KUALA LUMPUR, 26 Julai — Dataran Merdeka bertukar menjadi pentas raksasa yang gilang-gemilang malam semalam menerusi penganjuran acara kemuncak Citra Perarakan (Colours of Parade) sempena festival kebudayaan ikonik negara, Citrawarna 2026. Festival kebudayaan tiga hari yang mula membuka tirainya sejak 24 Julai lalu bakal melabuhkan tirainya secara rasmi pada hari ini.
Berlangsung sempena kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan tema “Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa”, perarakan mega tersebut menampilkan persembahan spektakuler gabungan muzik, tarian dan seni budaya yang menjadi acara kemuncak serta nadi utama keseluruhan festival.
Malam kemuncak itu menghimpunkan seramai 3,500 penari dan penggiat seni daripada 14 kontinjen zon yang mewakili segenap pelosok tanah air. Persembahan berskala besar ini turut menjalin kolaborasi strategik bersama sekolah-sekolah dari seluruh negara, selaras dengan matlamat utama penganjuran untuk membina serta melahirkan generasi baharu penari tradisional di samping menyemarakkan rasa cinta akan budaya dan warisan dalam kalangan generasi muda.
Para penari memukau puluhan ribu pengunjung menerusi peragaan busana tradisional yang sarat dengan perincian halus, corak kraf warisan serta limpahan warna-warni memikat yang melambangkan keindahan kepelbagaian etnik di Malaysia.
Sajian persembahan di pentas Citrawarna memperlihatkan pelbagai tarian warisan mengikut negeri dan wilayah yang cukup mempesonakan:
Kemuncak acara perarakan berkenaan ditutup secara gilang-gemilang menerusi persembahan finale Joget Lambak, yang menyaksikan penyertaan mesra dan penuh semangat daripada seluruh penari serta para pengunjung yang hadir menari bersama-sama.
Persembahan kebudayaan yang memperlihatkan keindahan busana tradisional bersulam seni bernilai tinggi ini bukan sahaja menghidupkan semula warisan silam, malah menjadi simbolik perpaduan jitu yang menyatukan pelbagai kaum di Malaysia.
Walaupun acara berakhir pada hari ini, para pengunjung masih berpeluang menikmati aktiviti interaktif di tiga lagi komponen utama iaitu Citra Rasa (warisan kulinari tempatan), Citra Budaya (aktiviti kemasyarakatan dan seni tradisional), serta Citra Seni (pameran kraf dan seni tangan).
Dianjurkan oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama Yes Travel & Holidays Sdn. Bhd., serta sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Warisan Kuala Lumpur, Citrawarna kekal sebagai salah satu platform penting dalam memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi budaya bertaraf dunia.
Comments
Leave a Reply