pesawat, perubahan jadual melebihi tiga jam atau penamatan laluan penerbangan, pengguna mungkin layak memilih sama ada penerbangan diatur semula atau menerima bayaran balik penuh, tertakluk kepada peruntukan di bawah MACPC.

CAAM turut menjelaskan bahawa bagi pembatalan secara sukarela, pengguna berhak menuntut bayaran balik bagi caj perkhidmatan penumpang (PSC), cukai, fi, surcaj bahan api dan caj kawal selia, tertakluk kepada terma serta syarat tiket.

Menurut kenyataan itu lagi, pengguna disaran terlebih dahulu mendapatkan penyelesaian terus daripada syarikat penerbangan atau pengendali lapangan terbang berkaitan. Jika isu masih gagal diselesaikan, aduan boleh dibuat menerusi platform FlySmart CAAM untuk tindakan lanjut.

CAAM berkata syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang perlu menangani serta menyelesaikan aduan pengguna dalam tempoh 30 hari seperti yang ditetapkan di bawah keperluan perlindungan pengguna berkaitan.

Dalam pada itu, pengguna yang berdepan isu bagasi lewat tiba, rosak atau hilang diminta segera melaporkan perkara tersebut kepada syarikat penerbangan dengan mengisi Laporan Ketidakaturan Harta (PIR) di lapangan terbang serta menyimpan semua dokumen sokongan bagi tujuan tuntutan dan pengesahan.

Orang ramai juga digalak mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini hanya melalui saluran rasmi syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang serta pihak berkuasa berkaitan, selain memahami hak pengguna dan prosedur aduan melalui platform FlySmart CAAM di FlySmart CAAM.

 

Sumber: 

https://bernama.com/bm/am/news.php?id=2559372

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/gangguan-penerbangan-global-caam-nasihat-penumpang-sentiasa-semak-status-penerbangan

 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply