Economy

Mahkamah Diberitahu RM8 Juta Dipindah Dari FashionValet Ke 30 Maple Dalam Dua Transaksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa sejumlah RM8 juta dipindahkan daripada akaun FashionValet Sdn Bhd ke akaun 30 Maple Sdn Bhd menerusi dua transaksi dalam talian pada 21 Ogos 2018.

Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB Bank Cawangan Taman Tun Dr Ismail, Azizan Hassan, berkata semakan terhadap penyata akaun 30 Maple menunjukkan transaksi pertama berjumlah RM5 juta dan transaksi kedua RM3 juta, kedua-duanya daripada akaun FashionValet.

Menurutnya, baki akaun 30 Maple sebelum transaksi RM5 juta ialah RM2,678,853.48, manakala sebelum transaksi kedua sebanyak RM3 juta, baki akaun adalah RM7,678,853.48.

Azizan, 45, berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan pertama pada hari pertama perbicaraan kes pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, yang didakwa melakukan pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.

Beliau turut memaklumkan bahawa penyata akaun 30 Maple bagi September 2018 menunjukkan pengeluaran sebanyak RM10,213,537.28 pada 3 September 2018.

Pada hari yang sama, katanya, akaun itu menerima kemasukan RM5 juta sebelum satu lagi pengeluaran RM5 juta dibuat pada 4 September 2018 dengan deskripsi "Interim Dividend FADZARUDIN SHAH".

Azizan juga mengesahkan Vivy dan Fadzarudin merupakan penandatangan serta pengarah syarikat 30 Maple.

Terdahulu, peguam Datuk M. Athimulan yang mewakili pasangan itu memohon supaya prosiding soal balas terhadap saksi ditangguhkan ke Jumaat ini kerana masih bercuti sakit sehingga Rabu. Hakim Rosli Ahmad membenarkan permohonan itu.

Vivy, atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, didakwa dengan niat bersama, sebagai pengarah FashionValet Sdn Bhd, melakukan pecah amanah apabila membuat pembayaran RM8 juta daripada akaun syarikat kepada 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FashionValet.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Cawangan Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pasangan itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta.

Sumber Berita: Bernama 
Sumber Gambar: Utusan Sarawak

https://www.bernama.com/bm/jenayah_mahkamah/news.php?id=2583319 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply