Geopolitic

Malaysia Gantung Sementara Pendaftaran Pelarian UNHCR Bagi Penyusunan Semula Sistem

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan sementara semua pendaftaran pelarian bagi membolehkan penyusunan semula sistem pengurusan menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata keputusan yang dibuat Kabinet itu bertujuan memastikan pengurusan dan pendaftaran pelarian di negara ini dilaksanakan secara lebih teratur di bawah kawal selia kerajaan.

Beliau berkata pelaksanaan DPP akan membolehkan kerajaan menyelaras data pelarian secara lebih sistematik, termasuk bagi tujuan pengesahan identiti, pemantauan dan kawal selia tanpa bergantung kepada rekod mana-mana entiti asing.

Menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail di Dewan Negara hari ini, Lukanisman berkata pendaftaran di bawah DPP akan dilaksanakan melalui proses yang ketat dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan bagi memastikan hanya individu yang layak didaftarkan.

Menurut beliau, mekanisme itu juga bertujuan memperkukuh kawalan terhadap kemasukan pendatang tanpa izin pada masa hadapan.

Hussin meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan menangani isu pelarian Rohingya yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri atau kerakyatan yang diiktiraf oleh Myanmar.

Lukanisman berkata Malaysia akan terus mempergiat pendekatan multilateral dengan Myanmar dan negara anggota ASEAN bagi mencari penyelesaian lebih menyeluruh terhadap isu pelarian Rohingya.

Beliau berkata langkah itu penting bagi mengelakkan Malaysia terus menanggung beban pengurusan pelarian memandangkan negara ini bukan penandatangan Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951, selain mengambil kira kesannya terhadap masyarakat tempatan.

Sementara itu, beliau memaklumkan kira-kira 5,000 warga Myanmar yang kini ditempatkan di depot tahanan imigresen akan dihantar pulang selepas kerajaan negara itu bersetuju menerima mereka semula.

Katanya, proses penghantaran pulang berkenaan akan menggunakan kapal tentera laut, tertakluk kepada penyelesaian semua prosedur berkaitan.

Sumber Berita: Bernama 
Sumber Gambar: Bernama

https://www.bernama.com/en/general/news.php?id=2584727 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply