KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa tindakan seorang bekas pengurus Petronas yang didakwa cuba membocorkan maklumat sulit syarikat kepada Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berpotensi menjejaskan rundingan antara kedua-dua syarikat minyak itu.
Pengurus Besar Petronas, Syakirah Mustapa, berkata sekiranya laporan prestasi operasi dan kewangan syarikat dibocorkan kepada pesaing, mereka boleh mengetahui kedudukan semasa perniagaan huluan Petronas bagi suku pertama serta unjuran prestasi keseluruhan tahun 2024.
Menurutnya, laporan itu mengandungi maklumat penting seperti prestasi kewangan dan operasi, jumlah pengeluaran, isu kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, penemuan minyak dan gas, pelaburan projek serta urusan penjualan aset syarikat.
Katanya, kebocoran maklumat berkenaan boleh memberi kelebihan kepada pihak lain dan menjejaskan kedudukan Petronas dalam proses rundingan dengan Petros.
Syakirah yang merupakan saksi pendakwaan kedua berkata, Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni tidak pernah diberi kebenaran untuk menggunakan atau berkongsi dokumen tersebut dengan mana-mana pihak luar.
Beliau turut mengesahkan dokumen yang didakwa dihantar oleh tertuduh melalui e-mel adalah sama dengan laporan asal bertajuk Q1 2024 Upstream Business Performance – Operational and Financial, yang dibentangkan kepada kepimpinan Petronas pada 10 Mei 2024.
Semasa disoal balas pihak pembelaan, Syakirah mengakui terkejut dengan dakwaan terhadap Mohd Khairul Akmal kerana tertuduh menjalankan tugasnya dengan baik sepanjang memegang jawatan sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas.
Mohd Khairul Akmal, 41, didakwa cuba mendedahkan dokumen sulit Petronas kepada Petros di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur pada 8 Jun 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung pada 7 Julai.
Sumber: Bernama
https://www.bernama.com/bm/jenayah_mahkamah/news.php?id=2573083
Comments
Leave a Reply