WASHINGTON: OpenAI dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menawarkan pegangan sebanyak lima peratus dalam syarikat itu kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, dalam usaha memperkukuh hubungan strategik ketika kawal selia terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin diperketat.
Menurut Amanz yang memetik laporan media antarabangsa, pegangan tersebut dianggarkan bernilai kira-kira AS$42.6 bilion (sekitar RM173.8 bilion), berdasarkan penilaian syarikat susulan pusingan pembiayaan terbaharunya.
Cadangan itu dipercayai berkait rapat dengan langkah Washington yang semakin memperketat pengawasan terhadap pembangunan AI, termasuk memperlahankan kelulusan bagi pelancaran model AI baharu atas faktor keselamatan negara.
Sebelum ini, kerajaan AS turut dilaporkan mengarahkan sebuah lagi syarikat AI terkemuka, Anthropic, mengehadkan akses kepada model terbaharunya untuk pengguna yang bukan warganegara AS.
Dalam perkembangan berkaitan, pentadbiran Trump juga dilaporkan sedang menilai kemungkinan mengambil pegangan dalam beberapa syarikat AI lain, selepas sebelum ini memperoleh 10 peratus pegangan dalam syarikat semikonduktor, Intel.
Namun begitu, cadangan penglibatan terus kerajaan AS sebagai pemegang ekuiti OpenAI menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganalisis industri mengenai penerimaan pasaran antarabangsa terhadap produk syarikat itu.
Mereka berpendapat pemilikan kerajaan AS berpotensi menjejaskan keyakinan sesetengah negara untuk menggunakan teknologi OpenAI, khususnya bagi urusan pentadbiran awam serta operasi kerajaan yang melibatkan data sensitif.
Setakat ini, perbincangan mengenai cadangan pegangan saham itu masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak.
Sumber: Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-teknologi/openai-dilapor-tawar-pegangan-5-peratus-kepada-kerajaan
Comments
Leave a Reply