KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi serta diesel di Semenanjung Malaysia mencatatkan penurunan bagi tempoh 4 hingga 10 Jun ini.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan harga RON97 diturunkan sebanyak 30 sen seliter daripada RM4.65 kepada RM4.35.
Harga RON95 tanpa subsidi pula turun 20 sen, daripada RM3.92 kepada RM3.72 seliter.
Sementara itu, harga diesel di Semenanjung Malaysia turut mencatatkan penurunan sebanyak 20 sen, menjadikan harga baharu RM4.67 seliter berbanding RM4.87 sebelum ini.
Menurut MOF, pelarasan harga runcit tersebut dibuat selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), susulan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu lalu.
Dalam masa sama, kerajaan MADANI mengekalkan harga bahan api bersubsidi secara bersasar untuk rakyat dan sektor tertentu, termasuk RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.
MOF menjelaskan bahawa pada harga semasa RON95 tanpa subsidi iaitu RM3.72 seliter, penggunaan 200 liter sebulan akan menelan kos sebanyak RM744.
“Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung sehingga RM346 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95. Dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya perlu membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOF lagi, harga diesel tanpa subsidi RM4.67 seliter adalah lebih dua kali ganda berbanding diesel bersubsidi RM2.15 seliter bagi mengurangkan impak kos kepada rakyat, khususnya melibatkan pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.
Bagaimanapun, MOF menegaskan penurunan harga minggu ini tidak semestinya mencerminkan kestabilan pasaran petroleum global kerana risiko kenaikan harga minyak mentah masih kekal tinggi dalam jangka sederhana susulan konflik dan perkembangan semasa di Asia Barat.
Menurut kenyataan itu, negara-negara pengimport utama di Asia kini meningkatkan pembelian minyak mentah daripada sumber alternatif bagi menampung gangguan bekalan dari Asia Barat.
Walaupun import minyak mentah dari Amerika Syarikat ke Asia meningkat ke paras tertinggi, peningkatan itu masih belum mampu menggantikan kehilangan bekalan melalui laluan perdagangan utama yang terjejas.
“Keadaan ini menunjukkan pasaran petroleum global masih berdepan kekangan bekalan fizikal meskipun purata harga pasaran minggu terdahulu mencatatkan penyusutan.
“Sekiranya konflik berlarutan, risiko penyusutan inventori global dan kekurangan bekalan boleh memberi tekanan baharu terhadap harga minyak mentah serta produk petroleum pada masa hadapan,” menurut MOF.
Sehubungan itu, kerajaan MADANI menyeru rakyat supaya terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat demi membantu memastikan keterjaminan bekalan negara.
Sumber: Bernama
Sumber gambar: Rnggt
Comments
Leave a Reply