KUALA LUMPUR: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) supaya mempercepat proses penempatan semula pelarian Rohingya ke negara ketiga.
Menurut MAHAR, Malaysia hanyalah sebuah negara transit dan bukan destinasi penempatan semula kekal bagi pelarian. Sebagai negara yang tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, Malaysia tidak mempunyai tanggungjawab untuk menempatkan pelarian secara kekal.
MAHAR berkata terdapat pelarian Rohingya yang telah menunggu sehingga 15 tahun di Malaysia untuk ditempatkan semula, sekali gus menunjukkan proses sedia ada terlalu perlahan.
Pertubuhan itu turut mengakui penderitaan yang dialami etnik Rohingya akibat konflik di Myanmar. Namun, kehadiran lebih 200,000 pelarian dalam tempoh yang panjang memberi tekanan kepada ekonomi, perkhidmatan awam, keselamatan dan struktur sosial negara.
Menurut MAHAR, ramai pelarian tidak mempunyai saluran pekerjaan yang sah dan terpaksa mencari sumber pendapatan di luar batas undang-undang untuk meneruskan kehidupan. Justeru, komuniti antarabangsa dan UNHCR perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam berkongsi tanggungjawab ini.
MAHAR turut menegaskan bahawa pemegang kad UNHCR tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia dan perlu menghormati budaya serta nilai masyarakat tempatan.
Pada masa sama, pertubuhan itu menggesa agar keperluan asas pelarian seperti tempat perlindungan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan yang dikawal selia diurus dengan lebih tersusun sepanjang tempoh transit mereka.
MAHAR juga menyeru pertubuhan Rohingya untuk mendidik pelarian mengenai tanggungjawab mereka ketika berada di Malaysia serta meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap junta tentera Myanmar bagi menghentikan penindasan terhadap etnik Rohingya.
Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata penyelesaian jangka panjang memerlukan komitmen yang lebih besar daripada UNHCR, komuniti antarabangsa dan Myanmar, dan tidak seharusnya dipikul oleh Malaysia semata-mata.
Sumber: Bernama
Comments
Leave a Reply