KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan telah menjalankan operasi pemeriksaan terhadap sebuah komuniti antarabangsa di Forest City, Johor pada Selasa susulan isu yang dikaitkan dengan Network School.
Dalam kenyataan pada Rabu, JIM memaklumkan operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut JIM, semakan awal mendapati semua individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.
Bagaimanapun, pihaknya berkata siasatan lanjut masih diteruskan bagi memastikan semua pihak mematuhi syarat kemasukan ke Malaysia serta peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan undang-undang berkaitan.
JIM menjelaskan, setiap kemasukan warga asing ke negara ini tertakluk kepada undang-undang imigresen yang berkuat kuasa, dengan pemeriksaan di pintu masuk dibuat berdasarkan dokumen perjalanan, semakan pangkalan data berkaitan serta rekod penguatkuasaan sedia ada.
Menurut jabatan itu, skop siasatan akan diperluaskan sekiranya terdapat keraguan atau maklumat baharu berhubung penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan, kemudahan imigresen atau pelanggaran syarat pas yang dikeluarkan.
"JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen atau penyalahgunaan kemudahan imigresen. Mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.
JIM turut memaklumkan akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh, profesional dan berlandaskan undang-undang demi memelihara keselamatan, kedaulatan serta kepentingan negara.
Isu itu tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City. Antara dakwaan yang tular ialah projek berkenaan menarik penyertaan usahawan asing, termasuk individu yang didakwa warga Israel memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua. Setakat ini, JIM belum mengesahkan dakwaan tersebut dan siasatan masih diteruskan.
Sumber Berita: Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/imigresen-periksa-266-warga-asing-di-network-school-forest-city-siasatan-diteruskan
Comments
Leave a Reply