ISTANBUL: Itali terus berdepan cuaca ekstrem apabila gelombang haba yang melanda negara itu dijangka disusuli ribut petir dan hujan batu dalam beberapa hari akan datang, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik agensi berita ANSA.
Walaupun suhu dijangka kembali ke paras normal bagi musim ini menjelang pertengahan minggu, haba yang terkumpul sepanjang tempoh cuaca panas berpotensi mencetuskan ribut kuat di beberapa wilayah.
Bahagian tengah dan utara Itali dijangka merekodkan suhu menghampiri 40 darjah Celsius pada Isnin, manakala ribut petir diramalkan melanda kawasan sekitar Banjaran Alps.
Menjelang Rabu, suhu dijangka menurun, namun perubahan keadaan atmosfera itu berkemungkinan membawa ribut petir yang lebih ganas, hujan batu bersaiz besar serta hujan lebat, terutama di utara Itali dan beberapa kawasan di bahagian tengah serta selatan negara berkenaan.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 22 bandar kini berada di bawah amaran cuaca merah, dengan jumlah itu dijangka meningkat kepada 25 bandar dalam tempoh dua hari akan datang.
Cuaca panas melampau turut mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di bandar Padua, di utara Itali, pada Ahad.
Sementara itu, ribut kencang mencetuskan kejadian tanah runtuh di wilayah South Tyrol yang menimpa tiga buah rumah, menyebabkan lima individu cedera dan memaksa 69 penduduk dipindahkan dari beberapa bangunan sebagai langkah keselamatan.
Sumber: Bernama- Anadolu
Sumber Gambar: FMT
Comments
Leave a Reply