Geopolitic

Kes GISB: Representasi bekas CEO GISB, tiga akauntan ditolak, kes dibawa ke bicara

SHAH ALAM - Representasi yang dikemukakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd dan tiga bekas akauntan syarikat itu bagi menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi mereka telah ditolak.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang hadir bersama Muhamad Ehsan Nasarudin memaklumkan perkara itu pada prosiding pengurusan kes di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Beliau berkata susulan keputusan itu, pihak pendakwaan memohon agar kes berkenaan diteruskan ke perbicaraan, dengan seramai 15 hingga 20 saksi dijangka dipanggil.

“Kami ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa representasi telah ditolak dan pihak pendakwaan akan meneruskan perbicaraan kes.

“Kami akan memanggil antara 15 hingga 20 saksi pendakwaan dan untuk perbicaraan, kami percaya memerlukan tempoh enam hingga lapan hari,” katanya di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.

Keempat-empat tertuduh ialah Nasiruddin Mohd Ali, 67, yang menghadapi 77 pertuduhan membabitkan lebih RM10 juta; Hamimah Yakub, 74, dengan 95 pertuduhan melibatkan RM11.4 juta; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, yang berdepan 68 pertuduhan membabitkan RM4.7 juta; dan Mohd Khushairi Osman, 55, dengan 91 pertuduhan melibatkan hampir RM12 juta.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili kesemua tertuduh, Datuk Rosli Kamaruddin berkata pihaknya bercadang mengemukakan representasi baharu selepas aset yang disita dikembalikan secara rasmi kepada anak guamnya.

Beliau berkata representasi baharu itu antara lain akan membangkitkan cadangan penyelesaian secara kompaun, yang tidak disentuh dalam representasi terdahulu.

“Untuk makluman, representasi terdahulu tidak ada isu mengenai kompaun. Jadi mungkin ada satu representasi untuk mempertimbangkan penyelesaian secara kompaun,” katanya yang hadir bersama peguam Muhammad Zaim Rosli.

Rosli turut memohon agar pengurusan kes bagi mendapatkan status representasi baharu itu ditetapkan pada Januari 2027.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Fatimah menetapkan perbicaraan berlangsung pada 26 hingga 28 April, 28 hingga 30 Jun serta 6 hingga 8 Julai 2027.

Status representasi kedua kesemua tertuduh pula ditetapkan pada 26 Jan tahun depan.

Dalam prosiding sama, Rosli memohon kebenaran mahkamah untuk mendapatkan semula pasport Nasiruddin bagi membolehkannya ke Makkah menemui isteri keempatnya, Ummu Mubaroqah Ashaari, 32, yang dijadual menjalani pembedahan kelahiran secara caesarean bulan ini.

Beliau berkata pihak Hospital Muhammad Saleh Basharahil di Makkah menasihatkan Nasiruddin hadir bagi memberikan keizinan untuk pembedahan isterinya yang kini sudah cukup bulan, namun tarikh tepat pembedahan belum ditetapkan.

Mohd Ashrof Adrin berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu tertakluk kepada syarat yang dinyatakan dalam notis permohonan, termasuk pasport berkenaan dipulangkan kepada mahkamah pada atau sebelum 10 Nov 2026.

Fatimah kemudian membenarkan permohonan itu mengikut syarat yang ditetapkan.

Pada 10 Sept 2025, Nasiruddin bersama tiga bekas akauntan syarikat berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi mereka.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa cawangan bank di Selangor antara 2020 hingga 2024, melibatkan transaksi kepada beberapa pihak termasuk akaun bank milik GISBH Sdn Bhd, GISB Mart Sdn Bhd, GISB Travel and Tours Sdn Bhd serta sebuah syarikat pusat jagaan kanak-kanak.

Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan, atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sumber Info: Bernama 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply