World

Inventori Minyak Global Susut Ketara, Pemulihan Dijangka Ambil Masa Dua Tahun - Ketua Aramco

MOSCOW - Inventori minyak dunia kini berada pada paras yang amat rendah dan mungkin memerlukan tempoh sehingga dua tahun untuk kembali pulih, menurut Financial Times yang memetik Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Amin Nasser.

Nasser berkata keadaan pasaran minyak global kini semakin tertekan berikutan pilihan alternatif yang terhad untuk memenuhi keperluan bekalan dunia.

“Dengan begitu sedikit pilihan lain yang boleh digunakan dunia, penampan daya tahan bekalan kini berada pada tahap yang sangat tipis,” katanya ketika berucap pada satu forum tenaga di London.

Menurut beliau, bekalan minyak dari Asia Barat susut hampir tiga bilion tong dalam tempoh tujuh bulan berikutan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Bagi mengatasi kekurangan tersebut, lebih satu bilion tong minyak telah dikeluarkan daripada rizab, termasuk lebih 300 juta tong daripada rizab strategik yang disimpan kerajaan di seluruh dunia.

Nasser berkata sebahagian besar bekalan tambahan itu pula diperoleh daripada stok simpanan syarikat, yang disifatkannya sebagai antara langkah utama terakhir yang masih tersedia bagi menampung kekurangan bekalan.

Beliau menganggarkan inventori minyak komersial dunia kini berbaki kurang daripada enam bilion tong, dengan sebahagian besar daripadanya sukar untuk diakses.

Menurut Nasser, meskipun konflik berakhir, proses mengisi semula stok minyak pada masa sama memenuhi permintaan global dijangka mengambil masa sehingga dua tahun.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan di seluruh dunia supaya memberi perhatian lebih besar terhadap aspek keselamatan serta daya tahan tenaga bagi menghadapi risiko gangguan bekalan pada masa hadapan.


Sumber Info: Bernama - Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-dunia/ketua-pegawai-eksekutif-saudi-aramco-peringatkan-inventori-minyak-global-sangat-tipis 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
2
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply