Economy

Khairul Aming Fail LOD Terhadap Maxis, Dakwa Maklumat Peribadi Diakses Tanpa Kebenaran

KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming, memaklumkan bahawa peguamnya telah mengemukakan surat tuntutan (Letter of Demand, LOD) terhadap syarikat telekomunikasi Maxis susulan dakwaan berlaku kebocoran maklumat peribadinya.

Menerusi hantaran di media sosial pada Rabu, beliau berkata pasukan peguamnya akan mengendalikan kes berkenaan sehingga selesai.

"Sejujurnya saya rasa sedih dan seram sebab semudah itu sahaja privasi hidup boleh hilang. Maklumat telefon, sejarah pembayaran, langganan perkhidmatan sehingga nombor kad pengenalan, malah akses kepada MySara, semuanya telah dibocorkan," katanya.

Khairul Aming turut memaklumkan bahawa selain menghantar LOD kepada Maxis, laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung insiden tersebut.

Beliau berkata laporan polis juga telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap individu yang dipercayai bertanggungjawab.

Dalam pada itu, beliau turut mengemukakan laporan kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) berhubung dakwaan kebocoran maklumat tersebut.

Pada Selasa, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata MCMC akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi yang membabitkan Khairul Aming.

Sementara itu, Maxis dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti individu yang dikaitkan dengan insiden akses tanpa kebenaran melibatkan akaun Khairul Aming.

Menurut syarikat telekomunikasi itu, siasatan dalaman sedang dijalankan dan insiden berkenaan disifatkan sebagai kes terpencil yang melibatkan tindakan tanpa kebenaran.

 

Sumber Berita:  Astro Awani

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kebocoran-maklumat-peribadi-peguam-hantar-lod-kepada-maxis-khairul-aming 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply