KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai kepercayaan yang diberikan Kerajaan Bahrain kepada Malaysia untuk membantu menjayakan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini.
Anwar berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, mengenai persiapan penganjuran perlumbaan itu.
Beliau berkata Malaysia berbesar hati menyokong Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam menjayakan acara berkenaan di Sepang.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata kerjasama itu bukan sekadar membabitkan penganjuran acara sukan bertaraf dunia, malah mencerminkan persahabatan yang kukuh, kepercayaan bersama serta hubungan erat antara Malaysia dan Bahrain.
Menurut beliau, penganjuran itu turut membuktikan keupayaan Malaysia menjadi tuan rumah kepada acara antarabangsa berskala besar, selain memberi peluang mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecekapan operasi dan layanan mesra negara.
Beliau berkata Malaysia bersedia mengalu-alukan kepulangan Formula 1, FIA, pasukan perlumbaan dan peminat dari seluruh dunia ke Sepang, sambil berharap acara itu dapat terus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Bahrain.
Sumber Berita: Bernama
https://bernama.com/bm/sukan/news.php?id=2586209
Comments
Leave a Reply